Isnin, 21 Disember 2020

Kenapa Kita Berselawat Setiap Hari? 7 Kepentingannya Ramai Terlepas Pandang

 


Mungkin ada yang tak perasan, kita sebenarnya berselawat dalam setiap kali solat (ketika bacaan tahiyat) serta setiap kali memulakan dan mengakhiri doa. Selain itu, kita digalakkan untuk berselawat pada bila-bila waktu di luar solat dan apabila nama Baginda disebutkan.

Tapi, sebagai seorang Muslim, tahukah kita kenapa berselawat itu amat ditekankan dalam kehidupan seharian?

7 KELEBIHAN BERSELAWAT YANG RAMAI TERLEPAS PANDANG

1. IA ADALAH PERINTAH ALLAH

Anjuran untuk berselawat adalah sesuatu yang dirakamkan di dalam Al-Quran. Dalam surah Al-Ahzab ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T. dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.”

Sedangkan Allah serta para malaikatNya juga sentiasa melahirkan rasa hormat dan kasih sayang kepada baginda, apatah lagi kita sebagai hamba yang serba kekurangan ini.

Oleh sebab itu, berselawat ke atas Rasulullah adalah salah satu cara kita menurut perintah Allah di samping mengingati segala jasa baginda dalam memperjuangkan Islam serta peribadinya yang unggul.

asmaul husna

Foto Kredit: scified.com

2. ALLAH MEMBALAS SELAWAT HAMBANYA

Walaupun berselawat nampak mudah, namun fadhilatnya besar sekali bagi mukmin yang melaziminya. Allah mengasihi hambaNya yang sentiasa meletakkan Rasulullah di dalam hati.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [HR Muslim]

Jika kita berzikir dan berselawat dengan memohon supaya Allah melimpahkan kemuliaan, kehormatan, dan kepujian kepada Nabi Muhammad, Allah pula membalas selawat kita dengan cara menurunkan rahmat, berkat serta kemuliaan kepada kita.

3. MEMBUANG KERISAUAN

Selawat adalah jaminan terpelihara dan terselamatnya kita daripada segala apa yang mendukacitakan dan membimbangkan dari perkara dunia dan akhirat. Seperti yang disebutkan dalam sebuah Hadis Tirmizi, Imam Ahmad, dan Hakim:

Dari Ubai bin Ka’ab, r.a. katanya:

“Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?” Baginda s.a.w., menjawab: “Sekadar mana yang engkau suka”; Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”; Baginda s.a.w., bersabda: “Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;

Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku” Baginda s.a.w bersabda: “Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”; Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masaku” Baginda s.a.w., bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik – untukmu”;

Aku berkata: “(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan”; Baginda s.a.w., bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu …”

Foto Kredit : justbetweenus.org

4. DIAMPUNKAN DOSA

Allah amat menyenangi hambaNya yang sentiasa mengingati Nabi Muhammad serta menghidupkan sunnahnya dalam kehidupan seharian. Allah turut menjanjikan pengampunan dosa bagi hambaNya yang rajin berselawat kepada Rasulullah.

Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [HR An-Nasaie]

Sebagai seorang hamba, kita tidak pernah terlepas dari melakukan kekhilafan. Oleh itu, berselawat boleh membantu kita menghapuskan dosa-dosa.

Panduan Solat Hajat Ringkas & Mudah. Dengan Doa!

Foto Kredit: thechosenummah.com

5. RASULULLAH MEMBALAS UCAPAN SALAM

Walaupun kita tidak pernah bertemu dengan Rasulullah, seorang mukmin sejati perlu menghidupkan rasa kerinduan terhadap Nabi sama seperti Nabi yang sentiasa kasih akan kita iaitu umat selepas zamannya.

Selawat merupakan cara istimewa buat umat Nabi Muhammad menyampaikan kata salam dan doa kepada Baginda. Setiap selawat yang dialunkan akan dikirimkan ke Rasulullah melalui malaikat. Rasulullah pula membalas ucapan salam tersebut.

Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku), melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” [HR Abu Daud dan Ahmad, Riyadus Solihin]

cara solat sunat aidilfitri

Foto Kredit: almanalmagazine.com

6. MERAIH SYAFAAT DARIPADA RASULULLAH DI AKHIRAT

Selain mengamalkan sunnah dalam rutin harian serta menteladani pekertinya yang mulia, berselawat kepada baginda juga dituntut terutamanya pada hari Jumaat. Ini kerana Rasulullah lebih dekat dengan hambaNya yang sentiasa berselawat untuknya.

Daripada Abu Aus bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari Jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti). [HR Abu Daud]

panduan solat jenazah

Foto Kredit: civillislamica.it

7. DOA MUDAH TERKABUL

Allah juga menyalurkan banyak cara supaya doa lebih mudah diterima, dan salah satunya adalah dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad.

Ali bin Abi Talib r.a berkata : “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.” [HR Imam Ath-Thabrani]

JOM HIDUPKAN SUNNAH!

Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ

Maksudnya: Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.

Semoga usaha kita mengingati Rasulullah dengan sentiasa mengalunkan selawat dapat mendekatkan diri kita bersama dengan Nabi Muhammad kelak serta turut mendapat rahmat daripada Allah.

Kelebihan selawat 20 kali sehari

 Kembara Mukmin

Manusia sangat memerlukan syafaat apabila mereka dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak. Tiada seorang manusia pun yang terlepas daripada melakukan dosa kecuali Nabi Muhammad SAW.

Syafaat bererti memohon pertolongan pada saat memasuki syurga Allah SWT. Ada beberapa syafaat yang boleh diperoleh manusia dan salah satunya adalah syafaat daripada Nabi Muhammad SAW.

Itu adalah syafaat terbesar diberikan kepada Baginda SAW. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” Rasulullah SAW juga berpesan bahawa Baginda adalah syafaat pertama untuk memasuki syurga.” (Surah al-Mudatthir, ayat 48)


Sekiranya setiap dosa anak Adam itu terzahir dengan hitamnya wajah, sudah pasti wajah kita akan bertambah hitam setiap masa kerana dosa yang dilakukan.

Bagaimanapun, Allah SWT sentiasa menutup keaiban dan dosa yang dilakukan hamba-Nya dan memerintahkan manusia sentiasa bertaubat.

Di Padang Mahsyar nanti keadaannya amat dahsyat apabila seluruh manusia akan duduk dalam keadaan bersesak-sesak, berdiri dalam keadaan telanjang dengan matahari terpacak tegak di atas kepala.

Ketika itu, semua merayu pertolongan daripada Allah SWT. Bagaimana hendak mendapatkan syafaat agung itu? Antaranya, kita perlu mencintai Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda.

Hanya selawat ke atas Nabi Muhammad SAW saja Allah SWT perintahkan kepada hamba-Nya yang Dia lakukan dahulu sebelum memerintahkan manusia melakukannya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzaab, ayat 56)

Begitulah hebatnya amalan berselawat. Jasa yang cukup besar Nabi Muhammad SAW kepada umatnya adalah Baginda menyebabkan kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam.

Jika mati dalam keadaan tiada iman dan Islam, kita akan kekal tinggal di dalam neraka buat selama-lamanya.

Bagi mendapatkan jaminan syafaat daripada Nabi SAW itu adalah dengan berselawat sebanyak 10 kali pada waktu pagi dan petang.

Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat Tabrani)

Bagi memudahkan kita berselawat sehingga ia menjadi amalan seharian, sebelum mengangkat tangan membaca doa pada waktu Subuh dan Asar kita boleh berselawat 10 kali terlebih dahulu.

Selawat paling utama diucapkan adalah selawat Ibrahimiyah. Selawat Ibrahimiyah ialah selawat yang dibaca pada separuh kedua dalam bacaan tahiyat akhir dalam solat.

Selawat itu menggabungkan dua ucapan salam ke atas Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim iaitu “Allahumma salli ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad, kama sallayta ‘ala ibrahim, wabarik ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad, kama barakta ‘ala ali ibrahim, fi l-‘alamin, innaka hamidun majid.”

Maksudnya: “Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad seperti selawat-Mu kepada Ibrahim dan berilah keberkatan kepada Muhammad dan keluarga Muhammad seperti keberkatan-Mu kepada keluarga Ibrahim, di seluruh alam, sesungguhnya Engkaulah Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Julai 2018 @ 11:15 AM

Isnin, 14 September 2020

Kelebihan Berselawat ke Atas Nabi Muhammad S.A.W

 

Al-Sheikh Abdul Kadir Al-Jelani Al-Hasani, Quddisa sirruhu menyatakan tentang kelebihan berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. di dalam kitabnya al-Safinah al-Qadiriyyah. Beliau meriwayatkan daripada Ibnu Farhun berkata: Berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. itu mempunyai empat puluh dua kelebihan. Hal ini tertulis di dalam kitabnya ‘Hadaiq al-Anwar’:-

Melaksanakan perintah Allah.
Bersamaan dengan selawat Allah kepada Rasulullah s.a.w.
Bersamaan dengan selawat para malaikat.
Mendapat ganjaran sepuluh kali selawat daripada Allah atas setiap kali selawat yang diucapkan (selawat daripada Allah bererti rahmat).
Dikurniakan oleh Allah sepuluh darjat atas tiap-tiap satu selawat.
Dituliskan oleh malaikat sepuluh kebaikan atas setiap selawat.
Dihapuskan oleh Allah sepuluh kejahatan atas setiap selawat.
Segala doa akan diperkenankan oleh Allah.
Mendapat syafaat daripada Rasulullah s.a.w.
Mendapat keampunan Allah serta akan ditutup segala keaiban.
Allah akan menutupi segala dukacita.
Dikurniakan maqam hampir kepada Rasulullah s.a.w.
Mendapat darjat al-Sidq.
Ditunaikan segala hajat.
Salam sejahtera pada hari kiamat.
Allah dan para malaikat akan berselawat ke atas individu yang berselawat.
Mendapat khabar gembira daripada Allah dengan balasan syurga.
Salam sejahtera pada huru-hara hari kiamat.
Rasulullah s..a.w. akan menjawab secara langsung ke atas setiap selawat yang dibacakan.
Mudah mengingat semula perkara-perkara yang lupa.
Mendapat kedudukan yang baik pada hari kiamat serta tidak akan kecewa pada hari itu.
Tidak akan merasai fakir.
Terpelihara daripada dihinggapi sifat bakhil.
Mendapat kesejahteraan daripada doa Rasulullah s.a.w. kepada yang berselawat.
Selawat akan menjemput setiap pengucapanya ke jalan syurga.
Menjauhkan seseorang itu daripada terlibat dalam majlis-majlis yang tidak disebut padanya nama Allah dan Rasul-Nya atau daripada majlis-majlis lagha.
Berselawat menyempurnakan kalam pujian Allah apabila disebut (di dalam doa), maka akan disambut selepas itu dengan kalimah selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w.
Selamat melintasi titian Sirat al-Mustaqim pada hari kiamat.
Disambut oleh Allah pada hari kiamat dengan kata-kata pujian yang lunak.
Mendapat balasan rahmat yang luas daripada Allah.
Mendapat keberkatan daripada Allah.
Mendapat kesempurnaan iman.
Kasih dan cinta kepada Rasulullah s.a.w.
Mendapat hidayah Allah dan dikurniakan hati yang sentiasa hidup mengingati Allah.
35.Setiap selawat yang dibaca akan dibentangkan di hadapan Rasulullah s.a.w. secara langsung.

Teguh pendirian dengan kebenaran.
Berselawat bererti kita menggunakan sebahagian hak-hak Rasulullah s.a.w. ke atas diri kita. Di samping itu ianya dianggap sebagai mensyukuri nikmat Allah yang mengurniakan dan mengutuskan Rasulullah s.a.w. kepada kita.
Berselawat juga bererti zikrullah, bersyukur serta mengikut segala nikmat yang dikurniakan oleh Allah.
Berselawat bererti melengkapkan pengertian berdoa dan memohon kepada Allah, ke atas Rasulullah s.a.w. dan kepada diri sendiri.
Antara kelebihan yang paling hebat kepada setiap individu ialah akan terjelma gambaran Rasulullah s.a.w. di dalam jiwanya.
Dikurniakan oleh Allah maqam seorang Syeikh dan Murabbi.
Mendapat kebahagiaan, ketenangan hidup didunia dan akhirat.








































Isnin, 17 Ogos 2020

Bila Dalam Kesempitan, Bacalah 7 Zikir Ini. Mampu Buat Rezeki Datang Tanpa Disangka!


Rezeki itu bukan sekadar wang ringgit namun kesihatan yang baik, kelapangan fikiran, ketenangan hati, bebas hutang turut boleh dianggap rezeki. Semuanya nikmat Allah yang patut disyukuri.

Tidak sudah untuk sentiasa murah rezeki. Amalkanlah zikir dan doa pembuka pintu rezeki ini dalam kehidupan seharian. InsyaAllah, mudah-mudahan Allah buka seluas-seluasnya rezeki dari pelusuk bumi untuk kita.

1. Barangsiapa yang lambat datang rezekinya hendaklah banyak mengucapkan La hawla Wala Quwwata Illa billah (HR. At-Tabrani)

2. Membaca La Ilaha Illallahul Malikul Haqqul Mubin

“Barangsiapa setiap hari membaca La ilaha illallahul malikul haqqul mubin maka bacaan itu akan menjadi keamanan dari kefakiran dan menjadi penenteram dari rasa takut di dalam kubur.” (HR. Abu Nu’aim dan Ad Dailami)

3. Membaca Subhanallah Wabihamdihi Subhanallahil Adziim

“Dari setiap kalimat itu seorang malaikat yang bertasbih kepada Allah Ta’ala sampai hari kiamat yang pahala tasbihnya itu diberikan untukmu.” (HR. Al-Mustagfiri dalam Ad-Da’awat)


4. Membaca Surah Al-Ikhlas

“Barangsiapa membaca Surat Al-Ikhlas ketika masuk rumah maka berkah bacaan menghilangkan kefakiran dari penghuni rumah dan tetangganya.” (HR. AtTabrani)

5. Membaca Surah Al-Waqi’ah

“Barangsiapa membaca surat Al-Waqi’ah setiap malam, maka tidak akan ditimpa kesempitan hidup.” (HR. Al-Baihaqi dalam Syu’ab Al-Iman)

6. Perbanyakkan Selawat ke atas Nabi 

Dari Umar bin Khaththab dari Nabi Shallallahu’alaihi wa sallam bersabda bersabda: Barangsiapa Berselawat kepadaku satu kali Selawat maka ALLAH akan membalas sepuluh kali Selawat dan Mengangkatnya Sepuluh DARJAT. (Dikeluarkan Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad, Ibnu Abu Syaibah…al-Bazzar….Ibnu Syahiin dan al-Ismaili dengan sanad ma’lul)

7. Melazimkan Beristighafar

“Barangsiapa melazimkan beristighfar nescaya Allah akan mengeluarkan dia dari segala kesusahan dan memberikan rezeki dari arah yang tidak diduga-duga.” (HR. Ahmad, Abu Dawud dan Ibnu Majjah)

Doa Menjemput Rezeki

Ya Allah, berikanlah kami rezeki yang luas
Yang halal lagi baik tanpa memberatkan kami

Jika rezeki kami ada di langit maka turunkanlah.
Jika ada di bumi maka keluarkanlah.
Jika jauh maka dekatkanlah.
Jika dekat maka mudahkanlah.
Jika sedikit maka banyakanlah.
Jika banyak maka berkatilah agar kami dapat menolong anak-anak yatim, fakir miskin, mereka yang dalam kesusahan dan kedaifan.

Ya Allah, kabulkanlah doa kami, Aamiiin
Ya Allah Ya Robbal ‘Alamin. Aamiin Ya Hayyu Ya Qayyum Ya Fattah Ya Razzaq.

Semoga Allah mengabulkan Doa kita.

Semoga Bermanfaat. In shaa Allah.

Kemampuan setiap orang beramal adalah berbeza. Saranan saya, kalau tidak mampu beramal semua, cuba amalkan satu persatu. Biar sedikit tetapi istikamah. Jangan lupa berdoa kepada Allah SWT agar diberi kemampuan untuk beramal. Kalau tidak mampu beramal semua jangan tinggal semua, nanti kita yang rugi.

Sumber Artikel: Islam Itu Indah