Rabu, 16 Januari 2019

Adab ketika Berdoa

 
Daripada Fadhalah bin ‘Ubaid RA berkata; Nabi SAW mendengar seseorang berdoa dalam solatnya dan tidak mengucapkan selawat kepada Nabi SAW, kemudian Nabi SAW bersabda: "Orang ini telah tergesa-gesa." Kemudian Baginda SAW memanggilnya dan berkata kepadanya atau kepada orang lain: "Apabila salah seorang di antara kamu bersolat, maka hendaklah dia memulai (doanya) dengan memuji Allah SWT, kemudian berselawat kepada Nabi SAW, kemudian berdoa setelah itu dengan doa yang dia kehendaki." Abu ‘Isa berkata; hadith ini adalah hasan sahih. (Hadith riwayat At-Tirmizi, No: 3477, Abu Dawud, No: 1481, an-Nasaie, No: 1284, Ahmad, No: 22811).
 
 
 Matan Hadith:
 
عَنْ فَضَالَةَ بْنَ عُبَيْدٍ يَقُولُ سَمِعَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رَجُلا يَدْعُو فِي صَلاتِهِ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجِلَ هَذَا ثُمَّ دَعَاهُ فَقَالَ لَهُ أَوْ لِغَيْرِهِ إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيَبْدَأْ بِتَحْمِيدِ اللَّهِ وَالثَّنَاءِ عَلَيْهِ ثُمَّ لْيُصَلِّ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ لْيَدْعُ بَعْدُ بِمَا شَاءَ
]التخريج : سنن الترمذي , كتاب الدعوات , باب ما جاء في جامع الدعوات عن النبي صلى الله عليه وسلم , حديث رقم 3477 , وقَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ[
 
Pengajaran Hadith :
 
1. Berdoa dari segi bahasanya bererti memanggil, memohon, atau meminta. Ketika berdoa, bererti sedang memanggil, memohon, dan       meminta kepada Allah, Zat Yang Maha Agung, lagi Maha Mendengar.
2. Antara adab berdoa yang dianjurkan oleh Nabi SAW  adalah dengan memulakan doa dengan pujian terhadap Allah SWT dan berselawat kepada Rasulullah SAW. Selain itu ketika berdoa, seseorang itu hendaklah memilih waktu, yang diistilahkan sebagai waktu mustajab, seperti pada hari Jumaat kerana pada hari tersebut ada satu ketika, apabila bertepatan masanya, Allah SWT akan memperkenankan doa tersebut. Begitu juga dengan berdoa pada waktu malam, iaitu pada dua per tiga daripada malam.
3. Berdoa adalah ibadah. Hendaklah seseorang Muslim memperhatikan adab-adab dan syarat-syarat dalam berdoa yang merupakan sebab ditunaikan doa. Sesiapa memenuhinya, maka dia akan mendapat segala yang diminta dan sesiapa yang mengabaikannya, dialah orang yang melampaui batas dalam berdoa sehingga tidak ditunaikan doanya.
 
 
Sumber Rujukan :
1-Kitab Jami’ at-Tarmizi
2-Kitab Sunan Abu Dawud
3-Kitab Sunan An-Nasaie
4-Kitab Musnad Ahmad
5-Kitab Tuhfatul Ahwazi Bisyarhi Jami’ at-Tirmizi Li al-Mubarakfuri
6-Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Li an-Nawawi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.