Khamis, 30 Mei 2019
Orang beriman yang berjaya
ISLAM menuntut umatnya bukan sahaja mencapai kejayaan dunia, malah 2
ISLAM menuntut umatnya bukan sahaja mencapai kejayaan dunia, malah di akhirat. - GAMBAR HIASAN
Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah
11 September 2018 4:00 PM
MENDENGAR ayat 1 hingga 16 daripada Surah al-Mukminun yang dibacakan Imam Masjidilharam, Syeikh Bandar Balilah sangat memberi kesan terhadap jiwa penulis.
Mari kita bertadabbur bersama:
1. “Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman.”
Dimaksudkan orang berjaya ialah mereka yang beriman terhadap Rukun Iman enam perkara. ‘Berjaya’ di sini juga membawa maksud ‘berjaya masuk syurga’.
2. “Iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya.”
Yang khusyuk dalam solat (sepanjang solatnya ingat Allah SWT) kaitan dengan ayat di atas tiada balasan yang selayaknya bagi orang khusyuk solatnya melainkan syurga. Layak bukan?
3. “Dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan dan perkataan sia-sia.”
Mereka itu yang menjauhi perkara-perkara melalaikan. Orang yang banyak melakukan perkara melalaikan sukar mengecapi solat khusyuk. Benar bukan?
4. “Dan mereka yang berusaha membersihkan hartanya (dengan menunaikan zakat harta itu).”
Mengeluarkan zakat dan solat adalah amalan badan atau fizikal, manakala zakat pula amal harta.
Menyedari bahawa rezeki yang Allah berikan bukan sekadar untuk dinikmati bersendirian tetapi untuk dikongsi.
Mereka yang enggan bayar zakat ialah seperti ‘penyamun’ hak orang miskin. Solat dan zakat adalah gandingan yang kerap dijumpai dalam al-Quran.
5. “Dan mereka yang menjaga kehormatannya.”
6. “Kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela.”
7. “Kemudian, sesiapa mengingini selain daripada demikian, maka merekalah orang yang melampaui batas.”
Ayat 5, 6 dan 7 ialah mereka yang menjaga kemaluan.
Nafsunya disalurkan kepada yang halal dan memalingkan ke arah selain itu dalam menguruskan nafsunya adalah orang melampaui batas.
8. “Dan mereka yang menjaga amanah dan janjinya.”
Yang menjaga amanah dan janjinya, mengurus hubungan sesama manusia, jangan diabaikan setiap amanah yang Allah berikan atau terima dengan sukarela begitu juga dengan janji.
Jangan berjanji jika tidak boleh tunaikan. Berapa banyak episod hubungan tercalar dan terlerai kerana janji tidak ditepati.
9. “Dan mereka yang tetap memelihara solatnya.”
Orang yang menjaga solat, tidak akan pernah abaikan tanggungjawab kepada Allah.
Menjaga dalam erti kata memperbaiki kualiti solat, memperhalusi rukun qauli (bacaan), rukun fi’li (perbuatan) dan rukun qalbi (hati). Ini termasuklah bacaan-bacaan rukun dalam solat.
Mewarisi Syurga
10. “Mereka itulah orang yang berhak mewarisi.”
11. “Yang akan mewarisi Syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya.”
Ayat 10 dan 11 bermaksud, merekalah pewaris sebenarnya iaitu mewarisi Syurga Firdaus.
Perhatikan dalam ayat 10, Allah menyebut al-Warithun (mewarisi) bukan yadkhulun (masuk). Ini kerana mewarisi itu bermaksud memiliki yang sudah pasti dia punya dan tiada persinggahan lain
Manakala jika Yadkhulun belum tentu bila dia akan diizinkan masuk, hanya Allah mengetahui. Lebih menarik lagi balasan Syurga Firdaus, syurga yang teratas bersama Rasulullah SAW.
Dengan adanya sifat di atas, kita akan mewarisi Syurga Firdaus tanpa meminta, tetapi atas tiket kelayakan.
12. “Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) daripada tanah.”
Asal usul kejadian manusia adalah daripada tanah. Tiada apa yang perlu dibanggakan.
Tiada sebab untuk manusia jadi bongkak, takbur dan sombong dengan Tuhan.
13. “Kemudian Kami jadikan ‘pati’ itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh.”
Allah pelihara air mani yang menjadi janin dalam kantung kukuh. Kasihnya Tuhan yang Maha Pencipta untuk menjaga waris bagi manusia, demi kelestarian khalifah di bumi dengan dijaga rapi sehingga tempoh ditetapkan.
Adakah selain Allah yang boleh berbuat demikian?
14. “Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. Lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.”
Proses kejadian manusia adalah daripada setitis air mani menjadi segumpal darah kemudian, seketul daging kemudian disaluti daging dan isi bagi tulang, akhirnya jadilah manusia.
Tiada satu pun teori sains yang bercanggah dengan kitab yang diturunkan kurang lebih 1,450 tahun dahulu. Allah ingin memberitahu bahawa Dialah yang menjadikan manusia.
15. “Kemudian, sesungguhnya kamu sesudah itu akan mati.”
Kemudian manusia akan mati, tiada yang kekal, kita dilahirkan untuk satu penantian, iaitu kematian.
16. “Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat.”
Kemudian selepas hari kiamat kita akan dibangkitkan semula untuk Allah lunaskan janji bagi mereka yang merindui pertemuan dengan-Nya.
Allah mengakhiri gugusan ayat ini dengan ‘kematian’ dan ‘kebangkitan’ iaitu setiap manusia akan mati sebelum dibangkitkan kembali.
Mati boleh terjadi kepada sesiapa sahaja pada bila-bila masa, tetapi kebangkitan daripada kubur itu sehingga kiamat agak jauh. Tuaian sebenarnya ialah selepas dibangkitkan daripada kubur umpama si petani yang menanam benih dengan yakin akan hasilnya suatu hari nanti.
Amalan disebutkan dalam Surah al-Mukminum sebagai tuaian akhirat adalah:
i - Solat yang khusyuk
ii - Zakat
iii - Jauhi perkara melalaikan
iv - Menjaga amanah
v - Tepati janji
vi- Memelihara solat
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.