Rabu, 8 Mei 2019

Tingkat Syurga

Datuk Dr Zahazan Mohamed
Benarkah syurga itu bertingkat-tingkat dan penghuninya ditempatkan berdasarkan kedudukannya di sisi Allah SWT?
Ingin Tahu, Johor Bahru
DARIPADA Abu Hurairah r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Di syur-ga terdapat seratus tingkat yang setiap tingkatnya berjarak seratus tahun per-jalanan.” (Riwayat al-Bukhari)
Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Akan dikatakan kepada seorang hafiz al-Quran ketika akan memasuki syurga, “Bacalah dan naiklah!” Lalu dia membaca al-Quran dan naik satu tingkat setiap selesai membaca satu ayat. Demikianlah seterusnya hingga dia membaca ayat terakhir yang ia hafal.”
Berdasarkan hadis itu, jumlah tingkatan syurga adalah sebanyak bilangan ayat al-Quran.
Dalam riwayat lain, Aisyah r.a berkata: “Sesungguhnya jumlah tingkat syurga adalah sejumlah bilangan ayat al-Quran. Maka siapa yang masuk syurga daripada penghafal al-Quran, nescaya tidak ada orang yang melebihi (tingkatnya) di syurga.” (Riwayat Ahmad)
Menurut Ibnu Hajar, kalimah “...seratus tingkat…” itu tidak memberi makna jumlah keseluruhan syurga. Tingkat atau darjat yang dimaksudkan dalam hadis itu membawa dua makna iaitu:
1. Jarak antara satu tingkat ke tingkat berikutnya sama dengan jarak perjalanan 100 tahun atau sama dengan jarak antara langit dan bumi.
2. Pengertian maknawi iaitu tingginya kedudukan seseorang pada pandangan Allah SWT.
Jarak antara satu tingkat syurga dengan tingkat berikutnya sangat jauh. Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya penghuni tingkat-tingkat syurga tertinggi itu dilihat oleh penghuni tingkat syurga di bawahnya bagaikan bintang-bintang yang bertebaran di ufuk langit…” (Riwayat Ahmad)
Selain itu, kenikmatan yang diperoleh setiap penghuni satu tingkat dengan tingkat syurga lain adalah tidak sama.
Pada setiap tingkat syurga itu memiliki kenikmatan tertentu yang tidak terdapat pada tingkat di bawahnya.
Semakin tinggi seseorang di syurga, semakin banyak kenikmatan yang diperolehnya.
Terdapat hadis menyebut, serendah-rendah kedudukan penghuni syurga adalah mereka yang mempunyai isteri dua orang bidadari.
Abu Sa’id al-Khudri r.a meriwayatkan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya penghuni syurga yang paling rendah kedudukannya adalah seorang yang wajahnya dipalingkan dari neraka ke arah syurga dan Allah SWT mengurniakannya sepohon pokok yang sangat rendang daunnya.
Lalu ia berkata, “Allah memberiku sebatang pohon tempatku berlindung ini…(dan seterusnya).”
Disebutkan pada ayat berikutnya, “Lalu Allah mengingatkannya, “Mintalah ini dan itu!” Ketika keinginannya habis, Allah SWT berkata: “Itu semua untukmu selain sepuluh kali ganda lagi seumpamanya.”
Rasulullah SAW melanjutkan sabdanya: “Lalu ia memasuki rumahnya (di syurga itu). Dan menyusul kemudian dua orang isterinya daripada bidadari syurga seraya berkata: “Segala puji bagi Allah yang menghidupkanmu untuk kami dan yang menghidupkan kami untukmu.”
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Maka orang itu berkata, “Tidak ada seorang pun yang menerima pemberian sepertiku ini.” (Riwayat Muslim)
Penulis ialah pendakwah
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Februari 2019 @ 9:01 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.