Saya pernah dengar ada seorang ustaz beri amalan zikir yang mempunyai pahala yang besar.
Saya tidak berapa ingat tetapi sangat berharap dapat bacaan zikir itu.
Haris, Bangi
Berzikir sememangnya mempunyai ganjaran yang sangat luar biasa.
Walaupun ia amalan yang ringan di mulut tetapi mempunyai ganjaran pahala yang sangat lumayan.
Allah SWT akan mengingati hamba-hamba-Nya yang berzikir kepada-Nya.
Firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 152 yang bermaksud: “Maka ingatlah kepada-Ku, Aku pasti akan ingat kepada-Mu. Bersyukurlah kepada-Ku, janganlah kamu kufur ingkar kepada-Ku.”
Sebuah hadis qudsi menyebut: “Aku bersama hamba-Ku yang mengingati-Ku.” (Riwayat al-Bukhari)
Saya tidak pasti zikir yang mana saudara maksudkan. Mungkin saya boleh menyebut beberapa zikir yang dijamin mendapat ganjaran yang sangat besar.
Dalam sebuah hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim menyatakan, terdapat dua kalimat yang ringan diucapkan di lisan, dicintai oleh Allah yang Maha Merahmati, berat pada timbangan iaitu Subhanallah wabihamdih, subhanallahil ‘Azim.
Di akhirat nanti semua amalan kita akan ditimbang. Sekiranya amalan kebaikan kita lebih berat berbanding kejahatan, kita akan dimasukkan ke dalam syurga.
Sekiranya amalan kejahatan lebih berat berbanding amalan kebaikan, kita akan dihumban ke dalam neraka.
Mengapa kita tidak amalkan saja zikir Subhanallah wabihamdih subhanallahi ‘Azim kerana zikir itu boleh memberatkan timbangan amalan kebaikan kita.
Perkara itulah yang kita sangat harapkan. Dalam sebuah hadis riwayat Ibnu Abid Dunya, an-Nasa’I, At Tabrani dan al-Nazzar menyebut, Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Apakah seseorang antara kamu setiap hari tidak mampu mengamalkan suatu amalan sebesar Gunung Uhud?”
Para sahabat menjawab: “Ya Rasulullah, siapa yang mampu melakukan amalan sebesar Gunung Uhud?” Nabi SAW bersabda: “Kamu semua mampu.”
Mereka bertanya: “Bagaimana caranya?” Baginda bersabda: “Ucapan Subhanallah lebih besar pahalanya daripada Gunung Uhud, ucapan La ila ha illallah lebih besar daripada Gunung Uhud, ucapan Alhamdulillah lebih besar daripada Gunung Uhud dan ucapan Allahuakbar lebih besar daripada Gunung Uhud.”
Mungkin kita tidak terbayang sebenarnya kalimah zikir itu mempunyai nilai pahala lebih besar daripada Gunung Uhud.
Hatta sekiranya anda suka pergi membeli-belah, anda juga mampu meraih sejuta pahala dan dihapuskan sejuta dosa serta anda akan dibangunkan sebuah rumah di dalam syurga dengan syarat sebelum masuk ke pasar bacalah doa yang diajar Baginda SAW: “Sesiapa yang mengucapkan ketika masuk pasar: La ilaha illallah wahdahu la syarikalah, lahul mulku walahul hamdu yuhyi wayumiitu wahuwa hayyun la yamut, biyadihil khair, wahuwa ‘ala kulli syai in qadiir, nescaya Allah akan menulis untuknya sejuta pahala kebaikan, dihapuskan untuknya sejuta keburukan dan dibangunkan untuknya rumah di syurga.” (Riwayat al-Tirmizi)
Kalau anda hendak pokok kurma di syurga, ada zikir yang sekiranya anda baca akan dibalas dengan pokok kurma.
Sebagaimana yang diketahui, buah kurma mempunyai keberkatan antaranya dapat menguatkan tubuh badan, menyembuhkan penyakit dan sebagainya.
Ada caranya untuk kita ‘menanam’ pokok kurma yang nanti akan dapat kita nikmati hasilnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Siapa yang berkata Subhanallahil Azimi wabihamdihi, maka akan ditanam untuknya sepohon kurma di syurga.”
Bayangkan kalau kita mengucapkan berkali-kali sudah tentu akan memiliki ladang kurma di syurga.
Ada sebuah hadis riwayat Ahmad dan lain-lain menyebut, Ummul Mukminin Juwairiyah binti al-Harith pada satu hari, Nabi berjalan melaluinya pada waktu Subuh untuk keluar kerana ada keperluan.
Sedangkan Juwairiyah berada di tempat solatnya. Kemudian setelah hampir tengah hari, Nabi pulang dan melaluinya lagi, Baginda bertanya kepadanya: Engkau masih seperti tadi?”
Beliau menjawab: “Ya.” Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah kamu saya ajar beberapa kalimah kalau kamu hendak timbang dengan semua tasbih yang kamu ucapkan tadi nescaya ia menyamainya iaitu Subhanallah ‘adada khalqih (tiga kali), Subhanallah zinata ‘arsyih(tiga kali), Subhanallah redho nafsih (tiga kali), Subhanallah midaada kalimatih (tiga kali).
Begitulah antara zikir yang boleh diamalkan. Walaupun kelihatan ringan, ia dijamin mendapat pahala sangat besar.
Penulis ialah pendakwah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.