Kembara Mukmin
Manusia sangat memerlukan syafaat apabila mereka dihimpunkan di Padang Mahsyar kelak. Tiada seorang manusia pun yang terlepas daripada melakukan dosa kecuali Nabi Muhammad SAW.
Syafaat bererti memohon pertolongan pada saat memasuki syurga Allah SWT. Ada beberapa syafaat yang boleh diperoleh manusia dan salah satunya adalah syafaat daripada Nabi Muhammad SAW.
Itu adalah syafaat terbesar diberikan kepada Baginda SAW. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka tidak akan berguna kepada mereka sebarang syafaat pertolongan (kalaulah ditakdirkan ada) sesiapa yang boleh memberikan syafaat itu.” Rasulullah SAW juga berpesan bahawa Baginda adalah syafaat pertama untuk memasuki syurga.” (Surah al-Mudatthir, ayat 48)
Sekiranya setiap dosa anak Adam itu terzahir dengan hitamnya wajah, sudah pasti wajah kita akan bertambah hitam setiap masa kerana dosa yang dilakukan.
Bagaimanapun, Allah SWT sentiasa menutup keaiban dan dosa yang dilakukan hamba-Nya dan memerintahkan manusia sentiasa bertaubat.
Di Padang Mahsyar nanti keadaannya amat dahsyat apabila seluruh manusia akan duduk dalam keadaan bersesak-sesak, berdiri dalam keadaan telanjang dengan matahari terpacak tegak di atas kepala.
Ketika itu, semua merayu pertolongan daripada Allah SWT. Bagaimana hendak mendapatkan syafaat agung itu? Antaranya, kita perlu mencintai Nabi Muhammad SAW dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Baginda.
Hanya selawat ke atas Nabi Muhammad SAW saja Allah SWT perintahkan kepada hamba-Nya yang Dia lakukan dahulu sebelum memerintahkan manusia melakukannya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW), wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzaab, ayat 56)
Begitulah hebatnya amalan berselawat. Jasa yang cukup besar Nabi Muhammad SAW kepada umatnya adalah Baginda menyebabkan kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam.
Jika mati dalam keadaan tiada iman dan Islam, kita akan kekal tinggal di dalam neraka buat selama-lamanya.
Bagi mendapatkan jaminan syafaat daripada Nabi SAW itu adalah dengan berselawat sebanyak 10 kali pada waktu pagi dan petang.
Dalam satu hadis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berselawat kepadaku pada waktu pagi sepuluh kali dan pada waktu petang sepuluh kali, ia akan memperoleh syafaatku pada hari kiamat.” (Riwayat Tabrani)
Bagi memudahkan kita berselawat sehingga ia menjadi amalan seharian, sebelum mengangkat tangan membaca doa pada waktu Subuh dan Asar kita boleh berselawat 10 kali terlebih dahulu.
Selawat paling utama diucapkan adalah selawat Ibrahimiyah. Selawat Ibrahimiyah ialah selawat yang dibaca pada separuh kedua dalam bacaan tahiyat akhir dalam solat.
Selawat itu menggabungkan dua ucapan salam ke atas Nabi Muhammad SAW dan Nabi Ibrahim iaitu “Allahumma salli ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad, kama sallayta ‘ala ibrahim, wabarik ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad, kama barakta ‘ala ali ibrahim, fi l-‘alamin, innaka hamidun majid.”
Maksudnya: “Ya Allah, berilah selawat kepada Muhammad dan keluarga Muhammad seperti selawat-Mu kepada Ibrahim dan berilah keberkatan kepada Muhammad dan keluarga Muhammad seperti keberkatan-Mu kepada keluarga Ibrahim, di seluruh alam, sesungguhnya Engkaulah Maha Terpuji lagi Maha Mulia.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.