Amalan Sunnah Yang Dianjurkan
Ternyata terdapat banyak kelebihan sehingga Rasulullah meletakkan 10 hari terawal Zulhijjah hari ini sebagai hari yang mesti dipertingkatkan amalan harian kita.
Baginda melihatnya sebagai hari yang sangat dicintai oleh Allah.
Antara amalan bulan Zulhijjah yang disarankan untuk kita melakukan amal soleh sebanyaknya, seperti:
1. ANJURAN UNTUK TIDAK MEMOTONG, MENCABUT DAN MENCUKUR RAMBUT, BULU MAHUPUN KUKU KE ATAS ORANG YANG MELAKUKAN IBADAH KORBAN
Sunat untuk tidak memotong, mencabut dan mencukur rambut, bulu mahupun kuku bagi orang yang melakukan ibadah korban bermula daripada 1 Zulhijjah sehingga haiwan korbannya disembelih.
Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ كَانَ لَهُ ذِبْحٌ يَذْبَحُهُ فَإِذَا أُهِلَّ هِلَالُ ذِي الْحِجَّةِ، فَلَا يَأْخُذَنَّ مِنْ شَعْرِهِ، وَلَا مِنْ أَظْفَارِهِ شَيْئًا حَتَّى يُضَحِّيَ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mempunyai haiwan korban untuk disembelih, maka apabila terlihatnya anak bulan Zulhijjah, janganlah dia mengambil satu apa pun (yakni memotong) daripada rambutnya, mahupun daripada kukunya sehingga dia selesai berkorban.”
[HR Muslim, hadis sahih]
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ وَعِنْدَهُ أُضْحِيَّةٌ يُرِيدُ أَنْ يُضَحِّيَ فَلاَ يَأْخُذَنَّ شَعْرًا وَلاَ يَقْلِمَنَّ ظُفُرًا
Maksudnya: “Apabila masuknya sepuluh (hari Zulhijjah) dan seseorang itu mempunyai haiwan korban yang dia hendak menyembelihnya, maka janganlah dia memotong rambutnya dan jangan dia memotong kukunya.”
[HR Muslim, hadis sahih]
Anjuran untuk tidak memotong rambut, bulu dan kuku ini sepertimana pendapat al-Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi’e.
2. BERPUASA PADA HARI ARAFAH
Hari Arafah iaitu pada 9 Zulhijjah adalah bersempena amalan berwukuf di Padang Arafah yang merupakan salah satu daripada rukun fardhu bagi umat Islam yang menunaikan ibadah haji.
Bagi umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, dianjurkan untuk berpuasa, berzikir dan melakukan amalan sunat pada hari tersebut.
Daripada Abu Qatadah bahawa Nabi Muhhamd SAW bersabda:
صِيَامٌ يَوْمِ عَرَفَةَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللهِ أَن يُكَفِّرُ السَّنَّةَ الَّتِي قَبْلَهُ وَالَّتِي بَعْدَهُ
Maksudnya: “Berpuasa pada hari Arafah kerana mengharap pahala daripada Allah agar adalah sebagai penghapus dosa bagi setahun sebelum dan sesudahnya.”
[HR Muslim, hadis sahih]
3. MEMPERBANYAKKAN BERDOA
Kelebihan bulan Zulhijjah juga terletak pada doa yang diucapkan, terutamanya pada Hari Arafah (9 Zulhijjah).
Nabi Muhammad SAW bersabda:
خَيْرُ الدُّعَاءِ دُعَاءُ يَوْمِ عَرَفَةَ، وَخَيْرُ مَا قُلْتُ أَنَا وَالنَّبِيُّونَ مِنْ قَبْلِي: لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ وَحْدَهُ لَا شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ، وَلَهُ الْحَمْدُ، وَهُوَ عَلَى كُلَّ شَيْءٍ قَدِيْرُ
Maksudnya: “Sebaik-baik doa ialah doa yang dibaca pada hari Arafah dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku ialah, tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”
[HR al-Tirmizi, hadis hasan]
Dalam hadis yang lain, Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا مِنْ يَوْمٍ أَكْثَرَ مِنْ أَنْ يُعْتِقَ اللَّهُ فِيهِ عَبْدًا مِنَ النَّارِ مِنْ يَوْمِ عَرَفَةَ وَإِنَّهُ لَيَدْنُو ثُمَّ يُبَاهِى بِهِمُ الْمَلاَئِكَةَ فَيَقُولُ مَا أَرَادَ هَؤُلاَءِ
Maksudnya: “Tidak ada hari di mana Allah membebaskan hamba dari neraka lebih banyak daripada hari Arafah, dan sungguh Dia mendekat lalu membanggakan mereka di depan para malaikat dan berkata: “Apa yang mereka inginkan?”
[HR Muslim, hadis sahih]
4. MENGHIDUPKAN SUASANA HARI RAYA DENGAN TAKBIR
Sabda Nabi Muhammad SAW:
زَيِّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبير
Maksudnya: “Kamu hiasilah hari raya dengan takbir.”
[HR al-Thabarani]
Al-Bukhari meriwayatkan bahawa Ibnu Umar dan Abu Hurairah r.a. keluar ke pasar pada 10 hari awal Zulhijjah, lalu mereka bertakbir sehingga menyebabkan orang ramai turut bertakbir bersama mereka.
‘Affan turut menceritakan peristiwa ini. Beliau berkata:
“Abu Hurairah dan Ibnu Umar datang ke pasar pada 10 hari terawal bulan Zuhijjah, kemudian meraka bertakbir dan orang ramai turut bertakbir bersama mereka. Mereka berdua tidak datang melainkan untuk bertakbir.”
Terdapat dua jenis takbir pada hari raya:
i. Takbir Mursal atau Muthlaq (المرسل أو المطلق)
• Bermula sebaik sahaja terbenam matahari pada malam hari raya (sama ada Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Aidiladha), dan ia berterusan hinggalah apabila imam mula mengangkat takbir bagi menunaikan Solat Hari Raya.
ii. Takbir Muqayyad (المقيد)
• Bermula bermula dari solat Subuh Hari ‘Arafah (9 Zulhijjah) hinggalah selepas solat Asar pada Hari Tasyrik terakhir (13 Zulhijjah).
Baca juga: Doa Selepas Solat Fardhu Yang Mudah – Jabatan Agama Islam WP (JAWI)
5. MEMPERBANYAKKAN BERZIKIR
Antara cara merebut kelebihan bulan Zulhijjah juga adalah dengan memperbanyakkan zikir.
Hadis Nabi Muhammad SAW:
مَا مِنْ أَيَّامٍ أَعْظَمُ عِنْدَ اللَّهِ وَلَا أَحَبُّ إِلَيْهِ مِنْ الْعَمَلِ فِيهِنَّ مِنْ هَذِهِ الْأَيَّامِ الْعَشْرِ فَأَكْثِرُوا فِيهِنَّ مِنْ التَّهْلِيلِ وَالتَّكْبِيرِ وَالتَّحْمِيدِ
Maksudnya: “Tidak ada satu hari yang pahala di hari itu lebih besar di sisi Allah dan beramal di hari itu lebih dicintai di sisi Allah daripada sepuluh hari ini. Oleh sebab itu perbanyaklah kalian bertahlil, bertakbir dan bertahmid.”
[HR Ahmad]
6. MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH
Daripada Abu Umamah al-Bahili berkata, Rasulullah SAW bersabda:
صَنَائِعُ الْمَعْرُوفِ تَقِي مَصَارِعَ السُّوءِ, وَصَدَقَةُ السِّرِّ تُطْفِئُ غَضَبَ الرَّبِّ, وَصِلَةُ الرَّحِمِ تَزِيدُ فِي الْعُمْر
Maksudnya: “Orang-orang yang melakukan kebaikan akan memelihara diri mereka dari nasib buruk. Sedekah secara rahsia menghapuskan kemurkaan Tuhan dan silaturahim pula menambahkan umur.”
[HR al-Thabarani]
7. MENTADABBUR AYAT AL-QURAN
Tadabbur bermaksud menghayati atau merenung kisah-kisah di dalam al-Quran sewaktu membacanya.
Firman Allah SWT:
أَفَلَا یَتَدَبَّرُونَ ٱلۡقُرۡءَانَۚ وَلَوۡ كَانَ مِنۡ عِندِ غَیۡرِ ٱللَّهِ لَوَجَدُوا۟ فِیهِ ٱخۡتِلَـٰفا كَثِیرا
Maksudnya: “Patutkah mereka (bersikap demikian), tidak mahu memikirkan isi al-Quran? Kalaulah al-Quran itu (datangnya) bukan dari sisi Allah, nescaya mereka akan dapati perselisihan yang banyak di dalamnya.”
[Surah al-Nisa’: 82]
8. MELAKUKAN IBADAH KORBAN BAGI YANG MAMPU
Daripada Aisyah r.a., bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (haiwan korban).
Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).”
[HR al-Tirmizi, hadis hasan]
9. MAKAN DAGING KORBAN DAN BERIKAN SEDEKAH KEPADA ASNAF DAN FAKIR MISKIN
فَكُلُوا۟ مِنْهَا وَأَطْعِمُوا۟ ٱلْبَآئِسَ ٱلْفَقِيرَ
Maksudnya: “Maka makanlah sebahagian daripadanya (haiwan korban) dan (sebahagian lagi) berikanlah untuk dimakan orang-orang yang sengsara dan fakir.
[Surah al-Hajj: 28]
10. LARANGAN BERPUASA PADA HARI-HARI TASYRIK
Hari-hari Tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Zulhijjah merupakan amalan melontar jamrah di Mina bagi yang mengerjakan ibadah haji. Selain itu, umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji, digalakkan untuk melakukan ibadah korban pada tarikh tersebut.
Kita juga dianjurkan untuk menikmati makanan dan minuman sebagai bentuk syukur atas nikmat Allah SWT. Rasulullah SAW menyebutkan Hari Tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.
Sabda Nabi Muhammad SAW:
أَيَّامُ التَّشْرِيقِ أَيَّامُ أَكْلٍ وَشُرْبٍ
Maksudnya: “Hari tasyrik adalah hari untuk makan dan minum.”
[HR Muslim, hadis sahih]
Baca juga: Solat Dhuha: Panduan Lengkap Beserta Doa Dhuha
Semoga kita dapat sama-sama memanfaatkan 10 hari terawal Zulhijjah ini dengan amalan-amalan yang bermanfaat seperti mana yang dianjurkan oleh Nabi SAW.
Ayuh, jom imarahkan 10 hari yang penuh keberkatan ini!
RUJUKAN
- Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Li al-Haj Siri ke-32: Keistimewaan Dan Fadhilat 10 Awal Zulhijjah: Marilah Kita Beramal.
- Laman Web Rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Bayan Linnas Siri Ke-110: Kelebihan Hari Arafah Dan Hari Raya Aidiladha.
- Ustazah Asma Harun
- Dr Ahmad Sanusi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.