Zikirlah supaya diampunkan dosa
TERDAPAT satu zikir kita semua tahu dan mampu menghafaznya. Selepas membaca hadis berikut, diharap kita dapat kekal istiqamah beramal dengannya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barangsiapa mengucapkan ‘subhanallah wabihamdihi’ seratus kali dalam sehari, ia akan diampuni segala dosanya sekalipun dosanya itu sebanyak buih di lautan.” (Hadis riwayat Muslim dan Tirmidzi)
Berdasarkan hadis itu, zikir ‘subhanallah wabihamdihi’ sekiranya dibaca 100 kali pada setiap hari, ganjaran besar menanti pengamalnya iaitu diampuni segala kesalahan dan dosa kecil yang dilakukannya pada masa lalu.
Nabi SAW menyebutkan sekalipun dosa itu sebanyak buih di lautan. Kata ulama, kenapa Nabi SAW mengumpamakan seperti buih di lautan kerana bilangan buih di lautan tidak pernah habis.
Walau sebanyak mana dosa yang dilakukan, jika mereka mengamalkan zikir itu pasti Allah SWT akan ampunkan.
Untuk menghabiskan zikir sebanyak 100 kali itu sebenarnya tidak memerlukan masa yang panjang.
Namun, disebabkan manusia sentiasa tenggelam dengan sifat malas dan lalai, ia menyebabkan zikir yang boleh diselesaikan dalam masa kurang 10 minit itu gagal dilaksanakan.
Selain itu, di dalam al-Quran turut dinyatakan seluruh makhluk lain di dunia ini turut berzikir dan bertasbih kepada Allah SWT.
Allah SWT berfirman yang bermaksud “...dan tiada sesuatu pun melainkan bertasbih dengan memuji-Nya, akan tetapi kamu tidak faham akan tasbih mereka. Sesungguhnya Ia adalah Maha Penyabar, lagi Maha Pengampun.” (Surah al-Israa’, ayat 44)
Segala benda yang berada di sekeliling kita termasuk haiwan, tumbuhan, bukit, gunung- ganang dan sungai bertasbih memuji Allah SWT.
Bagaimanapun, manusia tidak dapat memahami cara mereka berzikir. Diriwayatkan dalam satu hadis, pada satu hari Nabi SAW mengambil segenggam pasir dan membuka gengaman tangannya di hadapan Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali dan beberapa lagi sahabat.
Ketika Baginda membuka tangannya, pasir itu berzikir dan didengari sahabat yang berada di sekelilingnya. Itu adalah satu mukjizat.
Sahabat yang meriwayatkan hadis itu menyatakan, pasir itu menyebut ‘subhanallah’sehingga didengari secara zahir di telinga mereka.
Kemudian Nabi SAW memindahkan pasir itu ke tangan Abu Bakar. Beliau memegang dan membuka tangannya lalu pasir itu bertasbih.
Kemudian Abu Bakar menyerahkan pula pasir itu kepada Saidina Umar. Ketika beliau membuka tangannya, pasir itu turut berzikir. Kemudian pasir itu diberikan kepada Saidina Uthman dan ia masih berzikir.
Saidina Ali yang meriwayatkan hadis itu menyatakan, apabila Saidina Uthman memberikan pasir itu kepadanya, ia sudah tidak berzikir.
Bagaimanapun, kenapa pasir itu tidak berzikir ketika berada di tangan Ali tidak diketahui kerana semua itu adalah rahsia Allah SWT.
Banyak masa yang boleh diperuntukkan untuk mengamalkan zikir berkenaan. Contohnya, ketika memandu dalam perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja, kita boleh mengamalkan zikir itu.
Itu dikatakan fadilat yang besar yang diperoleh daripada amalan kecil.
Selain itu, fadilat zikir ‘subhanallahi wabihamdihi’ boleh diamalkan ketika diri risau tidak mampu bangun malam, takut untuk berinfak dan sedekah serta ketika takut berhadapan dengan musuh di medan perang.
Malah, turut dinyatakan amalan zikir itu lebih disukai Allah SWT daripada seseorang menginfakkan sebuah gunung emas di jalan Allah SWT.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.