Pertama, sebagai wasiat dan sunnah Rasulullah. Rasulullah SAW berwasiat kepada umatnya untuk merutinkan solat sunat dhuha. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa dia berkata,“Kekasihku (Rasulullah) memberikan pesan (wasiat) kepadaku dengan tiga hal yang tidak pernah aku tinggalkan hingga aku meninggal nanti; iaitu puasa tiga hari setiap bulan, solat Dhuha, dan tidur dalam keadaan sudah mengerjakan solat witir.”(Hadis Riwayat Bukhari)
Kedua, nilaian sedekah bagi seluruh sendi tubuh manusia. Diriwayatkan daripada Buraidah bahawa ia berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah bersabda; Pada diri manusia terdapat 363 ruas. Ia memiliki kewajiban bersedekah atas setiap ruas tersebut. Para sahabat bertanya, Siapakah yang mampu melakukan hal itu, wahai Rasulullah? Baginda bersabda, Ludah di dalam masjid yang ia timbun (dibersihkan) atau sesuatu (penghalang) yang ia singkirkan dari jalanan. Jika engkau belum mampu, dua rakaat solat Dhuha sudah memadai untuk mewakili kewajipanmu bersedekah. Selain itu, solat dhuha juga adalah sedekah yang setanding dengan bertasbih, bertahmid, bertahlil, bertakbir, berdakwah dan mencegah kemungkaran.”
Ketiga, memperoleh keuntungan (ghanimah) yang besar. Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.” (Sahih al-Targhib: 666)
Keempat, dibangunkan sebuah rumah di syurga. Bagi golongan yang rajin mengerjakan solat dhuha juga akan dibangunkan sebuah rumah untuknya di dalam syurga. Hal ini dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.”(Sahih al-Jami’: 634)
Kelima, mendapat rezeki dengan segera. Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepadaKu dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”(Hadis Riwayat Abu Dawud)
Keenam, mendapat pahala umrah. Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.” (Sahih Al-Targhib: 673)
Ketujuh, mendapat keampunan dosa terdahulu. “Barangsiapa yang menjaga sembahyang dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)
Oleh itu, sudah jelas akan kelebihan-kelebihan solat sunat dhuha ini dan betapa besarnya ganjaran kepada sesiapa yang menunaikan solat sunat ini, bahkan lebih besar keistimewaannya kepada mereka yang beristiqamah mengerjakannya. Semoga solat sunat dhuha ini menjadi sebahagian daripada amalan hidup dalam mencari keredhaan Allah SWT.
Dalam sebuah riwayat oleh Hafidz Abu Bakar Al-Ajri, dari Imran bin Hasyim dan Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w bersabda: “Mahligai-mahligai (istana) di syurga itu tercipta dari Lu’lu, dan pada tiap-tiap mahligai itu ada tujuh puluh kampung dari Yaqut yang merah dan pada tiap-tiap kampung ada tujuh puluh rumah daripada Zamrud yang hijau; dan tiap-tiap rumah ada tujuh puluh tempat tidur; dan tiap-tiap tempat tidur ada tujuh orang perempuan dari bidadari.”
Kita juga disunatkan mengamalkan doa waktu dhuha seperti di bawah ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.