Rabu, 8 Mei 2019

Telaga Kemuliaan Rasulullah

Datuk Dr Zahazan Mohamed
Dalam satu ceramah, seorang ustaz mengatakan, orang yang berpegang dengan sunah nabi dibenarkan minum di telaga baginda pada hari akhirat kelak.
Manakala orang yang tidak mengikut sunah baginda dihalang daripada meminum air di kolam berkenaan. Boleh ustaz jelaskan perihal telaga nabi itu?
Zakiah
Kepong
Telaga nabi itu disebut al-Haud iaitu sebuah kolam atau telaga pada hari kiamat kelak. Setiap Muslim wajib beriman dan yakin kewujudan telaga itu.
Allah menyediakan kolam bagi setiap nabi pada hari kiamat kelak supaya air telaga atau kolam itu dapat diberikan kepada hamba yang taat dalam kalangan umat mereka.
Paling besar adalah kolam Nabi Muhammad. Baginda bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud : “Kolamku luasnya sebulan perjalanan, airnya lebih putih daripada susu, baunya lebih harum daripada bau kasturi dan bekas minumnya sebanyak bintang di langit. Sesiapa yang meminumnya tidak akan dahaga selama-lamanya.” (Riwayat al-Bukahri dan Muslim)
Bukan semua orang dapat minum dan menikmati air di kolam itu, hanya individu terpilih sahaja. Mereka yang dibenarkan minum di telaga itu adalah daripada golongan yang beriman dan berpegang dengan sunnah baginda sahaja serta berpegang dengan amalan sahabat yang diberikan petunjuk oleh Nabi SAW selepas kewafatan baginda.
Nabi bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya aku akan berdiri di penjuru kolamku untuk menyekat manusia supaya diberikan tempat kepada ahli Yaman untuk minum dulu, kemudian aku pukul airnya dengan tongkatku hingga mengalir kepada mereka.”
Baginda ditanya mengenai lebarnya dan baginda menjawab: “Panjangnya daripada tempat dudukku sehingga ke Amman (Jordan).”
Selepas itu, baginda ditanya pula mengenai air minumannya. Baginda membalas: “Airnya lebih putih daripada susu dan lebih manis daripada madu, mengalir masuk ke dalamnya dua saluran yang berasal dari syurga, salah satu daripadanya diperbuat daripada emas dan sebuah lagi daripada sejenis perak.” (Riwayat Muslim)
Di padang Mahsyar yang panas terik itu, manusia berusaha untuk minum air di kolam itu. Sesiapa yang dapat minum airnya, dia tidak akan haus selama-lamanya.
Namun, mereka yang tidak berpegang dengan sunnah akan dihalau daripada menikmatinya.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Aku akan mendahului kamu di al-Haudh. Diperlihatkan di hadapanku beberapa orang dalam kalangan kamu. Namun ketika aku hendak mengambil air untuk mereka, mereka dijauhkan daripadaku. Maka aku bertanya: “Wahai Tuhan, mereka itu umatku.”
Lalu dikatakan kepadaku: “Engkau tidak mengetahui apakah yang mereka lakukan selepas engkau (wafat).” (Hadis riwayat al-Bukhari)
Dalam hadis lain menyebut: “Wahai Tuhanku mereka adalah pengikutku.” Lalu dikatakan, “Engkau sebenarnya tidak mengetahui rekaan bidaah yang mereka lakukan sesudahmu.”
Kemudian Rasulullah bersabda: “Celaka! Celaka bagi orang yang mengganti ajaranku sesudahku.”
Golongan yang dihalau daripada menikmati air di kolam nabi itu antaranya orang munafik, orang murtad, pelaku bidaah atau mengubah ajaran nabi, mereka yang menjauhkan manusia dari agama Allah serta hukum hakamnya, mereka yang memutar belit agama, menyesatkan orang lain daripada jalan Allah dan mereka yang menimbulkan fitnah terhadap Muslim.
Menurut Imam Ibn ‘Abdil Barr dalam syarah Muslim: “Setiap orang yang melakukan perkara baharu dalam agama, merekalah yang akan dijauhkan daripada telaga nabi seperti Khawarij, Rafidhah dan pelaku bidaah yang lain.
Begitu juga orang yang berbuat zalim dan dilaknat akibat melakukan dosa besar. Semua yang disebutkan itu ditakuti akan dijauhkan daripada telaga nabi.
Penulis ialah pendakwah
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 10:19 AM

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.