Rabu, 16 Januari 2019

Pecutan Terakhir Mengejar Keampunan di Garisan Penamat Ramadhan

  
 
Daripada Abu Hurairah RA berkata Rasulullah SAW bersabda: “Celakalah seseorang itu, apabila namaku disebut-sebut di hadapannya dan dia tidak mengucapkan selawat kepadaku, celakalah seseorang itu, apabila Bulan Ramadhan menemuinya kemudian telah berakhir sebelum dia mendapatkan keampunan (daripada Allah), dan celakalah seseorang yang kedua orang tuanya berusia lanjut namun kedua orang tuanya tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga (kerana kebaktiannya).” (Hadith riwayat at-Tirmizi, No. 3545, Ahmad, No. 7139, al-Baihaqi dalam sunan al-Kubra, No. 8295, al-Tabrani dalam Mu’jam al-Awsat, No. 8989, al-Hathami dalam al-Majma’, No. 17319, Ibn Hibban dalam sahihnya, No. 916, Ibn Khuzaimah dalam sahihnya, No. 1786).

Matan Hadith:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ ذُكِرْتُ عِنْدَهُ فَلَمْ يُصَلِّ عَلَيَّ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ دَخَلَ عَلَيْهِ رَمَضَانُ ثُمَّ انْسَلَخَ قَبْلَ أَنْ يُغْفَرَ لَهُ وَرَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ أَدْرَكَ عِنْدَهُ أَبَوَاهُ الْكِبَرَ فَلَمْ يُدْخِلَاهُ الْجَنَّةَ. وَقالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ غَرِيبٌ مِنْ هَذَا الْوَجْهِ
]جامع الترمذي , كِتَاب الدَّعَوَاتِ , بَاب قَوْلِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ : رَغِمَ أَنْفُ رَجُلٍ , حديث رقم 3545 , عن أبي هريرة رضي الله عنه[
 
 Pengajaran Hadith :
 
  1. Nabi SAW adalah seorang Rasul yang diutuskan Allah SWT untuk membawa rahmat kepada umatnya. Bahkan Nabi SAW sendiri adalah seorang yang lemah-lembut dan penyayang kepada umatnya. Namun dalam hadith ini, Baginda SAW telah mengaminkan doa kecelakaan kepada tiga golongan manusia apabila mereka mengabaikan perintah dan tanggungjawab yang telah ditetapkan.
  2. Bulan Ramadhan memberi kesempatan bagi seseorang hamba merebut dan memperbanyakkan amalan seperti berselawat serta mengamalkan sunnah-sunnah Nabi SAW bagi mendapat pahala yang berlipat ganda. Dalam bulan yang mulia ini juga peluang untuk seseorang anak berbakti dan mendoakan kepada kedua ibu bapanya. Alangkah ruginya bagi seseorang apabila datangnya bulan Ramadhan tetapi tidak mendapat kebaikannya, malah dia masih lalai dan bergelumang dengan noda dan dosa.
  3. Walau bagaimanapun, jika sesuatu amalan kebaikan itu disertai dengan perasaan riak dan takabbur maka amalan tersebut bukan sahaja akan ditolak bahkan akan menambahkan dosa serta jauh daripada keampunan-Nya. Marilah kita menginsafi diri kita sendiri dengan bermuhasabah adakah ketiga-tiga doa malaikat yang diaminkan oleh Nabi SAW itu berlaku ke atas diri kita? Jika ianya berlaku, bertaubatlah segera dan minta ampunlah kepada Allah SWT. Semoga Allah SWT menjauhkan diri kita daripada tiga kecelakaan tersebut.
 
Sumber Rujukan :
1-Kitab Jami’ at-Tarmizi
2-Kitab Sunan al-Kubra Li al-Baihaqi
3-Kitab Mu’jam al-Awsat Li al-Tabrani
4-Kitab Majma’ al-Zawaid wal Manba’u al-Fawaid Li al-Haithami
5-Kitab Sahih Ibn Hibban
6-Kitab Sahih Ibn Khuzaimah
7-Kitab Tuhfatul Ahwazi Bisyarhi Jami’ at-Tirmizi Li al-Mubarakfuri
8-Kitab Mirqatul Mafatih Syarh Misykatul Masobih Li al-Syeikh ‘Ali al-Qari
 
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.