بِسۡـــــــــمِ ٱللهِ ٱلرَّحۡـمَـٰنِ ٱلرَّحِـــــــيمِ
اَللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ
.
Khutbah Jumaat: “ Kaya Dunia Miskin Akhirat ”
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Saya berpesan kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah SWT dengan memperkukuhkan pengabadian diri kita kepada-Nya dengan melaksanakan segala perintah dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan pada hari yang penuh berkat ini menjadikan kita insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Tajuk khutbah pada hari ini ialah: “KAYA DUNIA MISKIN AKHIRAT”.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Sebagai seorang Islam kita seharusnya bijak melayarkan bahtera kehidupan ke arah yang benar mengikut petunjuk yang telah digariskan oleh al-Quran dan al-Hadith. Dalam menuju ke destinasi akhirat maka hendaklah kita mencari dan mengumpul seberapa banyak bekalan pahala kebajikan dan kebaikan semasa hidup di dunia. Ingatlah sebagaimana pesan Nabi kita dalam hadithnya yang bermaksud: “Dunia ini sebagai tempat bercucuk tanam. Hasilnya kita akan kecapi di Akhirat nanti.” Dan “Beramallah untuk dunia seolah-olah kamu akan hidup selama-lamanya. Beramallah untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati keesokannya. ”
.
Segala amalan kita di dunia ini akan dibentangkan di akhirat, tidak terkecuali walaupun ianya sekecil zarah. Pada ketika itu kita akan melihat segala amalan semasa hidup ini dalam suratan amal, ada yang berpahala, ada juga yang berdosa. Mereka yang berdosa itu akan merasa takut dengan keadaan sedemikian.
Firman Allah SWT dalam surah al-Kahfi ayat 49:
Maksudnya: “Dan Kitab-kitab Amal dibentangkan, maka engkau akan melihat orang yang berdosa itu merasa takut akan apa yang tersurat di dalamnya; dan mereka berkata: Aduhai celakanya kami, mengapa kitab ini demikian keadaannya? Ia tidak meninggalkan yang kecil atau besar, melainkan semua dihitungnya! Dan mereka dapati segala yang mereka kerjakan itu ada tertulis di dalamnya. dan ingatlah Tuhanmu tidak berlaku zalim kepada seseorang pun. ”
.
Namun persoalannya pada hari ini ada daripada kalangan kita yang kaya di dunia tetapi miskin di akhirat dengan kata lain mereka ini banyak melakukan amalan kebaikan dan kebajikan semasa di dunia tetapi ketika di akhirat mereka ini dikira sebagai golongan miskin ataupun muflis.. Kenapa jadi sebegini?. Jawapannya ialah kerana semasa hidup di dunia, mereka melakukan kebaikan dan kebajikan serta dalam masa yang sama mereka juga melakukan kejahatan dan dosa sesama manusia. Segala ganjaran pahala kebaikan di ambil oleh Allah SWT bagi membayar segala hutang kejahatan semasa hidup di dunia ini sebagaimana sabda Rasulullah SAW :
Maksudnya: “Siapa yang muflis? Manusia yang muflis itu bukanlah mereka yang tidak berharta dan tempat tinggal.”Sesungguhnya orang yang muflis itu ialah mereka yang tidak menunaikan hak-hak orang lain seperti mencaci dan merampas harta tanpa hak, memukul tanpa sebab dan sebagainya.” (Riwayat Muslim)
.
Dan sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud; “Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?” Para sahabat menjawab: Bagi kami orang yang muflis ialah orang yang tidak memiliki wang mahupun hartabenda”. Lalu Rasulullah SAW bersabda lagi: Sebenarnya orang yang muflis dalam kalangan umatku ialah mereka yang pada hari Kiamat datang dengan membawa pahala amal solat, puasa, zakat dan haji tetapi semasa di dunia mereka pernah mencaci maki orang, menuduh tanpa bukti, memakan harta dengan zalim, membunuh dan memukul sesuka hati. Lalu pada hari kiamat, orang yang di zalimi akan menerima pahala amal si penzalim. Jika pahala amalnya telah habis (diberikan) sedangkan kesalahan dan dosanya semasa di dunia kepada orang yang tidak berdosa masih banyak, maka Alllah SWT akan memberi pula dosa orang yang dizalimi itu kepadanya sehingga semakin berat bebannya, lalu Allah SWT campakkan dia ke dalam neraka.” (Riwayat Muslim)
.
Berdasarkan hadith ini, dapat kita fahami bahawa golongan yang menjadi muflis di akhirat adalah berasal daripada mereka yang memiliki pahala yang banyak. Bagaimanapun, semua pahala ibadah mereka itu habis kerana digunakan sebagai bayaran ganti rugi kepada insan yang pernah disakiti, dikianati, dihina, dibunuh atau dizalimi. Bahkan mereka juga akan dibebankan dengan dosa orang yang dizalimi. Alangkah ruginya golongan muflis ini. Ganjaran pahala yang dikumpulkan dengan mengerjakan bermacam kebaikan dan ibadah, akhirnya menjadi barang tukaran kerana denda yang perlu dibayar dengan sebab kesalahan terhadap orang lain. Kuat beribadah dan memiliki pahala yang banyak tidak menjamin terpeliharanya seseorang itu daripada azab Allah SWT jika pada masa yang sama masih lagi melakukan penganiayaan, penindasan dan kezaliman kepada insan lain.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Dalam pergaulan hidup sehari-hari sudah tentu berlaku kesilapan sama ada disengajakan atau tidak. Kesilapan itu boleh mengundang dosa terutama jika ia menyentuh pelanggaran hak yang berkaitan dengan tubuh, maruah diri dan harta benda orang lain. Apabila kesalahan berkaitan dengan manusia, maka wajib bagi kita meminta maaf dan mengembalikan haknya. Jika kita tidak sempat memohon kemaafan semasa hidup di dunia ini maka dosa-dosa itu akan dibayar dengan pahala-pahala di akhirat. Kerana itulah pahala kita ini akan berkurangan sehingga kita miskin di akhirat nanti. Jika kita miskin di dunia masih ada lagi orang yang bersimpati dan dapat membantu kita. Tetapi bagaimana pula hal keadaan kita apabila miskin di akhirat ?. Siapakah yang akan bersimpati, siapakah yang akan menolong kita dan siapakah pula yang akan menyelamatkan kita dari azab seksaan neraka Allah SWT?.
.
Dalam banyak-banyak anggota, lidahlah yang paling banyak kesalahan yang melibatkan sesama manusia. Dosa lidah boleh menyebabkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat. Kenapa lidah kita amat mudah untuk bercakap mengenai orang lain? Itulah persoalan yang perlu ditanya diri kita pada hari ini. Imam al-Ghazali pernah berkata: “menerusi lidah akan berlakulah pendustaan atau pembohongan, buruk sangka, permusuhan, fitnah, mencarut, mencela, mengutuk, bertelingkah, mengumpat, melaknat dan membicarakan sesuatu dalam keadaan kesat, kasar dan penuh dengan kesombongan.”
.
Untuk hidup dalam suasana yang tenteram, aman dan damai, hendaklah diawasi lidah kerana melalui lidah tutur kata akan menjadi lebih benar, beradab dan bahasanya lebih sopan. Sikap tidak menjaga lidah bukan sahaja menimbulkan kemarahan orang yang mendengarnya, malah menimbulkan implikasi buruk kepada hubungan sesama manusia yang mengakibatkan seseorang itu menjadi muflis di akhirat.
.
Sebagaimana hidup di dunia, kehidupan di akhirat juga kita memerlukan kekayaan. Kita memerlukan kekayaan yang digunakan untuk mendapat alam kubur yang luas dan terang, berada di Padang Mahsyar dengan selesa, meniti Titian Siratul Mustaqim sepantas kilat, melintasi pintu Syurga, membina mahligai besar di dalam syurga, makan dan minum yang enak-enak, bergerak tanpa batas, mempunyai bidadari yang cantik dan hidup bersenang lenang di Syurga abadi. Hanya satu sahaja kekayaan yang bernilai iaitu ganjaran pahala. Tanpa pahala kita akan menjadi manusia yang miskin di akhirat kelak dan tidak mampu membeli kesenangan, kita akan susah di alam kubur, di Padang Mashyar dan seterusnya akan dilemparkan ke dalam neraka bersama kaum kafir dan Iblis.
.
.
Muslimin Yang di Rahmati Allah,
Mengakhiri khutbah pada minggu ini marilah sama-sama kita menghitung diri kita, adakah kita ini sudah cukup amalan untuk bertemu dengan Alllah SWT di akhirat kelak, adakah segala amalan kita di dunia ini dijamin pahala di akhirat. Ingatlah segala amalan kita akan diperhitungkan samada ia berpahala atau berdosa dan semuanya terserah kepada neraca keadilan yang telah ditentukan oleh Allah SWT. lngatlah wahai muslimin sekalian bahawa setiap pergerakan kita sentiasa diawasi oleh dua malaikat iaitu Raqib dan Atid. Elakkan daripada terjerumus ke dalam dosa termasuk melemparkan tuduhan, prasangka buruk serta bercakap bohong. Setiap apa yang diucapkan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Hanya perkataan-perkataan yang diredai Allah akan dicatat, manakala perkataan-perkataan yang mendatangkan kebencian Allah akan dicatat atas kemurkaan-Nya sampai hari kiamat. Janganlah kita tergolong dalam golongan mereka yang kaya di dunia tetapi miskin di akhirat.
Ingatlah nilai dunia tidak lebih seperti sebelah kepak nyamuk, kekuatan dunia tak lebih dari sarang labah-labah. kampung akhirat jua lah yang kekal selama-lamanya.
Marilah sama-sama kita merenung firman Allah SWT dalam surah al-Zalzalah ayat 7 dan 8:
Bermaksud: “Maka sesiapa berbuat kebajikan seberat dzarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya)!Dan sesiapa berbuat kejahatan seberat zarrah, nescaya akan dilihatnya (dalam surat amalnya) ”.
.
.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia“ Kaya Dunia Miskin Akhirat ”
(2 November 2012 / 17 Zulhijjah 1433H)
.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.