Isnin, 1 Julai 2019

11 Kelebihan Istighfar Yang Patut Anda Tahu

11 Kelebihan Istighfar Yang Patut Anda Tahu

OLEH NURUL AKMAL  •  13 FEB 2015  •  13 MIN BACA
Apabila dilihat makna di sebalik ungkapan ISTIGHFAR, “Aku memohon keampunan dari Allah swt.”; dapat dilihat bahawa ungkapan ini adalah suatu lafaz bertaubat dari dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh seorang hamba kepada Tuhannya. Jelas sekali bahawa lafaz yang sangat pendek ini amat besar nilainya di sisi Allah swt iaitu sama besarnya dengan taubat seperti dalam firmanNya:

annasr3
Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat. (Surah An-Nasr: 3)

Justeru pasti lafaz yang tinggi kepentingannya sehingga sering dianjurkan Allah swt di dalam kitabNya ini memiliki banyak rahsia dan kelebihannya. Berikut adalah antara kelebihan-kelebihan mengamalkan istighfar di dalam kehidupan seharian kita.

#1 – Diampunkan Dosa-Dosanya oleh Allah swt

Kita adalah seorang hamba yang tidak dapat lari dari melakukan kesalahan dan jauh sekali dari kesempurnaan. Kelemahan diri dalam melawan hawa nafsu menyebabkan kita sering jatuh tersungkur di lembah maksiat.
Namun janganlah pernah berputus asa dalam mengharapkan keampunan daripada Allah swt dan teruslah beristighfar. Kerana Allah swt telah berjanji seperti di dalam sabda baginda Rasulullah saw:
Allah telah berfirman, “Wahai hamba-hambaKu, setiap kalian pasti berdosa kecuali yang Aku jaga. Maka beristighfarlah kalian kepadaKu, nescaya kalian Aku ampuni. Dan barangsiapa yang meyakini bahawa Aku punya kemampuan untuk mengampuni dosa-dosanya, maka Aku akan mengampuninya dan Aku tidak peduli (beberapa banyak dosanya).”
 Riwayat Ibnu Majah, Tirmidzi

#2 – Dimakbulkan Permintaan & Hajat

Orang yang sentiasa ikhlas memohon keampunan daripada Allah swt pasti sentiasa dibersihkan dari dosa-dosanya. Apabila seseorang hamba itu bersih dari dosa maka munajatnya mudah diperkenankan oleh Allah swt kerana dekatnya dia di sisi Allah swt. Adalah tidak mustahil bagi Allah swt untuk memakbulkan segala permintaannya dengan sifat Allah Yang Maha Pemurah itu.
Imam Ahmad Ibnu Hambal mengisahkan kelebihan istighfar yang diamalkan oleh seorang pembuat roti. Sepanjang malam si pembuat roti akan membuat roti sambil beristighfar tanpa henti dan ini telah didengari oleh Imam Ahmad yang menumpang tidur di rumahnya.
istighfar tasbih quran
Doa dimakbulkan jika yakin dan rajin beristighfar kepada Allah. [Azrin]
Lalu ditanyakan kepadanya apakah kelebihan yang diperolehinya melalui amalan istighfar yang bersungguh-sungguh itu. Dijawab si pembuat roti bahawa Allah swt telah mengkabulkan segala permintaannya selama ini setiap kali dia berdoa kecuali permintaannya untuk bertemu dengan Imam Ahmad Ibnu Hambal.
(Si pembuat roti tidak mengenali Imam Ahmad yang dipelawanya untuk menumpang tidur di rumahnya sendiri ketika itu). Imam Ahmad sangat terkejut bagaimana Allah swt telah merencanakan perjalanannya sehingga dia berteduh di rumah si pembuat roti. Ternyata juga ini semua untuk memperkenankan hajat si pembuat roti iaitu ingin bertemu dengannya.
Melalui kisah ini dapat dikongsikan bahawa antara kelebihan amalan istighfar ialah diperkenankan segala permintaan dan dimakbulkan hajat oleh Allah swt pada hamba-hambaNya yang sentiasa memohon keampunan dariNya.

#3 – Bertambah Kekuatan

“Tiada daya dan kudrat melainkan hanya dengan Allah swt,” itulah fitrah kejadian manusia. Segala kekuatan hanya milik Sang Pencipta. Betapa setiap ujian dan cabaran dalam hidup yang ada pasang surutnya membuatkan kita lelah.
Mahu tidak mahu segala keperitan itu perlu dihadapi juga. Tapi dari manakah segala kekuatan dapat diperolehi kembali setelah diri dirasakan telah lunyai diasak dugaan? Firman Allah swt yang bermaksud:

hud52
Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa! (Surah Hud: 52)

Dekatnya seorang hamba kepada Sang Pencipta, dekat lagi Sang Penciptanya kepada hamba itu. Dia tidak akan meninggalkan hamba-hambaNya yang begitu tekun mendekatiNya dengan sentiasa mengharapkan keampunanNya. Dan Tuhannya juga berjanji untuk menambah kekuatan hambaNya agar menang dalam menghadapi segala cabaran hidup di atas dunia ini.

#4 – Mudah Mendapat Zuriat

Para ulama’ menyarankan kepada setiap pasangan yang berhajat pada zuriat untuk memperbanyakkan amalan istighfar. Antara kisah yang boleh dikongsi di sini adalah dari Imam al Qurtubi yang diriwayatkan oleh Ibnu Shabih tentang seorang lelaki yang tidak mempunyai zuriat telah menemui Hasan al-Basri kerana hal ini.
Lelaki itu kemudiannya telah dinasihatkan oleh Hasan untuk mengamalkan istighfar. Setelah beberapa ketika mengamalkan istighfar, lelaki itu kembali kepada Hasan untuk memaklumkan kehamilan isterinya.
Memperoleh zuriat merupakan kebahagiaan paling bermakna dalam hidup. [Asknie]
Kelebihan istighfar dalam ikhtiar untuk mendapatkan zuriat juga telah dikongsi oleh Syeikh Aidh al Qarni di dalam ceramahnya. Syeikh Aidh al Qarni menceritakan bagaimana seorang wanita yang disahkan mandul oleh doktor dan pakar perubatan telah dikurniakan dengan anak setelah mengamalkan saranan seorang ulama’ untuk memperbanyakkan istighfar.
Menurut penceramah terkenal Ustazah Siti Nor Bahyah, Allah swt sentiasa mengasihi dan merahmati mereka yang beristighfar. Kasih sayang Allah swt kepada mereka memungkinkan pengurniaan cahaya mata dari Allah swt. Kerana itu beliau sangat menggesa agar pasangan yang inginkan cahaya mata untuk terus mengamalkan istighfar.
Nasihat yang sama kini turut diberikan oleh seorang penulis buku Ustaz Mohamad Abdul Kadir bin Sahak. Istighfar merupakan salah satu amalan yang disenaraikan oleh ustaz kepada soalan yang ditanyakan kepadanya tentang bagaimana untuk dikurniakan anak.

#5 – Menyembuhkan Penyakit

Seorang da’i yang hanya dikenali sebagai Ustaz Danu telah berkongsi tentang pengalamannya selama 15 tahun yang meneliti bahawa terdapatnya hubungkait suatu penyakit dengan kebiasaan maksiat dan dosa yang dilakukan oleh seorang pesakit.
Menerusi pemerhatian inilah dia akhirnya menyimpulkan bahawa istighfar merupakan salah satu jalan kepada kesembuhan penyakit. Semua yang menemuinya untuk mendapatkan nasihat tentang bagaimana untuk menghadapi ujian penyakit yang dialami akan diusulkan agar memperbanyakkan istighfar. Imam Qatadah pernah berkata:
“Al-Qur’an telah menunjukkan penyakit dan ubat kalian, adapun penyakit kalian adalah dosa, dan ubat kalian adalah istighfar.”
 Kitab Ihya’ Ulumuddin: 1/410
Rahsia amalan istighfar sebagai jalan penyembuhan juga telah saya alami sendiri. Sejak kecil lagi saya menghidapi suatu penyakit. Penyakit ini telah memberi kesukaran dan kesulitan kepada saya dalam menjalankan aktiviti harian.
Saya pernah berjumpa ramai doktor dan berikhtiar dengan ramai ustaz, namun ternyata Allah swt belum mengizinkan kesembuhan ke atas saya. Sehinggalah saya dinasihati oleh seseorang untuk memohon keampunan dari Allah swt.
Dengan izin Allah, dengan istighfar dapat menyembuhkan penyakit. [jibonbld]
Jangan minta apa-apa untuk dunia dan jangan minta apa-apa untuk akhirat; jangan minta apa-apa dari Allah swt melainkan keampunan sahaja, begitu sekali ditekankan kepada saya. Selama tiga hari saya hanya minta ampun tanpa memikirkan apa-apa selain itu, bahkan berdoa untuk kesembuhan kesakitan itu juga saya tidak.
Segala puji hanya bagi Allah swt, tanpa disangka penyakit yang dihadapi selama bertahun-tahun itu sembuh selepas hanya tiga hari. Sejak itu saya sangat yakin dengan amalan istighfar dan sesiapa sahaja akan saya nasihatkan agar perbanyakkan istighfar sebagai kunci mendapatkan kesembuhan.

#6 – Menyejukkan Hati Isteri yang Sedang Marah

Dikisahkan tentang seorang hamba Allah yang telah bertengkar dengan isterinya mulai saat dia tiba di rumah sehingga menjelang Subuh. Teruknya keadaan mereka suami isteri bertengkar sehingga si isteri membuat keputusan untuk keluar dari rumah dan pulang kepada orang tuanya.
Kecewa kerana gagal memujuk si isteri, hamba Allah ini telah pergi ke masjid dalam keadaan marah dan beremosi ketika isterinya sibuk mengemas pakaian. Selepas solat Subuh berjemaah, hamba Allah ini memilih untuk beristighfar selama sejam bagi menenangkan dirinya dari terus pulang ke rumah.
isteri marah pujuk keluarga
Utamakan keluarga dan tenteramkanlah hati kerana Allah swt. [ashrafali]
Usai beristighfar dia kembali ke rumah namun alangkah terkejutnya dia apabila melihat si isteri sedang menanti dengan wajah yang manis dan ceria. Lebih menghairankan apabila si isteri juga meminta maaf atas keterlanjuran dan pertelingkahan yang berlaku sepanjang malam itu.
Hamba Allah ini lalu bertanya si isteri apa yang berlaku sehingga si isteri boleh berubah. Si isteri menjawab bahawa dia juga tidak tahu namun sejak sejam yang lalu hatinya tiba-tiba merasa tenang dan jiwanya jadi tenteram. Si isteri juga jadi sedar pada kesilapannya. Hamba Allah ini lantas teringat bahawa pada sejam itulah dia sedang khusyuk beristighfar. Hamba Allah ini sangat bersyukur atas bantuan Allah swt dalam mendamaikan hati mereka berdua.
Mungkin ada kesilapan, dosa dan maksiat yang kita lakukan secara sedar atau tidak kepada Allah swt sehingga kita diuji dengan pasangan dan keluarga kita. Anak-anak jadi degil dan liar, entah ke mana perginya. Kembalilah kepada Allah swt atas teguran ini, berhentilah dengan dosa dan banyakkan memohon ampun. InsyaAllah akan dikembalikan keamanan di dalam keluarga kita.

#7 – Dijauhkan dari Azab & Bala


alanfal33
Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang engkau (wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun). (Surah Al-Anfal: 33)

Mintalah ampun pada setiap masa kerana sungguh kita tidak tahu ketika bila Allah swt mengurniakan keampunan kepada kita. Jangan berhenti mengharapkan keampunan Allah swt kerana kita tidak tahu lafaz yang mana diangkat Allah swt sebagai asbab menyelamatkan kita dan keluarga kita dari azab dan bala di dunia dan di akhirat.
Seorang pemotong daging telah ditanya oleh seorang ulama’ tentang amalan apakah yang sering dilakukannya sehingga kubur ayahnya begitu lapang dan bercahaya. Amalan apakah yang menyebabkan ayahnya tidak diazab di alam barzakh sedangkan penghuni kubur yang lain berada dalam dukacita.
Ternyata jawab si pemotong daging bahawa dia tidak pernah berhenti memohon keampunan Allah swt untuk ayahnya dan amalan inilah yang menyelamatkan ayahnya di sana.

#8 – Ditambah Nikmat & Kekayaan

Dr Azizan Osman, seorang jutawan yang tidak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman amat menegaskan amalan istighfar kepada para pelajarnya selain amalan sedekah.
Kaya Duit Wang Nikmat
Selayaknya Allah swt memberikan ganjaran kepada hambaNya yang soleh. [Erik]
Seorang peniaga minyak wangi yang berjaya pula pernah menasihati saya untuk mengamalkan sekurang-kurangnya 70 kali istighfar sebelum memulakan sesi perniagaan.
Nasihat ini ada benarnya dan terbukti kerana antara janji Allah swt ganjaran buat mereka yang memohon keampunan kepadaNya adalah kekayaan dalam bentuk harta, rezeki dan anak-anak. Firman Allah swt:

nuh10
“Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun. (Surah Nuh: 10)
nuh11
“(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (Surah Nuh: 11)
nuh12
“Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (Surah Nuh: 12)

Selain itu, Allah swt juga berjanji bahawa mereka yang beristighfar akan diberi nikmat yang tidak putus-putus seperti di dalam firmanNya:

hud3
Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu; dan jika kamu berpaling (membelakangkan tiga perkara itu), maka sesungguhnya aku bimbang kamu akan beroleh azab hari kiamat yang besar (huru-haranya). (Surah Hud: 3)

#9 – Memberatkan Timbangan Akhirat & Diangkat Ke Syurga

Kesayangan Rasulullah saw, Saidatina Aisyah ra pernah berkata:
“Beruntunglah orang-orang yang menemukan istighfar yang banyak pada setiap lembar catatan harian amal mereka.” Riwayat Bukhari
Mengapa beruntung? Keampunan Allah swt akan memadam segala rekod jahat di dalam catatan amal seorang hamba. Malah kejahatan akan diganti dengan kebajikan seperti firman Allah:

alfurqan70
Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan (pada tempat) kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (Surah Al-Furqan: 70)

Maka pahala akan bertambah dan dosa akan berkurang. Ini akan memberatkan timbangan di akhirat kelak. Selain pahala dan kebajikan yang banyak, Allah swt juga menjanjikan syurga kepada mereka yang memohon keampunanNya seperti firman Allah:

aliimran135
Dan juga orang-orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiaya diri sendiri, mereka segera ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka – dan sememangnya tidak ada yang mengampunkan dosa-dosa melainkan Allah -, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji yang mereka telah lakukan itu, sedang mereka mengetahui (akan salahnya dan akibatnya). (Surah Ali-Imran: 135)
aliimran136
Orang-orang yang demikian sifatnya, balasannya ialah keampunan dari Tuhan mereka, dan Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya; dan yang demikian itulah sebaik-baik balasan (bagi) orang-orang yang beramal. (Surah Ali-Imran: 136)

#10 – Penyelesaian Setiap Permasalahan, Jalan Keluar dari Kesusahan & Kesedihan

Perkongsian ini dari seorang ulama’, Ibnu Taimiyyah Rahimahullah. Menurut pengalaman beliau:
“Sungguh, kadang-kadang terlintas di hatiku suatu persoalan yang sulit untuk aku fahami, maka aku beristighfar kepada Allah, sehingga dadaku menjadi lapang dan persoalan itu terpecahkan. Terkadang aku berada di pasar, masjid atau sekolah, hal itu tidak menghalangiku untuk mengucapkan istighfar, hingga aku memperoleh yang aku inginkan.”
Keyakinan para ulama’ dalam melazimi istighfar telah memberi manfaat kepada mereka untuk memahami dan mendalami persoalan ilmu sehingga menjadi pakar dalam bidang mereka. Istighfar juga memudahkan segala urusan dan menyelesaikan masalah sehingga mereka dapat mengatur masa dalam kesibukan mereka belajar, mengajar, bekerja dan menulis kitab. Dari Ibni Abbas ra, baginda Rasulullah saw juga bersabda:
“Barangsiapa yang sentiasa beristighfar, maka Allah akan memberikan kegembiraan dari setiap kesedihannya, dan kelapangan bagi setiap kesempitannya, dan memberi rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka.”
 Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Ahmad

#11 – Menggembirakan Allah & Dicintai Allah

Pasti matlamat utama istighfar adalah untuk mendapatkan redha daripada Allah swt. Mudahan redha Allah swt membuatkan kita beroleh ehsan dariNya ketika hari Kiamat tiba dan ketika kita dalam perhitungan antara Neraka dan Syurga. Redha Allah swt akan diperolehi apabila kita menggembirakan Allah swt dan istighfar adalah jalannya. Rasulullah saw bersabda:
“Sungguh Allah lebih gembira dengan taubat hambaNya daripada kegembiraan salah seorang dari kalian yang menemukan untanya yang hilang di padang pasir.”
 Riwayat Bukhari dan Muslim
Rasulullah saw juga bersabda:
“Orang yang bertaubat adalah kekasih Allah. Orang yang bertaubat atas dosanya bagaikan orang yang tidak berdosa.”
 Riwayat Ibnu Majah
Kekasih adalah orang yang dicintai. Kekasih adalah orang yang sentiasa dirindui dalam ingatan. Seorang yang bercinta akan sanggup melakukan apa sahaja agar yang dicinta selamat dan gembira sentiasa.
Kemanisan apakah yang lebih hebat dari kemanisan bercinta? Kekasih manakah yang lebih hebat dalam bercinta jika bukan Allah swt? Maka beruntunglah orang yang dicintai Allah swt. FirmanNya:

albaqarah222
Dan mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (hukum) haid. Katakanlah: “Darah haid itu satu benda yang (menjijikkan dan) mendatangkan mudarat”. Oleh sebab itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari perempuan (jangan bersetubuh dengan isteri kamu) dalam masa datang darah haid itu, dan janganlah kamu hampiri mereka (untuk bersetubuh) sebelum mereka suci. Kemudian apabila mereka sudah bersuci maka datangilah mereka menurut jalan yang diperintahkan oleh Allah kepada kamu. SesungguhNya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri. (Surah Al-Baqarah: 222)

Rumusan

Dengan begitu banyak kemanisan, ganjaran dan kelebihan istighfar, maka rugilah jika kita tidak mengejar segala kebaikan ini untuk pelaburan dunia dan keuntungan akhirat. Berhentilah berdolak-dalih dengan pelbagai alasan untuk kembali kepada Tuhan sedangkan istighfar boleh dilakukan di mana sahaja dengan lafaz yang paling mudah. Lazimi istighfar ketika senang, mudahan istighfar menjadi asbab bantuan ketika susah.

KONGSIKAN ARTIKEL INI

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.












































Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.