Jumaat, 28 Jun 2019

Fadhilat Selawat Setiap Hari Kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW

Fadhilat Selawat Setiap Hari Kepada Junjungan Nabi Muhammad SAW


2

Menurut keyakinan kita orang Islam (Aqidah Islamiyyah) bahawa semua makhluk yang wujud ini adalah  semua mereka berzikir kepada Allah, bertasbih dan sujud kepadaNya walaupun kita tidak mengetahui secara pasti bagaimana cara mereka sujud, berzikir dan bertasbih. Ilmu tentang itu hanya ada di sisi Allah SAW. Terdapat 26 kelebihan berselawat  setiap hari ke atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Antaranya :
1) Sabda Rasullah SAW : Barangsiapa yang berselawat ke atasku sekali, nescaya Allah akan turunkan rahmat ke atasnya 10 kali ganda – (HR Muslim.)
2) Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan selawat sebanyak 11 kali setiap kali selesai menunaikan solat fardu.
3) Jodoh ditentukan oleh Allah. Amalkan selawat 100 kali sehari, insyaAllah akan dipermudahkan bertemu jodoh sama ada lelaki @ wanita.
4) Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat 7 kali pada air dan minum. InsyaAllah, perut yang sakit atau memulas akan sembuh.
5) Sesiapa yang mengamalkan selawat 3 kali setiap selepas solat 5 waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah.
6) Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaAllah akan dikurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.
7) Sesiapa yang mengamalkan selawat 11 kali setiap hari, dengan izin Allah dirinya akan lebih dihormati dan dihargai oleh orang lain.
8) Menurut Sayyid Ahmad Dahlan, sesiapa yang berselawat walau sekali pada malam Jumaat, saat ketika  mautnya kelak akan dipermudahkan Allah seperti yang dihadapi oleh para nabi.
9) Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, InsyaAllah akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, dan sebagainya dalam dirinya.
10) Sesiapa yang amalkan selawat 1000 kali pada malam Jumaat, InsyaAllah akan beroleh kebahagiaan samada di dunia mahupun di akhirat.
11) Amalkan selawat 11 kali tiap kali selesai solat fardu kerana Allah akan mengindahkan akhlaknya menjadi lebih disenangi di kalangan orang lain.
12) Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.
13) Sesiapa yang berselawat tak kiralah banyak mana hitungannya setiap hari akan mendapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.
14) Amalan berselawat sebanyak yang mungkin setiap hari menjamin keselamatan hidup dan pertolongan Allah, lebih-lebih lagi pada saat kita menghadap kesukaran hidup.
15) Menurut Syibab Ahmad, sesiapa berselawat 3 kali setiap selesai solat Subuh, Maghrib & Isyak, Allah akan menghindarkannya daripada sebarang bencana.
16) Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali setiap hari, Allah akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah.
17) Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan Allah akan segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNya.
18) Menurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipu daya syaitan yang melalaikan.
19) Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan Allah.
20) Sesiapa yang membaca selawat sebanyak 7 kali selama 7 Jumaat berturut-turut, dia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW.
21) Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari.
22) Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat Asar pada hari Jumaat, InsyaAllah akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang.
23) Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, Allah akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka- sangka baginya.
24) Jiwa yang resah gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sebanyak yang mungkin kerana Allah itu Maha Luas rahmatnya.
25) Membaca selawat 1000 kali selepas solat hajat 2 rakaat mampu menghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan Allah akan hajatnya.
26) Menurut para ulama, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah sebanyak 10 kali setiap selesai solat Maghrib.








































Formula 5S, raih syafaat Rasulullah

Formula 5S, raih syafaat Rasulullah

Ketika itulah kita mengharapkan syafaat Rasulullah SAW untuk melepaskan diri daripada kekalutan Mahsyar dan seksaan neraka.
Bagaimanapun dengan kelompongan dalam amalan kita, bagaimanakah untuk kita memastikan diri tergolong sebagai mereka yang berkesempatan menerima syafaat daripada Baginda?
Pendakwah bebas, Halim Hafidz, menggariskan lima formula yang boleh dijadikan rutin sebagai usaha untuk meraih keistimewaan syafaat Rasulullah SAW.
Halim berkata, formula 5S itu dimulai dengan amalan selawat ke atas Nabi Muhammad SAW yang kepentingannya disebut dalam firman Allah SWT: “Sesungguhnya Allah SWT dan malaikat-Nya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Al-Ahzab: 56)
Menurut Halim, berbeza dengan suruhan-Nya yang lain, perintah selawat tidak hanya disebut, bahkan dilakukan Allah SWT, sekali gus menggambarkan ‘tingkat’ kepentingannya.
“Allah SWT memerintahkan kita untuk solat, zakat, haji dan berpuasa tetapi Tuhan tidak melakukannya.
“Bagaimanapun apabila Allah SWT mengarahkan kita berselawat kepada Rasulullah SAW, perintah itu dimulakan dengan Tuhan sendiri berselawat kepada Baginda,” katanya kepada BH di sini.
Halim berkata, kelebihan selawat itu bukan saja akan memudahkan umat manusia menemui ‘jalan’ memperoleh syafaat di Mahsyar, bahkan akan diberi balasan 10 kali ganda oleh Allah SWT.
“Sekali kita selawat, Allah SWT akan membalas semula dengan berselawat kepada kita sebanyak 10 kali, manakala Nabi Muhammad SAW bersabda: ‘Orang yang rapat denganku di syurga nanti adalah yang banyak berselawat’,” katanya.
Beliau berkata, 5S kedua ialah amalan memberi salam ke atas Baginda yang boleh dilakukan di mana-mana saja pada apa waktu sekalipun.
“Saya pernah ditegur seorang sheikh kerana banyak selawat tetapi tidak memberi salam kepada Rasulullah SAW.
“Bagaimanapun dalam amalan biasa kita, salam buat Rasululullah SAW hanya dikirim kepada mereka yang bakal mengunjungi makam Baginda sedangkan lafaz ‘Assalamualaikum Ya Rasulullah’ boleh dilakukan pada bila-bila masa.
“Ia boleh diucapkan selepas bangun tidur atau ketika berada di hutan dan lautan,” katanya.
Halim mengakui penerimaan amalan memberi salam tidak begitu meluas seperti amalan selawat sedangkan gabungan salam dan selawat baik untuk dibudayakan dalam kehidupan seharian.
Seperti perumpamaan tak kenal maka tak cinta, formula ketiga adalah menekankan kepentingan menguasai sirah Nabi Muhammad SAW untuk menanam rasa cinta mendalam kepada tokoh agung itu.
Melalui sirahnya, Halim berkata, umat Islam berpeluang meneladani akhlak Rasulullah dalam setiap perkara hingga dapat melihat bagaimana Baginda mendepani setiap situasi, selain mengikuti akhlaknya ketika berdepan dengan musuh.
Halim berkata, kita sering mengambil jalan mudah dengan melawan kekerasan menggunakan kekerasan sedangkan pengajaran daripada sirah Rasulullah SAW itu membolehkan kita menyedari kelembutan Baginda.
“Daripada melawan sengketa dengan sengketa, mengapa tidak kita mencontohi akhlak ketika berdepan dengan musuh apabila Baginda sedar dibenci termasuk dibaling dengan najis setiap hari.
“Bagaimanapun Rasulullah SAW tidak sekali melawan dengan cara kekerasan malah menziarahinya yang jatuh sakit hingga individu itu akhirnya memeluk agama Islam,” katanya.
Halim juga menganjurkan umat Islam mengikuti setiap sunnah Rasululah daripada sekecil-kecil hinggalah perihal besar termasuk memerintah negara.
“Sunnah ini terlalu banyak untuk dikira tetapi setiap apa yang dilakukan Baginda akan membawa manfaat untuk dicontohi dan mendekatkan kita hingga memperoleh syafaat nanti,” katanya.
Halim berkata, umat Islam juga perlu menyuburkan ingatan mereka terhadap Nabi Muhammad SAW termasuk dengan sentiasa menyebut nama dan mengaitkan Baginda dalam setiap apa yang dilihat dalam kehidupan seharian termasuklah kebudayaan moden.
Sebagai contoh, Halim menyebut Halloween diraikan besar-besaran di Barat sangat sinonim dengan labu sedangkan ia sebenarnya sangat digemari Rasulullah SAW.
“Justeru sebagai umat yang amat menyayangi Rasulullah SAW, berbanding mengambil bahagian dengan perayaan itu, mengapa tidak kita luncurkan ingatan kepada Baginda setiap kali melihat labu.
“Ingatilah tanaman itu sebagai kegemaran Baginda dan elakkan daripada mengaitkannya dengan sambutan demikian,” katanya.
Halim berkata, kemuncak cara mengingati Rasulullah ialah meniatkan setiap apa yang dilakukan dibuat ‘untuk Nabi Muhammad SAW.’
“Apabila ingin memohon sesuatu, sentiasa sebut yang kita melakukannya ‘kerana Allah dan untuk Nabi Muhammad SAW’ kerana Baginda wasilah yang paling kuat untuk kita menyampaikan hasrat kepada-Nya.
“Moga-moga setiap apa yang kita hajati dan lakukan tentunya akan lebih lancar dan diberkati,” katanya.
INFO: Formula 5S raih syafaat
• ‘Selawat’ ke atas Nabi
• ‘Salam’ ke atas Nabi
• Kuasai ‘sirah’
• Amalkan ‘sunnah’
• Sering ‘sebut’ Nabi

7 KEPENTINGAN SELAWAT YANG RAMAI TERLEPAS PANDANG

Mungkin ada yang tak perasan, kita sebenarnya berselawat dalam setiap kali solat (ketika bacaan tahiyat) serta setiap kali memulakan dan mengakhiri doa. Selain itu, kita digalakkan untuk berselawat pada bila-bila waktu di luar solat dan apabila nama Baginda disebutkan.
Tapi, sebagai seorang Muslim, tahukah kita kenapa berselawat itu amat ditekankan dalam kehidupan seharian?

7 KEPENTINGAN SELAWAT YANG RAMAI TERLEPAS PANDANG

1. Ia Adalah Perintah Allah
Anjuran untuk berselawat adalah sesuatu yang dirakamkan di dalam Al-Quran. Dalam surah Al-Ahzab ayat 56, Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah S.W.T. dan para Malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Maka, wahai mereka yang beriman berselawatlah kamu kepadanya dan ucaplah salam penghormatan kepadanya dengan sebaik selawat dan salam.”
Sedangkan Allah serta para malaikatNya juga sentiasa melahirkan rasa hormat dan kasih sayang kepada baginda, apatah lagi kita sebagai hamba yang serba kekurangan ini.
Oleh sebab itu, berselawat ke atas Rasulullah adalah salah satu cara kita menurut perintah Allah di samping mengingati segala jasa baginda dalam memperjuangkan Islam serta peribadinya yang unggul.
asmaul husna
Foto Kredit: scified.com
2. Allah Membalas Selawat HambaNya
Walaupun berselawat nampak mudah, namun fadhilatnya besar sekali bagi mukmin yang melaziminya. Allah mengasihi hambaNya yang sentiasa meletakkan  Rasulullah di dalam hati.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Sesiapa berselawat kepadaku sekali selawat, maka Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” [HR Muslim]
Jika kita berzikir dan berselawat dengan memohon supaya Allah melimpahkan kemuliaan, kehormatan, dan kepujian kepada Nabi Muhammad, Allah pula membalas selawat kita dengan cara menurunkan rahmat, berkat serta kemuliaan kepada kita.
3. Membuang Kerisauan
Selawat adalah jaminan terpelihara dan terselamatnya kita daripada segala apa yang mendukacitakan dan membimbangkan dari perkara dunia dan akhirat. Seperti yang disebutkan dalam sebuah Hadis Tirmizi, Imam Ahmad, dan Hakim:
Dari Ubai bin Ka’ab, r.a. katanya:
“Ya Rasulullah! Aku banyak menggunakan masa berdoa, memohon rahmat untuk diriku, sekarang aku hendak untukkan masa berselawat bagi tuan maka sebanyak mana yang elok aku untukkan?” Baginda s.a.w., menjawab: “Sekadar mana yang engkau suka”; Aku berkata: “Aku hendak untukkan sesuku dari masaku”; Baginda s.a.w., bersabda: “Sekadar mana yang engkau suka, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”;
Aku berkata: “Kalau begitu aku untukkan setengah dari masaku” Baginda s.a.w bersabda: “Suka hatimulah dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik untukmu”; Aku berkata: “Kalau demikian, aku untukkan dua pertiga dari masaku” Baginda s.a.w., bersabda: “Suka hatimulah, dan jika engkau lebihkan lagi, maka itu lebih baik – untukmu”;
Aku berkata: “(Kalau begitu) aku jadikan masa berdoaku semuanya untuk berselawat kepada tuan”; Baginda s.a.w., bersabda: “Jika demikian, terpeliharalah dan terselamatlah engkau dari apa yang mendukacitakan dan membimbangkanmu, sama ada perkara dunia mahu pun perkara akhirat dan diampunkan dosamu …”
Foto Kredit : justbetweenus.org
4. Diampunkan Dosa
Allah amat menyenangi hambaNya yang sentiasa mengingati Nabi Muhammad serta menghidupkan sunnahnya dalam kehidupan seharian. Allah turut menjanjikan pengampunan dosa bagi hambaNya yang rajin berselawat kepada Rasulullah.
Dari Anas bin Malik r.a. berkata Rasulullah s.a.w. telah bersabda : “Barangsiapa yang berselawat kepadaku satu kali, maka Allah berselawat kepadanya sepuluh kali dan akan dihapuskan daripadanya dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat.” [HR An-Nasaie]
Sebagai seorang hamba, kita tidak pernah terlepas dari melakukan kekhilafan. Oleh itu, berselawat boleh membantu kita menghapuskan dosa-dosa.
Panduan Solat Hajat Ringkas & Mudah. Dengan Doa!
Foto Kredit: thechosenummah.com
5. Rasulullah Membalas Ucapan Salam
Walaupun kita tidak pernah bertemu dengan Rasulullah, seorang mukmin sejati perlu menghidupkan rasa kerinduan terhadap Nabi sama seperti Nabi yang sentiasa kasih akan kita iaitu umat selepas zamannya.
Selawat merupakan cara istimewa buat umat Nabi Muhammad menyampaikan kata salam dan doa kepada Baginda. Setiap selawat yang dialunkan akan dikirimkan ke Rasulullah melalui malaikat. Rasulullah pula membalas ucapan salam tersebut.
Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda; “Tiada seseorang pun yang memberikan salam kepadaku (setelah kewafatanku), melainkan Allah mengembalikan rohku sehinggalah aku dapat menjawab salam orang itu.” [HR Abu Daud dan Ahmad, Riyadus Solihin]
cara solat sunat aidilfitri
Foto Kredit: almanalmagazine.com
6. Meraih Syafaat Daripada Rasulullah Di Akhirat
Selain mengamalkan sunnah dalam rutin harian serta menteladani pekertinya yang mulia, berselawat kepada baginda juga dituntut terutamanya pada hari Jumaat. Ini kerana Rasulullah lebih dekat dengan hambaNya yang sentiasa berselawat untuknya.
Daripada Abu Aus bin Aus RA bahawa Rasulullah SAW bersabda : Sesungguhnya di antara hari yang paling mulia bagi kamu semua ialah hari Jumaat, oleh yang demikian hendaklah kamu semua memperbanyakkan membaca selawat kepadaku pada hari itu, kerana sesungguhnya ucapan selawat kamu semua akan ditunjukkan kepadaku (pada hari kiamat nanti). [HR Abu Daud]
panduan solat jenazah
Foto Kredit: civillislamica.it
7. Doa Mudah Terkabul
Allah juga menyalurkan banyak cara supaya doa lebih mudah diterima, dan salah satunya adalah dengan memperbanyakkan berselawat ke atas Nabi Muhammad.
Ali bin Abi Talib r.a berkata : “Doa seseorang itu terdinding (terhalang) sehinggalah dia berselawat ke atas Rasulullah dan ahli keluarganya.” [HR Imam Ath-Thabrani]

JOM HIDUPKAN SUNNAH!

Lafaz bacaan selawat yang paling ringkas yang sesuai dengan dalil-dalil yang sahih adalah:

اللَّÙ‡ُÙ…َّ صَÙ„ِّ عَÙ„َÙ‰ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ ÙˆَعَÙ„َÙ‰ آلِ Ù…ُØ­َÙ…َّدٍ

Maksudnya: Ya Tuhan kami, selawatkanlah ke atas Nabi Muhammad dan ke atas keluarganya.
Semoga usaha kita mengingati Rasulullah dengan sentiasa mengalunkan selawat dapat mendekatkan diri kita bersama dengan Nabi Muhammad kelak serta turut mendapat rahmat daripada Allah.

Poligami dalam islam

Fatimah Syarha Mohd Noordin
Rasulullah SAW sangat kreatif menggunakan pelbagai strategi dakwah sesuai dengan konteks semasa pada zamannya.
Antaranya adalah strategi dakwah melalui pernikahan. Pada usia 25 tahun, Baginda berkahwin dengan Siti Khadijah pada fasa Makkiyah.
Dalam 10 tahun di Madinah, barulah Baginda berpoligami demi dakwah. Pernikahan itu tidak dibuat secara sembunyi.
Ia dilakukan secara terhormat dan berjaya memenangi serta menyatukan hati banyak kelompok yang suka bermusuhan sehingga tertanam rasa kekerabatan dengan Baginda.
Poligami yang memecah-belahkan itu bukan mengikut sunah. Matlamat yang jelas dan kebersihan niat Baginda menggunakan strategi pernikahan untuk dakwah semakin diterima apabila seseorang memahami tafsir Surah al-Nisa’, ayat 3 yang diajarkan Rasulullah SAW.
Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, Syed Qutb menjelaskan mengenai tafsir Surah al-Nisa’, ayat 3berkenaan:
l Seseorang yang memahami roh Islam dan matlamatnya tidak akan berkata, “Berkahwin lebih daripada seorang dituntut dan digalakkan...”
l Al-Quran mengemukakan pelbagai bimbingan dan perundangan untuk melindungi wanita khususnya anak yatim perempuan yang masih kecil dan perempuan yang lemah dan menjaga hak mereka sekalian dalam harta pusaka dan pencarian serta memelihara hak dan menyelamatkan mereka daripada kezaliman jahiliah dan adat tradisi yang penuh aniaya dan menghina.
l Islam datang bukan untuk memberi kebebasan beristeri lebih daripada seorang, malah untuk membataskan bilangannya.
l Ia datang bukan untuk membiarkan perkara itu kepada kehendak hawa nafsu lelaki, malah meletakkan keadilan sebagai syarat perkahwinan lebih daripada satu. Jika tidak, maka kebenaran yang diberikan itu akan tertahan.
Mengapa Islam mengharuskan perkahwinan lebih daripada seorang? Sayyid Qutb memberi contoh poligami menjadi penyelesaian realistik dalam situasi perempuan lebih ramai daripada lelaki, isteri tidak sukakan hubungan kelamin, isteri sakit dan isteri mandul.
Syarat keadilan menjamin keadilan bagi membolehkan wanita menghadapi keadaan darurat dan tuntutannya yang pahit.
Seseorang yang memahami roh Islam dan matlamatnya tidak akan berkata, berkahwin lebih daripada seorang dituntut dan digalakkan.
Tiada motif lain kecuali untuk menikmati kelazatan haiwaniah dan kenikmatan berpindah-pindah daripada seorang isteri kepada isteri lain sebagaimana perpindahan dilakukan seorang lelaki dalam kalangan teman wanitanya.
Di istana raja ditempatkan isteri raja, gundik dan pelayan wanita. Amalan itu bukan anjuran Islam.
Masyarakat itu yang pertama bertanggungjawab terhadap sistem bebas berkahwin lebih daripada seorang dalam bentuk yang rendah dan meragukan.
Keadilan yang dituntut ialah keadilan dalam mua’malah, nafkah, tinggal bersama dan hubungan kelamin. Keadilan dalam soal hati di luar kemampuan manusia.
Islam tidak menyuruh berkahwin lebih daripada seorang, tetapi membenarkannya dengan bersyarat.
Itulah langkah lebih dekat supaya kamu tidak berlaku zalim. Ia juga adalah soal keprihatinan, ketakwaan dan takut kepada Allah apabila dia tidak dapat berlaku adil terhadap wanita di bawah jagaannya.
Diberikannya rukhsah (kelonggaran) untuk melakukan poligami. Islam tidak memperkenalkan poligami kerana ia sudah ada dalam budaya terdahulu.
Islam datang untuk membatasi dan tidak menyuruh berpoligami melainkan hanya memberi kelonggaran untuk menyelesaikan masalah tertentu.
Ia diperteguhkan lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan), dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’, ayat 129)
Merujuk tafsir sahih Ibnu Kathir:
“Wahai sekalian manusia, kalian tidak akan mampu berlaku adil antara isteri-isteri kalian daripada segala sisi. Kerana sekalipun kalian memberi giliran malam yang sama kepada mereka, namun kalian pasti berbeza dalam rasa cinta, syahwat dan jimak.” Perkara itu disebut oleh Ibnu Abbas, Ubaidah as-Salmani, Mujahid, Hasan al-Basri, al-Dhahak bin Muzahim. (Al-Thabari - IX/285-287)
Imam Ahmad dan penulis kitab sunan meriwayatkan bahawa Aisyah berkata, Baginda memberi giliran mereka dengan adil.
Baginda memohon: “Ya Allah, inilah pembahagian yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela diriku pada apa yang Engkau miliki dan tidak aku miliki.”
(Aisyah berkata), ‘Iaitu hati.’ “Sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung.”
Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jubair, al-Hasan, al-Dhahak, al-Rabi’, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan berkata, keadaan itu seperti tiada suami dan tidak juga diceraikan.
Islam juga memahami realiti yang banyak berlaku sehingga ayat selepas itu berbunyi, “Dan jika kedua-duanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing daripada limpah kurnia-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 130)
Menurut tafsir sahih Ibnu Kathir, apabila sepasang suami isteri bercerai, Allah akan memberikan kecukupan kepada kedua-duanya dan memberikan kepada masing-masing mereka ‘pengganti’ yang lebih baik.
Allah SWT Maha Luas kurnia-Nya, besar pemberian-Nya serta bijaksana dalam setiap perbuatan dan ketentuan-Nya baik yang bersifat kauni atau syar’i.
Begitulah realistik dan adilnya ajaran Baginda yang meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Bukan seperti kata-kata negatif yang tersebar tanpa asas ilmu.
Antara pernikahan yang menatijahkan kejayaan besar buat dakwah ialah menerusi perkahwinan Baginda dengan Juwairiyah binti al-Harith.
Juwairiyah adalah puteri bangsawan kepada al-Harith bin Dirar iaitu pemimpin Bani al-Mustaliq.
Dengan pernikahan itu, Bani al-Mustaliq yang asalnya membenci dan sampai tahap memerangi umat Islam, akhirnya ramai yang masuk Islam.
Nabi SAW sudah melihat potensi pernikahan itu untuk dakwah iaitu ia boleh meredakan kebencian kaum Bani al-Mustaliq kepada Islam, bahkan mencintai kebaikannya.
Penulis pendakwah dan penulis buku
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mei 2019 @ 9:06 AM

Kehebatan Istighfar

Fatimah Syarha Mohd Noordin
FIRMAN Allah yang bermaksud: “Sehingga aku berkata (kepada mereka); Pohonlah keampunan kepada Tuhan kamu, sesungguhnya Dia Maha Pengampun. (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantar hujan lebat mencurah-curah kepada kamu, Dan Dia akan memberikan kamu harta yang banyak berserta anak pinak dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).” (Surah Nuh, ayat 10-12)
Firman Allah itu pasti membuatkan kita bertambah bersemangat untuk selalu memohon keampunan Allah. Kayanya Allah, Dia bukan sahaja menjanjikan keampunan-Nya, bahkan menjanjikan kekayaan daripada limpah kurnia-Nya yang luas.
Kita semua pasti pernah mengalami hari yang sukar. Kereta rosak, anak sakit, tiada air berhari-hari, dibebani hutang, pasangan merajuk, kerja tidak siap dan pelbagai lagi cabaran hidup.
Pada saat itu, emosi pasti terganggu bagaikan mengalami cuaca panas terik. Allah mengajar kita, penyejuknya adalah dengan beristighfar.
Allah sengaja mendatangkan pelbagai masalah untuk melihat sejauh mana kita menyelesaikannya. Adakah kita menjadi seorang merintih masalah atau berusaha mencari jalan penyelesaian?
Para ulama yang dekat dengan cara fikir al-Quran dan al-Sunnah cukup memahami hakikat kehidupan ini. Ibnu Kathir berpesan, “Barang siapa yang menghiasi dirinya dengan amalan ini iaitu memperbanyak istighfar, maka Allah akan:
n Memudahkan rezekinya
n Memudahkan urusannya
n Menjaga kekuatan jiwanya
Ibnu Qayyim pula berkata: “Apabila engkau berdoa, sementara waktu yang dimiliki begitu sempit, padahal dadamu dipenuhi dengan begitu banyak keinginan, maka jadikanlah seluruh isi doamu istighfar, agar Allah mengampunkan kamu. Apabila engkau diampuni, maka semua keperluanmu akan dipenuhi oleh-Nya tanpa engkau memintanya.”
Lazimnya lafaz istighfar itu diungkapkan sebagai zikir untuk memohon keampunan kepada Allah. Ia juga dilafazkan selepas kita tersedar daripada melakukan dosa.
Harapan kita tentu sekali supaya dosa kita dihapuskan. Namun, manfaat istighfar lebih jauh daripada itu.
Kalimat zikir sering diucapkan Nabi SAW memiliki banyak keutamaan lain jika diamalkan. Ada beberapa kisah menceritakan bagaimana ajaib amalan istighfar dalam kehidupan.
Seorang pakar bedah kardiotorasik terkenal dari Mesir, Dr Khalid Abdul Aziz Al-Jubair menulis sebuah buku bertajuk Kesaksian Seorang Doktor iaitu versi terjemahan.
Beliau menceritakan masalah yang dialami dan bagaimana Allah menyelamatkannya dengan keberkatan istighfar.
Dr Khalid Al-Jubair mendapat fitnah daripada beberapa rakan sekerjanya. Fitnah itu cukup berat dan jika dapat dibuktikan, jawatannya akan terancam.
Seterusnya beliau akan dipencenkan dan tidak dibenarkan lagi berkhidmat untuk merawat pesakit. Komplot fitnah itu dilakukan dengan cukup teliti. Mereka semuanya berpakat untuk menjadi saksi dan menciptakan bukti kukuh. Dr Khalid berasa dia tidak berupaya melawan fitnah itu dan mulai murung.
Dia hanya mampu mencari Allah. Seterusnya, keajaiban berlaku pada saat-saat akhir. Allah mendatangkan ilham pada saat dia di masjid untuk menunaikan solat fardu.
“Selama ini orang datang kepadaku dengan harapan yang besar agar aku mengubati mereka. Kini aku juga mempunyai harapan yang besar. Seharusnya aku datang kepada-Nya dan meminta pertolongan daripada-Nya,” kata beliau sendirian.
Kemudian beliau teringat kelebihan istighfar. Beliau segera melafazkan kalimah zikir itu sebanyak mungkin. Sepanjang perjalanan pulang ke rumah dan juga ke hospital beliau tidak henti-henti melafazkan kalimat berkenaan.
Astaghfirullahal-ladzi la ilaha illa huwal-hayyul-qayyum, wa atubu ilaih, bermaksud, “Aku memohon ampun kepada Allah, Yang tiada Tuhan yang berhak disembah selain Dia, Yang Maha Hidup, Yang Maha Mengurus, dan aku bertaubat kepada-Nya.” (Riwayat al-Hakim dari Ibnu Mas’ud dan At-Tirmidzi dari Bilal bin Yasar bin Zaid)
Selepas itu, ada perasaan hebat menyelubungi jiwanya. Beliau seakan-akan mengalami sentuhan spiritual sehingga perasaan resah dan berserabut kerana fitnah itu terus hilang.
Tidak lama selepas itu, semua tuduhan dikenakan ke atas beliau digugurkan kerana tidak dapat dibuktikan. Namanya dibersihkan dan beliau bebas untuk berkhidmat seperti biasa.
Rakan-rakannya yang melakukan komplot fitnah pula turut menerima hukuman. Sebahagian daripada mereka ditamatkan perkhidmatan, ada juga yang dilucutkan jawatan dan ada yang dipindahkan ke bahagian lain. Sebahagian yang lain pula datang kepadanya dan memohon maaf.
Ibnu Qayyim pula mengisahkan; “Aku sering menyaksikan guruku, Syaikhul Islam (Ibnu Taimiyah) ketika menghadapi masalah-masalah berat, beliau segera bertaubat kepada Allah, memperbanyakkan istighfar, bersandar kepada-Nya dan mengharap turunnya kebenaran dari-Nya.
Biasanya tidak lama selepas itu, bantuan daripada Allah pun turun mencurah-curah sehingga beliau boleh memilih mana-mana sahaja jalan penyelesaian yang beliau mahu.
Ibnu Taimiyah sendiri berkata, “Saat ada masalah yang amat pelik dan rumit, yang membuatkan aku berasa buntu, maka aku akan beristighfar kepada Allah sebanyak 1000 kali atau lebih kurang, sampai Allah bukakan dan pecahkan masalah masalah untukku.”
Ada sebuah mutiara kisah yang cukup manis untuk diamalkan. Kisah itu dipetik daripada kitab Tafsir al-Maraghi, hasil tulisan ulama bernama Ahmad Musthafa al-Maraghi.
Kisah iktibar itu mengenai tabi’in bernama Hasan al-Basri. Beliau sering didatangi segenap lapisan masyarakat bertanyakan hukum agama dan meminta nasihat.
Satu hari, seorang lelaki datang mengadu kepadanya kerana masalah kelaparan. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”
Kemudian beliau didatangi seorang mengadu masalah ketiadaan zuriat. Beliau menjawab, “Istighfarlah kepada Allah.”
Kemudian datang seorang lelaki mengadu kebunnya kekeringan kerana musim kemarau. Beliau dengan penuh hikmah menjawab, “Beristighfarlah kepada Allah.”
Jawapan Hasan al-Basri menghairankan masyarakat sekitarnya. Salah seorang daripada penduduk itu bertanya, “Beberapa orang lelaki datang dan mengadu pelbagai masalah, tetapi tuan hanya menyuruh mereka semua untuk melafazkan istighfar.”
Hasan al-Basri menjawab, “Aku sama sekali tidak mengatakan apapun dari diriku sendiri. Sesungguhnya Allah berfirman seperti itu.”
Firman Allah yang dimaksudkan oleh Hasan adalah Surah Nuh ayat 10-12. Diriwayatkan dari Abdullah bin Abbas, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa melazimkan istighfar, maka Allah akan jadikan jalan keluar dalam setiap kesulitan hidup dan jadikan setiap kegundah-gulanaan menjadi kebahagiaan dan Allah akan memberinya rezeki dari jalan yang tidak disangka-sangka.” (Hadis Riwayat Abu Dawud dan Ibnu Majah)
Kesimpulannya, apa sahaja masalah yang datang, ‘halau’ ia dengan istighfar. Insya-Allah, dengan membawa hati kembali kepada Ilahi, masalah akan pergi.
Penulis pendakwah dan penulis buku
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Oktober 2018 @ 11:28 AM