Rasulullah SAW sangat kreatif menggunakan pelbagai strategi dakwah sesuai dengan konteks semasa pada zamannya.
Antaranya adalah strategi dakwah melalui pernikahan. Pada usia 25 tahun, Baginda berkahwin dengan Siti Khadijah pada fasa Makkiyah.
Dalam 10 tahun di Madinah, barulah Baginda berpoligami demi dakwah. Pernikahan itu tidak dibuat secara sembunyi.
Ia dilakukan secara terhormat dan berjaya memenangi serta menyatukan hati banyak kelompok yang suka bermusuhan sehingga tertanam rasa kekerabatan dengan Baginda.
Poligami yang memecah-belahkan itu bukan mengikut sunah. Matlamat yang jelas dan kebersihan niat Baginda menggunakan strategi pernikahan untuk dakwah semakin diterima apabila seseorang memahami tafsir Surah al-Nisa’, ayat 3 yang diajarkan Rasulullah SAW.
Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, Syed Qutb menjelaskan mengenai tafsir Surah al-Nisa’, ayat 3berkenaan:
l Seseorang yang memahami roh Islam dan matlamatnya tidak akan berkata, “Berkahwin lebih daripada seorang dituntut dan digalakkan...”
l Al-Quran mengemukakan pelbagai bimbingan dan perundangan untuk melindungi wanita khususnya anak yatim perempuan yang masih kecil dan perempuan yang lemah dan menjaga hak mereka sekalian dalam harta pusaka dan pencarian serta memelihara hak dan menyelamatkan mereka daripada kezaliman jahiliah dan adat tradisi yang penuh aniaya dan menghina.
l Islam datang bukan untuk memberi kebebasan beristeri lebih daripada seorang, malah untuk membataskan bilangannya.
l Ia datang bukan untuk membiarkan perkara itu kepada kehendak hawa nafsu lelaki, malah meletakkan keadilan sebagai syarat perkahwinan lebih daripada satu. Jika tidak, maka kebenaran yang diberikan itu akan tertahan.
Mengapa Islam mengharuskan perkahwinan lebih daripada seorang? Sayyid Qutb memberi contoh poligami menjadi penyelesaian realistik dalam situasi perempuan lebih ramai daripada lelaki, isteri tidak sukakan hubungan kelamin, isteri sakit dan isteri mandul.
Syarat keadilan menjamin keadilan bagi membolehkan wanita menghadapi keadaan darurat dan tuntutannya yang pahit.
Seseorang yang memahami roh Islam dan matlamatnya tidak akan berkata, berkahwin lebih daripada seorang dituntut dan digalakkan.
Tiada motif lain kecuali untuk menikmati kelazatan haiwaniah dan kenikmatan berpindah-pindah daripada seorang isteri kepada isteri lain sebagaimana perpindahan dilakukan seorang lelaki dalam kalangan teman wanitanya.
Di istana raja ditempatkan isteri raja, gundik dan pelayan wanita. Amalan itu bukan anjuran Islam.
Masyarakat itu yang pertama bertanggungjawab terhadap sistem bebas berkahwin lebih daripada seorang dalam bentuk yang rendah dan meragukan.
Keadilan yang dituntut ialah keadilan dalam mua’malah, nafkah, tinggal bersama dan hubungan kelamin. Keadilan dalam soal hati di luar kemampuan manusia.
Islam tidak menyuruh berkahwin lebih daripada seorang, tetapi membenarkannya dengan bersyarat.
Itulah langkah lebih dekat supaya kamu tidak berlaku zalim. Ia juga adalah soal keprihatinan, ketakwaan dan takut kepada Allah apabila dia tidak dapat berlaku adil terhadap wanita di bawah jagaannya.
Diberikannya rukhsah (kelonggaran) untuk melakukan poligami. Islam tidak memperkenalkan poligami kerana ia sudah ada dalam budaya terdahulu.
Islam datang untuk membatasi dan tidak menyuruh berpoligami melainkan hanya memberi kelonggaran untuk menyelesaikan masalah tertentu.
Ia diperteguhkan lagi dengan firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya), oleh itu janganlah kamu cenderung dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awan-awan), dan jika kamu memperbaiki (keadaan yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan yang zalim), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Nisa’, ayat 129)
Merujuk tafsir sahih Ibnu Kathir:
“Wahai sekalian manusia, kalian tidak akan mampu berlaku adil antara isteri-isteri kalian daripada segala sisi. Kerana sekalipun kalian memberi giliran malam yang sama kepada mereka, namun kalian pasti berbeza dalam rasa cinta, syahwat dan jimak.” Perkara itu disebut oleh Ibnu Abbas, Ubaidah as-Salmani, Mujahid, Hasan al-Basri, al-Dhahak bin Muzahim. (Al-Thabari - IX/285-287)
Imam Ahmad dan penulis kitab sunan meriwayatkan bahawa Aisyah berkata, Baginda memberi giliran mereka dengan adil.
Baginda memohon: “Ya Allah, inilah pembahagian yang aku mampu, maka janganlah Engkau cela diriku pada apa yang Engkau miliki dan tidak aku miliki.”
(Aisyah berkata), ‘Iaitu hati.’ “Sehingga kamu biarkan yang lain terkatung-katung.”
Ibnu Abbas, Mujahid, Said bin Jubair, al-Hasan, al-Dhahak, al-Rabi’, al-Suddi dan Muqatil bin Hayyan berkata, keadaan itu seperti tiada suami dan tidak juga diceraikan.
Islam juga memahami realiti yang banyak berlaku sehingga ayat selepas itu berbunyi, “Dan jika kedua-duanya bercerai, maka Allah akan cukupkan (keperluan) masing-masing daripada limpah kurnia-Nya. Dan (ingatlah) Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi Maha Bijaksana.” (Surah al-Nisa’, ayat 130)
Menurut tafsir sahih Ibnu Kathir, apabila sepasang suami isteri bercerai, Allah akan memberikan kecukupan kepada kedua-duanya dan memberikan kepada masing-masing mereka ‘pengganti’ yang lebih baik.
Allah SWT Maha Luas kurnia-Nya, besar pemberian-Nya serta bijaksana dalam setiap perbuatan dan ketentuan-Nya baik yang bersifat kauni atau syar’i.
Begitulah realistik dan adilnya ajaran Baginda yang meletakkan sesuatu kena pada tempatnya. Bukan seperti kata-kata negatif yang tersebar tanpa asas ilmu.
Antara pernikahan yang menatijahkan kejayaan besar buat dakwah ialah menerusi perkahwinan Baginda dengan Juwairiyah binti al-Harith.
Juwairiyah adalah puteri bangsawan kepada al-Harith bin Dirar iaitu pemimpin Bani al-Mustaliq.
Dengan pernikahan itu, Bani al-Mustaliq yang asalnya membenci dan sampai tahap memerangi umat Islam, akhirnya ramai yang masuk Islam.
Nabi SAW sudah melihat potensi pernikahan itu untuk dakwah iaitu ia boleh meredakan kebencian kaum Bani al-Mustaliq kepada Islam, bahkan mencintai kebaikannya.
Penulis pendakwah dan penulis buku
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.