Jumaat, 14 Jun 2019

Wakaf



 Apakah Maksud Wakaf?
Apa-apa harta pewakaf yang ditahan hak miliknya ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan disamping mengekalkan sumber fizikalnya (‘ain) dengan cara menyerahkan hak milik hartanya kepada seseorang pengguna yang harus dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah. Manfaat daripada harta pewakaf yang telah diwakafkan adalah untuk membuat kebajikan di jalan Allah.

 Hukum Wakaf dan Dalil-Dalil Berkaitan Wakaf?
HARUS di dalam syariat Islam. 
 
 “Kamu tidak sekali-kali akan mencapai kebaikan yang sempurna sehingga kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi, dan apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Surah Al Imran (3): 92)
“Dan belanjakanlah apa yang ada pada kamu kerana menegakkan agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dengan bersikap bakhil dan baikilah dengan sebaik-baiknya segala usaha dan perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (Surah Al-Baqarah (2): 195)
“Wahai orang-orang yang beriman! Belanjakanlah pada jalan Allah sebahagian dari hasil usaha kamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami keluarkan dari bumi untuk kamu dan janganlah kamu sengaja memilih yang buruk daripadanya lalu kamu dermakan atau kamu jadikan pemberian zakat, padahal kamu sendiri tidak sekali-kali akan mengambil yang buruk itu kalau diberikan kepada kamu, kecuali dengan memejamkan mata padanya dan ketahuilah, sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi sentiasa Terpuji.” (Surah Al-Baqarah (2): 267)

Bolehkah Wakaf Untuk Orang Lain?
BOLEH berwakaf untuk sesiapa sahaja yang dikehendaki sama ada untuk yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia.

 Apakah Syarat-Syarat Layak Wakaf?
  1. Beragama Islam
  2. Berakal
  3. Cukup umur (akil baligh)
  4. Waras (sempurna akal fikiran)
  5. Ahli tabaruk (tidak disekat daripada menggunakan hartanya)
  6. Pilihan sendiri
  7. Merdeka

 Apakah Rukun Wakaf ?
  1. Pewakaf (Al-Waqif)
  2. Harta yang diwakafkan (Al-Mauquf)
  3. Penerima manfaat wakaf (Al-Mawquf A’laih)
  4. Pernyataan wakaf (Al-Sighah)

 Apakah Syarat-Syarat Harta Wakaf ?
  1. Harta itu mestilah terdiri daripada sesuatu benda yang dapat diambil manfaatnya.
  2. Harta yang diwakafkan kepada penerima wakaf wujud pada waktu itu.
  3. Harta yang diwakafkan itu dapat memberi faedah yang berpanjangan.
  4. Diwakafkan untuk tujuan yang baik sahaja dan tidak menyalahi hukum syarak.
  5. Harta yang diwakafkan ditentukan jenis, bentuk, tempat, luas dan jumlahnya.
  6. Harta yang telah dilunaskan segala pembayaran dan tuntutan keatasnya dan menjadi pemilikan penuh pewakaf.

 Siapakah yang Layak Menerima Manfaat Wakaf?
Orang yang layak menerima manfaat harta wakaf adalah orang Islam, orang yang merdeka dan kafir zimmi (kafir yang tidak memerangi orang Islam dan golongan yang tunduk dengan pemerintahan Islam. Mereka turut membayar jizyah (cukai tahunan) kepada pemerintah. Pentadbir wakaf perlulah mereka yang mampu menjadikan manfaat wakaf sebagai satu cara taqarrub (mendekatkan diri) kepada Allah S.W.T dan untuk kepentingan Islam sahaja.

 Apakah Keistimewaan Amalan Wakaf?
1. Memberi pahala yang berterusan kepada pewakaf sebelum dan selepas kematian pewakaf selagi harta wakaf masih kekal dimanfaatkan dan memberi manfaat, pahala akan terus mengalir terus-menerus dan berterusan.
“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai. Tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”. (Surah al-Baqarah (2): 261)

2. Salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t bagi menjamin penambahan saham akhirat pada Hari Perhitungan kelak. Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
"Apabila mati seorang anak Adam maka akan terhentilah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkannya dan bermanfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang mendoakannya." (Hadith Sahih - Riwayat Muslim)

3. Mengukuhkan perpaduan ummah apabila manfaat wakaf dapat dirasai oleh semua kaum muslimin secara berterusan serta dapat mengekalkan pemilikan dan perkongsian aset umat Islam.
“Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”. (Surah al-Maidah (5): 2) 

 Apakah Perbezaan Diantara Wakaf dan Sedekah?
Wakaf adalah amalan menyerahkan harta yang boleh dinikmati manfaat atau faedahnya untuk kegunaan bersama dengan tujuan mendekatkan diri kepada Allah S.W.T di mana harta yang diwakafkan hendaklah berbentuk kekal sifatnya, harta yang diwakafkan tidak boleh dijual, diwarisi, diambil semula dan diwasiatkan kerana telah menjadi milik Allah S.W.T buat selama-lamanya. Ganjaran pahala pewakaf akan mengalir dan berkekalan selagi mana harta yang diwakaf masih boleh diambil manfaatnya.
Para fuqaha’ berpendapat bahawa wakaf adalah satu-satunya bentuk sedekah yang berbentuk jariah (berkekalan) kerana konsep wakaf adalah berkekalan sifatnya.
Sedekah ialah amalan memberikan apa-apa jua bentuk harta benda kepada golongan fakir, miskin, anak yatim atau orang yang berhajat dengan ikhlas kerana Allah S.W.T dan mendapat ganjaran pahala daripada Allah S.W.T. Sedekah boleh dilakukan dalam apa-apa jua bentuk pemberian seperti makanan, pakaian, barangan, wang dan harta yang kekal.
“Dan yang dikatakan berbuat baik ialah orang yang memberikan harta yang dicintai kepada saudaranya yang miskin, anak-anak yatim, orang miskin, ibnu sabil dan orang yang berhajat”. (Surah Al-Baqarah (2) : 177)

 Apakah perbezaan diantara Wakaf dan Zakat?
Hukum membayar Zakat adalah wajib manakala hukum amalan Wakaf adalah harus di dalam syariat Islam.
Zakat adalah satu kewajipan mengeluarkan harta tertentu untuk diberikan kepada asnaf-asnaf yang telah ditetapkan dengan kadar tertentu yang merupakan salah satu rukun yang terdapat di dalam Rukun Islam. Kelebihan kewajipan membayar zakat adalah dapat mensucikan diri daripada sifat bakhil dan tamak dengan cara membelanjakan harta yang ada ke jalan yang diredhai Allah S.W.T. Amalan zakat dapat menyuburkan harta pembayarnya disamping dapat memastikan juga harta tersebut bersih daripada hak orang lain.
Dalil suruhan membayar zakat adalah seperti berikut:
"Dan dirikanlah kamu akan solat serta zakat dan taatlah kamu kepada Rasul supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah An-Nur (24): 56)



HADITH DARIPADA SHAHIH MUSLIM 
 Hadith dari Ibni Umar r.a. dia berkata: 
Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar lalu dia datang pergi berjumpa Nabi s.a.w untuk meminta pandangan mengenai tanah tersebut, maka katanya yang bermaksud:
“Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mendapat sebidang tanah di Khaibar yang mana aku tidak mendapat harta yang lebih berharga bagiku selain daripadanya, (walhal aku bercita-cita untuk mendampingkan diri kepada Allah). Apakah yang hendak engkau perintahkan kepadaku dengannya?”
 Maka sabda Rasulullah s.a.w kepada Umar yang bermaksud:
“Jika engkau hendak, maka tahanlah tanah itu (wakafkan), dan kamu sedekahkanlah manfaatnya".
 Umar lalu mensedekahkan manfaat hasil tanahnya dengan syarat tanah (mawquf) itu tidak boleh dijualbeli, tidak dihibahkan (diberi) dan tidak diwariskan (dipusakai). Tanah itu harus diwakafkan ke atas fakir miskin, kaum kerabat, untuk memerdekakan hamba, untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta menjadi bekal bagi orang yang di dalam perjalanan dan hidangan bagi tetamu. Orang yang menguruskannya (yang diberi kuasa menjaganya iaitu Nazir) dibolehkan untuk mengambil upah sebahagian dari hasilnya dengan cara yang baik tanpa menganggap bahawa tanah itu adalah miliknya sendiri.
 (Shahih Muslim, Kitab Wasiat Bab Wakaf, No. 3085)



Bahasa : Berhenti, Menegah, Menahan.
Syarak : 
  1. Menyerahkan hakmilik apa-apa harta yang boleh dinikmati manfaat, faedah atau keuntungannya;
  2. Menyerahkan manfaat, faedah atau keuntungan yang boleh dinikmati daripada apa-apa harta; atau
  3. Memberikan kepakaran dan perkhidmatan yang boleh dinikmati manfaat, faedah atau keuntungannya.


 
1. Pemegang Amanah Tunggal Wakaf
   Isu Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) sebagai pemegang amanah tunggal wakaf bukan merupakan isu syariah sebaliknya isu dasar yang melibatkan pentadbiran.

2. Wakaf Wang Tunai
    Berwakaf dalam bentuk wang tunai adalah dibolehkan di dalam Islam.
    Sumber  : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama 
                     Islam (MKI) kali ke-77
    Tarikh    : 10-12 April 2007
    





 Memberi pahala yang berterusan kepada pewakaf sebelum dan selepas kematian pewakaf selagi harta wakaf masih kekal dimanfaatkan dan memberi manfaat, pahala akan terus mengalir terus-menerus dan berterusan.
 
“Bandingan (derma) orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh dan menerbitkan tujuh tangkai. Tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji. Dan (ingatlah) Allah akan melipat gandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya”
(Surah al-Baqarah (2): 261)
 Salah satu cara untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t bagi menjamin penambahan saham akhirat pada Hari Perhitungan kelak. Daripada Abu Hurairah r.a., Nabi Muhammad s.a.w. bersabda:
 
"Apabila mati seorang anak Adam maka akan terhentilah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkannya dan bermanfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang mendoakannya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim)
 
Mengukuhkan perpaduan ummah apabila manfaat wakaf dapat dirasai oleh semua kaum muslimin secara berterusan serta dapat mengekalkan pemilikan dan perkongsian aset umat Islam.
 
“Hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksaNya (bagi sesiapa yang melanggar perintahNya)”
(Surah al-Maidah (5): 2)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.