Selasa, 4 Disember 2018

Mohon perlindungan Azab Kubur

Mohon perlindungan azab kubur

 
Sedetik Rasa
Setiap orang beriman perlu sedar dan tidak memandang ringan perihal di alam kubur yang bakal mereka lalui satu masa nanti.
Sehubungan itu, sentiasa lakukan persediaan bagi menghadapi saat itu. Berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk yang lakukan di atas dunia ini supaya kita terhindar daripada mendapat pengakhiran yang buruk.
Sudah menjadi sifat manusia yang sering lupa dan melakukan kesilapan. Keadaan itu pastinya akan mudah menjerumuskan diri mereka dalam kealpaan.
Manusia juga sentiasa dalam keadaan tidur dan hanya kembali sedar ketika mereka mati. Di dalam buku ‘Cara Terindah Untuk Mati’ tulisan Rahmat Ramadhana al-Banjari ada menyentuh mengenai perihal azab kubur.
 
Abu Darda berkata, “Tiga perkara yang membuat aku ketawa dan menyebabkan aku menangis. Antara tiga perkara itu ialah orang yang mengejar dunia, padahal kematian sedang mengejarnya, individu yang ketawa terbahak-bahak, tetapi dia tidak tahu adakah Tuhannya reda kepadanya atau memurkainya dan individu yang lalai padahal Allah tidak pernah lalai kepadanya.
Hasan al-Basri berkata, “Bersegera, kerana waktu adalah nafas. Sekiranya ia berhenti, semua amalan kamu juga putus. Perlu diketahui sebenarnya kamu berada pada ajal yang ditetapkan dan amalan yang tercatat.
“Demi Allah, kematian berada di atas bahu-bahu kamu, manakala api neraka berada di hadapan kamu. Nantikan ketetapan Allah setiap hari dan malam berkaitan kematian yang nyata.”
Justeru, mohon kepada Allah SWT supaya melindungi diri kita daripada diseksa di dalam kubur kelak. Antara perkara yang dapat menyelamatkan diri daripada diazab antaranya, sentiasa berwaspada dengan serangan musuh.
Berwaspada daripada serangan musuh bukan hanya bermaksud dalam pertempuran saja, tetapi lebih penting adalah berjaga-jaga daripada serangan musuh yang tidak terlihat dengan mata kasar iaitu syaitan dan bala tenteranya. Itu yang disebut sebagai jihad melawan hawa nafsu.
Selain itu, amalkan membaca al-Quran dengan niat, keyakinan yang bersandar kepada Tuhan dan mengamalkan pesanannya.
Rasulullah SAW menyatakan, “Sesiapa yang membaca surah al-Mulk setiap malam, surah itu menjadi pembela daripada seksa kubur kepada mereka yang membacanya.” (Hadis Riwayat Tirmizi)
Penyakit yang menyerang orang beriman tidak dianggap musibah kerana ia adalah sebahagian penyucian diri di hadapan Allah yang bakal seterusnya menyelamatkan diri mereka daripada diseksa di dalam kubur kelak.
Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Orang yang mati kerana sakit akan mati dalam keadaan syahid dan selamat daripada azab kubur. Setiap pagi dia sakit manakala petangnya dia diberi rezeki dari syurga.” (Hadis Riwayat Ibnu Majah)
Begitu juga bagi golongan yang meninggal dunia pada waktu baik, mereka pasti terselamat daripada menghadapi azab kubur. Dinyatakan, hari paling baik adalah hari Jumaat yang digelar sayyidul ayyam (penghulu segala hari).
Dalam satu hadis, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang mati pada hari Jumaat atau malam Jumaat diselamatkan daripada fitnah dan ujian kubur.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Rasulullah juga mengajar membaca satu doa untuk memohon perlindungan dan azab kubur iaitu, “Allahumma inni a’uzu bika minal ‘ajzi wal kasali wal jubni wal harami wal bukhli, wa’auzu bika min ‘azabil qabri wa ‘auzu bika minfitnatil mahya walmamati” yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada kelemahan, malas, penakut, pelupa, bakhil, dan aku berlindung dengan-Mu daripada seksa kubur, dan fitnah hidup dan mati.” (Hadis Riwayat Muslim)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Julai 2018 @ 12:21 PM
 


































 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.