Jumaat, 28 Disember 2018

Perbanyak selawat kepada Rasulullah

 

 
Sedetik Rasa
Rabiulawal adalah bulan yang bersejarah bagi kehidupan Baginda SAW dan seluruh umat Islam.
Nabi Muhammad SAW cukup istimewa, bahkan sudah diisyaratkan 30 generasi sebelum kelahirannya lagi iaitu ketika Nabi Ibrahim AS dan Nabi Ismail AS membina Kaabah dengan berdoa seperti disebutkan dalam Surah al-Baqarah, ayat 129 yang bermaksud: “Wahai Tuhan Kami! Utuslah kepada mereka seorang Rasul daripada kalangan mereka sendiri yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat (firman-Mu) dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmat kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka (daripada syirik dan maksiat). Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
Keistimewaan Nabi Muhammad SAW juga diceritakan Nabi Isa AS kira-kira 600 tahun sebelum kelahiran Baginda SAW. Nabi Isa menceritakan baginda diutuskan Allah SWT adalah untuk membenarkan apa jua ayat dan hukum hakam yang terdapat dalam kitab Taurat serta sebagai pemberi khabar gembira mengenai ketibaan seorang rasul selepas baginda bernama Ahmad.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika Nabi Isa ibni Maryam berkata: “Wahai Bani Israel, sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran kitab yang diturunkan sebelumku iaitu kitab Taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang rasul yang akan datang kemudian daripadaku - bernama: Ahmad...” (Surah Saff, ayat 6)
 
Allah SWT turut memperkenalkan Nabi Muhammad SAW di dalam al-Quran sebagai sesuatu yang unik dari sudut sahsiah dan keperibadiannya.
Antaranya di dalam Surah at-Taubah, ayat 128 yang bermaksud: “Sesungguhnya datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (iaitu Nabi Muhammad SAW), yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, (dan) ia pula menumpahkan perasaan belas serta kasih sayangnya kepada orang-orang yang beriman.”
Lebih hebat lagi, Allah SWT mengutuskan Baginda SAW menjadi nabi dan rasul bukan saja kepada orang Arab dan Quraisy, bahkan menjadi rahmat dan memberi kasih sayangnya ke seluruh alam.
Rasulullah SAW lahir di tengah-tengah masyarakat Arab yang tidak beriman kepada Allah SWT. Walaupun tidak berpeluang menemui dan menatap wajah Rasulullah SAW, kita perlu yakin dan beriman terhadap kebenaran yang dibawa oleh Baginda.
Setiap sunah termasuk perbuatan, tutur kata dan sifat Baginda perlu sentiasa dicontohi dalam menjalani kehidupan ini. Sungguh bertuah diri kita walaupun tidak meminta, namun Allah SWT mentakdirkan kita menjadi sebahagian daripada umat Nabi SAW.
Sehubungan itu, sebagai umatnya, kita perlu sentiasa mengingati Baginda dalam hati dengan memperbanyakkan selawat, memuji serta berusaha beramal dengan sunahnya.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang kamu tidak sekali-kali akan sesat selama kamu berpegang dengan kedua-duanya iaitu kitab Allah (al-Quran) dan sunahku.” (Diriwayatkan oleh Malik bin Anas)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 November 2018 @ 12:31 PM
 






































 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.