Apakah solat sunat rawatib? Bagaimana cara mengerjakannya? Panduan ini akan membimbing anda melakukan solat rawatib secara mudah, dan boleh difahami oleh semua orang. Apa yang terbaik dalam panduan ini:

Anda akan dibimbing langkah demi langkah sehingga selesai. Setiap bacaan juga dipermudahkan dalam ejaan rumi.
Tanpa buang masa mari kita ikuti panduan ini..
Pengenalan Solat Rawatib
Solat sunat rawatib ialah solat sunat yang dikerjakan sebelum dan selepas solat fardu sebagai pelengkap atau tambahan untuk menampung kekurangan semasa mengerjakan solat fardu.
Solat Sunat Rawatib ini adalah satu sunat muakkad, iaitu yang amat dituntut dan digalakkan.
Solat sunat Rawatib ini dituntut ke atas orang Islam yang mukallaf dan dilakukan secara rela hati serta kemahuan sendiri
Apabila dilakukan dijanjikan pahala dan ganjaran oleh Allah S.W.T.
Jika ditinggalkan pula tidak membawa kepada apa-apa dosa.
Sunat Rawatib ini boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja, termasuk golongan musafir yang mendirikan solat fardu secara qasar.
Sunat Rawatib tidak didahului dengan azan ataupun iqamah.
Sunat Rawatib ini juga didirikan secara bersendirian (munfarid),dan tidak didirikan secara berjemaah.
Solat sunat rawatib juga dikenali dengan nama:
  • Solat sunat Qabliyyah (solat sunat yang didirikan sebelum solat fardu)
  • Solat sunat Ba’diyyah (solat sunat yang didirikan selepas solat fardu)
Solat sunat ini dikerjakan secara individu dan bukan berjemaah.
Solat sunat rawatib terbahagi kepada dua bahagian iaitu sunat muakkad dan sunat bukan muakkad (Ghairu Muakkad)
Sunat muakkad bermaksud sunat yang amat digalakkan untuk diamalkan iaitu:
  • Dua rakaat sebelum fardu Zohor dan dua rakaat sesudahnya
  • Dua rakaat sesudah fardu Maghrib
  • Dua rakaat sesudah fardu Isyak
  • Dua rakaat sebelum fardu Subuh, tidak ada sunat rawatib sesudahnya.
Sunat bukan muakkad (Ghairu Muakkad) bermaksud kurang sedikit fadilat berbanding sunat muakkad, iaitu:
  • Dua rakaat sebelum fardu Zohor dan dua rakaat sesudahnya (selain daripada yang sunat muakkad di atas)
  • Empat rakaat sebelum fardu Asar dengan dua salam, tidak ada sunat rawatib sesudahnya.
  • Dua rakaat sebelum fardu Maghrib.
  • Dua rakaat sebelum fardu Isyak.
Lafaz Niat & Cara Mendirikan Solat Sunat RawatibDi bawah ini adalah langkah demi langkah untuk mengerjakan solat sunat rawatib untuk setiap waktu solat fardu:
Solat Sunat Rawatib waktu ZOHOR
Cara melakukan solat sunat rawatib Qabliyyah di waktu fardu Zohor ialah sesudah azan Zohor dan sebelum iqamat. Kerjakan sunat rawatib Zohor yang sunat muakkad dahulu. Lafaz niatnya adalah:
Usolli sunnatal zuhri rak’ataini qabliyyatan lillahi taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Kerjakan solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain. Selepas salam, sekiranya berkeinginan atau masih mempunyai masa (iqamat belum dilaungkan), terus berdiri untuk mengerjakannya dua rakaat sunat rawatib sebelum zohor yang bukan muakkad.
Niat dan cara mengerjakannya adalah sama sebagaimana solat sunat rawatib sebelum Zohor yang muakkad.
Selesai solat sunat, barulah dikerjakan solat fardu Zohor.
Sesudah selesai solat fardu Zohor dan sesudah bacaan wirid dan doa, kita berdiri lagi untuk mengerjakan solat sunat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Zohor yang sunat muakkad.
Lafaz niatnya:
ba’diyyah zohor
Usolli sunnatal zuhri rak’ataini ba’diyyatan lillahi taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat selepas Zohor dua rakaat kerana Allah Taala
Cara mengerjakannya sama sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain. Selepas salam, sekiranya kita mahu menambah amal, bolehlah dikerjakan solat sunat rawatib selepas Zohor yang sunat bukan muakkad. Niat dan caranya sama seperti solat sunat rawatib selepas Zohor yang sunat muakkad.
Solat Sunat Rawatib Fardu ASAR
Cara melakukan sunat rawatib di waktu asar fardu asar ialah sesudah azan asar dan sebelum iqamat. Kerjakan sunat rawatib Asar sebanyak dua rakaat. Lafaz niatnya:
Usolli sunnatal asri rak’ataini qabliyyatan lillahi taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Asar dua rakaat kerana Allah Taala
Kerjakanlah solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain. Selepas salam, sekiranya berkeinginan atau masih mempunyai masa (iqamat belum dilaungkan), terus berdiri untuk mengerjakan sekali lagi sunat rawatib sebelum Asar.
Lafaz niat dan caranya sama sebagaimana sebelumnya.
Tidak ada solat rawatib selepas solat fardu Asar.
Solat Sunat Rawatib Waktu Fardu MAGHRIB
Cara melakukan sunat rawatib di waktu fardu Maghrib ialah sesudah azan Maghrib dan sebelum iqamat. Kerjakan sunat rawatib Qabliyyah Maghrib sebanyak dua rakaat.
Lafaz niat:
Usolli sunnatal maghribi rak’ataini qabliyyatan lillahi taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Kerjakan solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Selepas solat fardu Maghrib dan sesudah bacaan wirid dan doa, kerjakan solat sunat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Maghrib. Caranya sama sebagaimana sunat dua rakaat yang lain. Lafaz niatnya ialah:
Usolli sunnatal maghribi rak’ataini ba’diyyatan lillahi taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat selepas Maghrib dua rakaat kerana Allah Taala.
Solat Sunat Rawatib Fardu ISYAK
Cara melakukan solat sunat rawatib di waktu fardu Isyak ialah sesudah azan Isyak dan sebelum iqamat. Kerjakan sunat rawatib Qabliyyah Isyak sebanyak dua rakaat. Lafaz niatnya:
Usolli sunnatal isyak’i rak’ataini qabliyyatan lillahi taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Kerjakanlah solat sunat ini sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain.
Selepas solat fardu Isyak dan sesudah bacaan wirid dan doa, kerjakanlah solat rawatib Ba’diyyah selepas fardu Isyak.
Caranya sama sebagaimana sunat dua rakaat yang lain.
Lafaznya adalah:
ba’diyyah isyak
Usolli sunnatal isyak’i rak’ataini ba’diyyatan lillahi taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat selepas Isyak dua rakaat kerana Allah Taala.
Solat Sunat Rawatib Waktu Fardu SUBUH
Solat rawatib di waktu fardu subuh dikerjakan sesudah azan subuh dan sebelum iqamat sebanyak dua rakaat. Caranya sama sebagaimana solat sunat dua rakaat yang lain. Lafaz niatnya:
Usolli sunnatal subhi rak’ataini qabliyyatan lillahi taala
Maksudnya:
Sahaja aku solat sunat sebelum Subuh dua rakaat kerana Allah Taala.
Tidak ada solat rawatib selepas fardu Subuh.
Kelebihan Solat Sunat Rawatib
Solat sunat rawatib tersingkap banyak keistimewaan yang tidak terdapat pada ibadat yang lain. Analogi solat sunat ini seumpama gam yang mampu menampal sesuatu benda yang bocor atau berlubang sehingga kembali menjadi sempurna dan cantik.
Dari Aisyah, Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang sentiasa (berterusan) mengerjakan solat (sunat) 12 rakaat, Allah SWT akan membina rumah baginya di syurga, iaitu; 4 rakaat sebelum solat Zuhur dan 2 rakaat selepas Zuhur, serta 2 rakaat sesudah Maghrib, 2 rakaat selepas Isyak dan 2 rakaat lagi sebelum solat Subuh.”
— Hadis riwayat Tirmizi
Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang tetap mengerjakan solat sunat sebelum dan selepas Zuhur sebanyak 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan dirinya dari api neraka”
— H.R. Abu Daud & Tirmidzi
Ibnu Umar meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda;
Semoga Allah merahmati orang yang solat sunat Zuhur empat rakaat.”
— Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi
Rasulullah SAW bersabda:
Sesiapa yang solat sunat sebelum Asar 4 rakaat maka Allah akan mengharamkan jasadnya dari api neraka”
— H.R. At-Tabrani
Inilah keajaiban sunat rawatib dan kita seharusnya merebut pahala dan berusaha menggamit cahaya kebaikan daripada-Nya. Pujuk dan rayu diri dengan meleburkan sikap malas kepada gerak hati yang terdorong untuk mendirikan amalan solat sunat itu. Marilah sama-sama kita berikhtiar mengajak diri kita, anak-anak dan saudara agar mencintai sunat rawatib.
Semoga bermanfaat.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! LM
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook @RojakMedia
Sumber: IslamItuIndah

 

Your email address wi

*