Selasa, 28 Mei 2019

Al-Quran gambarkan ciri-ciri ahli syurga


Setiap manusia memasang impian menjadi penghuni syurga. Pelbagai perbuatan yang dilakukan semasa di dunia memberi gambaran sama ada sesorang itu layak ke syurga atau neraka. Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani di IKIMfm, berkata terdapat lima ciri penghuni syurga iaitu mereka yang beriman, sentiasa berubah menjadi orang yang semakin baik, sentiasa bertaubat, orang yang bertakwa dan mereka yang bersujud setiap malam kepada Allah SWT.
GAMBAR hiasan.
DALAM kehidupan manusia diberi dua pilihan oleh Allah SWT, sama ada ke syurga atau neraka. Al-Quran menggambarkan ahli syurga, orang beriman dan beramal soleh.
Ingat pesanan Rasulullah SAW, iman tidak diperoleh dengan berangan-angan, tetapi iman adalah apa yang diikrarkan di dalam hati dan dizahirkan dengan amal dan perbuatan, serta yakin bahawa pada suatu hari nanti manusia akan kembali menghadap Allah apabila dimatikan dan memasuki alam kubur.
Manusia juga perlu yakin akan melalui saat disoal di dalam kubur dan dibangkitkan semula di Padang Mahsyar dan kemudian melalui titian sirat, serta tetap yakin akan dimasukkan ke dalam syurga Allah.
Tidak dapat dinafikan ciri utama penghuni syurga adalah dalam kalangan manusia yang beriman. Firman Allah yang bermaksud: "Dan berilah khabar gembira kepada orang yang beriman dan beramal soleh, sesungguhnya mereka beroleh syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; tiap-tiap kali mereka diberikan satu pemberian dari sejenis buah-buahan syurga itu, mereka berkata: "Inilah yang telah diberikan kepada kami dahulu" dan mereka diberikan rezeki itu yang sama rupanya (tetapi berlainan hakikatnya), dan disediakan untuk mereka dalam syurga itu pasangan-pasangan, isteri-isteri yang sentiasa bersih suci, sedang mereka pula kekal di dalamnya selama-lamanya." (Surah al-Baqarah, ayat 5)
Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani dalam slot Mau'izati di IKIMfm, berkata manusia yang sentiasa berubah menjadi orang yang semakin baik dan berhijrah di jalan Allah SWT adalah antara ciri bagi penghuni syurga. Semakin matang dan meningkatnya usia menjadikan mereka semakin soleh sehingga ke penghujung hayatnya digelar wali Allah oleh malaikat.
Allah SWT menyebut: "(Sesungguhnya) orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah SWT dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang yang hanya memberi minum orang haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang yang berjaya. Mereka digembirakan oleh Tuhan mereka dengan pemberian rahmat daripadanya dan keredaan serta syurga; mereka beroleh di dalam syurga itu nikmat kesenangan yang kekal. Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya. Sesungguhnya Allah, menyediakan di sisi-Nya pahala yang besar." (Surah al-Taubah, ayat 20 hingga 22).
Hijrah ke arah lebih baik
Setiap manusia yang ingin berhijrah kepada yang lebih baik dalam hidupnya perlu ada kemahuan melakukan perubahan. Ciri ketiga bagi penghuni syurga ialah orang yang sentiasa bertaubat dan menjauhkan dirinya daripada kelalaian yang melampau.
Rasulullah SAW berpesan, sekiranya bertemu dengan orang yang kaya, lalu kamu menghormatinya kerana kekayaannya, nescaya dua pertiga daripada agamanya sudah dileburkan di sisi Allah. Dalam kehidupan ini tidak akan ada seorang pun manusia yang layak memiliki kekayaan selain Allah SWT.
Selain itu orang yang beriman kepada Allah SWT dan ayat-Nya serta sentiasa hidup dengan berserah kepada Allah SWT, adalah di antara ciri manusia yang layak menghuni syurga.
Sebagaimana firman Allah SWT di dalam Surah al-Zukhruf, ayat 68 hingga 70: "(Mereka yang bertakwa itu, diberi penghormatan serta diseru oleh Allah Taala dengan firman-Nya): "Wahai hamba-hambaku! Pada hari ini kamu tidak akan merasai sebarang kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik); dan kamu pula tidak akan berdukacita. (Mereka itu ialah) orang yang beriman akan ayat keterangan Kami, serta mereka menjadi orang Islam yang taat patuh, (Mereka diberi sebaik-baik balasan dengan dikatakan kepada mereka): Masuklah kamu ke dalam syurga bersama isteri-isteri kamu (yang beriman), dengan menikmati sepenuh-penuh kegembiraan dan kesenangan."
Manusia yang sentiasa hidup di dalam keikhlasan walaupun dihalangi kesukaran, melayakkan mereka menjadi penghuni syurga kelak. Sukarnya melahirkan keikhlasan sehinggakan Allah menurunkan Surah al-Ikhlas yang dinilaikan seumpama satu pertiga al-Quran. Mereka yang mampu menjadikan dirinya ikhlas di dalam beribadah kepada Allah, menunjukkan petanda bahawa dirinya seperti yang digambarkan di dalam al-Quran, orang yang sedang bergerak ke arah syurga.
Dalam Surah as-Saaffaat, ayat 40 hingga 43 pula bermaksud: "Kecuali hamba Allah SWT yang dibersihkan daripada sebarang syirik, Mereka itu beroleh limpah kurnia yang termaklum, Iaitu buah-buahan (yang lazat), serta mereka mendapat penghormatan."
Ciri penghuni syurga
Ciri penghuni syurga, termasuk dalam kalangan manusia yang istiqamah beribadah kepada Allah. Mereka ini digambarkan di dalam Surah Fussilat, ayat 30 yang bermaksud, "Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa (dengan memberi ilham): Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya kejadian yang tidak baik terhadap kamu) dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu."
Orang yang bertakwa kepada Allah SWT, diusir dari negerinya dan diseksa kerana berada di jalan Allah SWT juga antara ciri penghuni syurga. Di dalam firman Allah, Surah ali-Imran, ayat 195: "Maka Tuhan mereka perkenankan doa mereka (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku tidak akan sia-siakan amal orang yang beramal dari kalangan kamu, sama ada lelaki atau perempuan, (kerana) setengah kamu (adalah keturunan) dari setengahnya yang lain; maka orang yang berhijrah (kerana menyelamatkan agamanya) dan yang diusir ke luar dari tempat tinggalnya dan juga yang disakiti (dengan berbagai-bagai gangguan) kerana menjalankan agama-Ku, dan yang berperang (untuk mempertahankan Islam), dan yang terbunuh (gugur syahid dalam perang sabil) sesungguhnya Aku akan hapuskan kesalahan mereka dan sesungguhnya Aku akan masukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, sebagai pahala dari sisi Allah. Dan di sisi Allah jualah pahala yang sebaik-baiknya (bagi mereka yang beramal soleh)."
Hidupkan malam beribadah
Di antara ciri lain bagi manusia yang layak menghuni syurga ialah mereka yang sanggup merenggangkan dirinya dengan tempat tidurnya semata-mata untuk menghidupkan malamnya untuk sujud kepada Allah.
Begitu juga para wali Allah yang sentiasa dekat-Nya, orang yang beriman pada Hari Akhirat serta orang yang sabar di dalam mengharapkan pertemuannya dengan Allah SWT. Selain itu, manusia yang menginfaqkan sebahagian hartanya ke jalan Allah SWT dan hidupnya begitu taat kepada Allah SWT dan Rasul bakal memasuki syurga.
Ciri ahli syurga ini terkandung dalam Surah Ar-Ra'd, ayat 22 hingga 24: "Dan orang yang sabar kerana mengharapkan keredaan Tuhan mereka semata-mata, dan mendirikan sembahyang, serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka; dan mereka pula menolak kejahatan dengan cara yang baik; mereka itu semuanya adalah disediakan baginya balasan yang sebaik-baiknya pada hari akhirat; -Iaitu syurga yang kekal yang mereka akan memasukinya bersama-sama orang-orang yang mengerjakan amal soleh dari ibu bapa mereka dan isteri mereka serta anak mereka; sedang malaikat pula akan masuk kepada mereka dari tiap-tiap pintu; (Memberi hormat dengan berkata): Selamat sejahteralah kamu berpanjangan, disebabkan kesabaran kamu. Maka amatlah baiknya balasan amal kamu di dunia dahulu."








































Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.