Selasa, 28 Mei 2019

Lima amal ibadah kunci syurga

Lima amal ibadah kunci syurga

KESILAPAN menyintai dunia dan mengikut hawa nafsu hanya akan memusnahkan impian manusia untuk beroleh ganjaran istimewa pada hari akhirat kelak.
Allah SWT berfirman bermaksud: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan daripada Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, disediakan bagi orang bertakwa." (Surah Ali-Imran, ayat 133)
Tanda-tanda yang menunjukkan manusia itu dalam kalangan mereka yang bertakwa dan bakal menghuni syurga ialah mereka rajin bertaubat kepada Allah SWT. Walau apa juga kesilapan dan dosa dilakukan, janganlah berputus-asa dan jemu memohon keampunan daripada-Nya.
Malas bertaubat membuktikan manusia malas untuk masuk syurga kerana sesungguhnya agama menggalakkan manusia meraih ganjaran dengan apa cara sekalipun. Antara usaha itu ialah bertaubat kerana manusia tidak lepas daripada melakukan kesilapan.
Berada dalam majlis ilmu
Rajin bertamu di rumah Allah SWT dan menghidupkan majlis ilmu adalah tanda manusia bakal meraih ganjaran syurga. Mereka yang sentiasa berada di majlis ilmu adalah dalam kalangan orang yang terpilih kerana amalan itu sukar dilakukan.
Menerusi slot Mau'izati di IKIMfm, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani, berkata peringatan yang diperolehi menerusi tazkirah dan kuliah ilmu memberi manfaat syurga kepada ahlinya.
Beliau berkata, sentiasa membantu orang lain juga akan menjanjikan syurga, terutama apabila bantuan diberikan tidak mengharapkan pujian dan balasan, Allah SWT akan membantu dipermudahkan jalan mereka masuk ke syurga.
Abu Bakar as-Syafie meriwayatkan daripada Qulaib bin Har, Rasulullah SAW bersabda: "Carilah syurga sekuat tenaga kamu, kamu perlu berani mengatakan tidak kepada perkara yang mendatangkan dosa, berani menadahkan tangan setinggi mungkin, menangis teresak-esak kepada Allah SWT, manakala neraka, kamu larilah sekuat mungkin daripadanya.
Sesungguhnya mencari syurga itu tidak sepatutnya ia hidup dalam keadaan terburu-buru, dan orang yang ingin lari daripada neraka itu tidak sepatutnya mereka hidup di dalam keadaan tergesa-gesa atau hanya melakukan amalan secara ala kadar."
Mereka yang rajin membaca al-Quran juga antara yang meraih syurga. Jika tidak mampu membaca al-Quran, maka perbanyakkanlah berzikir. Bertadabburlah dan menghalusi ayat al-Quran sehingga dapat merasai kemanisan hidup beragama.
Nikmat dirasai apabila sering membaca al-Quran tidak dapat dibayangkan keindahannya kerana ia mukjizat agung Allah SWT berikan kepada manusia. Sebaliknya, manusia tidak merasai kehebatan al-Quran kerana dibelenggu kemalasan.
Menjaga silaturahim
Oleh itu, untuk merasai diri dekat dengan Allah SWT, lakukanlah perkara yang dicintai-Nya seperti menyambung silaturahim kerana semakin ramai yang dekat dengan kita, semoga ramai yang mendoakan kita.
Rasulullah SAW mengingatkan, tidak akan masuk syurga orang yang hidup di dunia ini, memutuskan silaturahim. Menyambung silaturahim akan melayakkan dirinya memperoleh ganjaran syurga.
Syurga Firdaus iaitu ganjaran tertinggi kepada penghuninya. Orang yang beriman kepada Allah SWT dan sentiasa beramal soleh dan mereka akan tinggal di dalamnya buat selama-lamanya.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Mereka itulah orang yang berhak mewarisi - yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya." (Surah al-Mukminun, ayat 10-11)
Syurga kedua tertinggi ialah syurga Adni seperti firman Allah SWT yang bermaksud: "(Segala sifat yang mulia) ini, adalah menjadi sebutan penghormatan (bagi mereka). Dan sesungguhnya bagi orang yang bertakwa, disediakan tempat kembali yang sebaik-baiknya (pada hari akhirat kelak), Iaitu beberapa buah syurga tempat penginapan yang kekal, yang terbuka pintu-pintunya untuk mereka; (Mereka akan bersukaria) dalam syurga itu sambil berbaring (di atas pelamin); mereka meminta di situ buah-buahan dan minuman yang pelbagai jenisnya dan rasa kelazatannya. Dan di sisi mereka pula bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), lagi yang sebaya umurnya. Inilah dia balasan yang dijanjikan kepada kamu setelah selesai hitungan amal! Sesungguhnya ini ialah pemberian Kami kepada kamu, pemberian yang tidak akan habis-habis." (Surah Saad, ayat 49-54)
Syurga ketiga ialah syurga Khuld yang diceritakan dalam al-Quran: "Bertanyalah (kepada mereka): Adakah (azab seksa neraka) yang demikian itu lebih baik atau syurga yang kekal, yang dijanjikan kepada orang yang bertakwa? Syurga yang sedia diuntukkan bagi mereka sebagai balasan dan tempat kembali. Mereka beroleh dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki, mereka pula kekal di dalamnya. Balasan yang demikian adalah satu janji yang dijamin oleh Tuhanmu, lagi yang dipohonkan dan dituntut (dalam doa masing-masing)." (Surah al-Furqan, ayat 15-16)
Syurga seterusnya ialah syurga Makwa yang dijelaskan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (Malaikat Jibril, dalam bentuk rupanya yang asal) sekali lagi, di sisi 'Sidratul-Muntaha'; yang di sisinya terletak syurga 'Jannatul-Makwa'. (Nabi Muhammad melihat Jibril dalam bentuk rupanya yang asal pada kali ini ialah) ketika Sidratul Muntaha itu diliputi oleh makhluk dari alam ghaib, yang tidak terhingga." (Surah al-Najm, ayat 13-16)
Penulis ialah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm















































Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.