Rabu, 29 Mei 2019
Persediaan Usia Remaja Sampai Tua (Satu artikel utk kita fikirkan)
Saya masih ingat pada suatu insiden dalam satu seminar tentang masalah juvana dan gejala sosial dikalagan remaja baru-baru ini. Cadangan yang saya utarakan dilihat sebagai ‘out of topic’ semasa resolusi seminar hendak dibentuk. Ya, memang agak melawan arus, ketika ahli panel membincangkan hari-hari yang patut diraikan dan diingati oleh para remaja, saya mencadangkan agar diingat hari ‘akil baligh’nya. Tapi mujur, seorang yang diiktiraf pakar dalam bidang psikologi tiba-tiba berminat dengan cadangan saya. Kami berbual panjang selepas sessi itu. (Untuk pengetahuan pembaca cadangan saya telah ditolak).“Akil baligh hanyalah proses perkembangan biologi dan psikologi manusia… tidak lebih dari itu. Mengapa saudara menganggapnya terlalu penting?” Saya termenung seketika dan menjawab, “sesuatu perkara akan dianggap penting apabila kita tahu akan kepentingannya”.
Dia senyum, “apa signifikannya akil baligh ni…”
Saya ketawa, “Mula-mula yang penting kita sama-sama telah baligh.” Kami sama-sama ketawa, kemudian serius semula. “Benar, saya nak lihat dimensi pemikiran awak tentang soal ini,” tanyanya bersungguh-sungguh.
“Pada saya soal ini sangat penting walaupun sering dipinggirkan dalam proses pendidikan kita … Ia penting sebab detik akil baligh merupakan detik masa seseorang telah dikira layak dan mampu melaksanakan perintah Tuhan dan meninggalkan larangan-Nya. Saat dosa dan pahala mula dikira. Ini bukan soal remeh…” kata saya.
“Itu pandangan awak tapi pada mereka yang mengangap Tuhan itu tidak penting dalam hidup. Itu biasa-biasa saja,” ulas beliau pendek. Satu provokasi pemikiran mungkin.
“Back to basic. Apa erti baligh? Baligh ertinya “sampai”. Pada tahap manusia sudah sampai atau mampu dari segi spiritual, mental dan fizikal untuk mengamalkan seluruh perintah dan meninggalkan seluruh larangan Allah. Kalau matilah selepas tarikh itu, dah tentu dia akan masuk syurga ataupun neraka…” tambah saya.
“Jadi apa seharusnya dibuat menjelang detik itu? ” tanya beliau lagi. Saya dapat melihat dia sekadar ingin mencungkil, menyoal kerana ‘nak tahu’ bukan ‘tak tahu’.
“Dah jelas… manusia yang dah akil baligh sepatutnya dah lengkap dengan ilmu Fardhu Ain. Dah belajar, faham dan yakin tentang rukun Iman dan rukun Islam. Dah kenal Allah dengan segala sifat kesempurnaan-Nya, kenal kitab, kenal malaikat dan lain-lain. Dan sepatutnya dah tahu semua persoalan solat, termasuk bacaan fatehah, tahiyyat, wuduk dan tahu cara membasuh najis, mandi hadas besar dan sebagainya. Dah tahu tentang akhlak yakni sifat mahmudah dan mazmumah.
Dia diam kali ini. Entah apa pula yang bermain di kepalanya kali ini.
“Sepatutnya siapa yang dah akil baligh dah tak ada masalah lagi soal persediaan, tetapi sudah cukup bersedia untuk melaksanakan. Bak kata orang dayung telah di tangan, perahu telah di air… maka yang tinggal berdayung saja…” sambung saya.
“Maksud awak masa akil baligh bukan bukan masanya lagi untuk membuat persediaan? Oh, macam mana kalau ada yang masih tidak bersedia lansung….” Tiba-tiba dia memotong.
“Umur 15 tahun pada seorang lelaki, dan kurang daripada itu bagi seorang perempuan, adalah detik masa yang sangat kritikal. Waktu itu bukan masanya berlengah-lengah dan bersantai-santai lagi.”
“Boleh awak beri satu analogi?”
“Ya, beginilah…tarikh akil baligh samalah seperti tarikh permulaan seseorang didaftar ‘masuk’ bekerja. Cuma bezanya, dalam konteks ini kita adalah sebagai ‘pekerja’ Tuhan. Baik atau kurangnya prestasi kerja kita sudah ada ganjaran dan hukuman. Maka, tak boleh ponteng-ponteng lagi… “ jawab saya.
“Sebagai ibu-bapa apa pula peranan kita pada saat itu?”.
“Mak-ayah kenalah beri tahu anaknya akan tugas-tugasnya. Anak diingatkan, diberi dorongan dan dinyatakan batas-batas dan sempadan pada sebarang kelakuan dan percakapan. Sebagai pekerja baru anak sepatutnya diberi ‘job list’, disuruh semak, diminta mengaku dan berjanji (akujanji). Kemudian disuruh tandatangan surat tawaran kerja. Begitulah, signifikannya tarikh akil baligh ni…”
“Ini soal besar. Tapi kenapa ia dipandang remeh bukan sahaja oleh para ibu-bapa malah oleh para remaja itu sendiri?” tanyanya lagi. Terasa macam disoal wartawan pula.
“Puncanya ialah Tuhan telah dipinggirkan dalam kehidupan manusia. Manusia semakin kurang kenal kehebatan dan keagunagn Tuhan. Bila tidak kenal, maka tidak cinta. Tidak rasa gerun. Tidak ada rasa mengharap. Dan akibat daripada itu manusia tidak nampak manfaat mentaati-Nya dan bencana jika melawan-Nya. Bila kita tidak nampak ganjaran dan ancaman, maka sudah tentu tidak timbul dorongan untuk beramal. Bila tak ada dorongan untuk beramal… maka sudah pasti tidak timbul rasa ingin membuat persediaan dan mula melangkah. Jadi apa ertinya akil baligh bagi manusia yang begitu? “ jelas saya agak panjang.
“Yalah saya masih ingat kata-kata lucu yang umur baligh itu bukan 15 tahun tapi 55 tahun. Dan ada sampai 55 pun tak baligh-baligh lagi. Kononnya belum sampai seru. Apa pandangan awak tentang ini?”
“Kalau boleh saya katakan, pada tahap umur 15 tahun itulah ertinya ‘sampai seru’. Kan baligh, ertinya sampai? Dah sampai serulah tu. Jangan berdalih kenapa tak solat? Tak sampai seru… Sedangkan bila dah baligh, ertinya dah sampai serulah tu. “
Dia ketawa.
“Bayangkan kalau dikalangan ibu-bapa sendiri pun sudah bersikap demikian, bagaimana pula anak-anak mereka? Untuk mempersiapkan diri sendiripun payah apalagi nak mempersiapkan anak-anak untuk menjunjung perintah Allah …” “Jadi ibu-bapalah yang harus dipersalahkan?”
“Sama-sama bersalah. Remaja juga bersalah. Ingat bila dah akil baligh, kita tidak boleh lagi menyalahkan sesiapa kecuali diri kita. Agak awak bagaimana persepsi remaja terhadap persoalan ini?” tanya saya. Kali ini saya pula yang menyoal.
“Saya yakin kebanyakan remaja menganggap baligh ini soal biasa…Yang lebih dirisaukan hanyalah soal-soal lahiriah, soal jerawat yang mula tumbuh, soal suara yang garau, potongan badan berubah dan saiz baju yang berbeza. Soal ilmu, soal iman, soal akhlak langsung tidak diperdulikan.”
“Beza benar dengan remaja dahulu, Imam Safie misalnya sudah boleh mengajar dan berfatwa sedangkan beliau masih belum baligh,” tambah saya.
“Sejauh pemerhatian rambang saya, saya dapati ramai juga remaja yang dah baligh tapi tak matang-matang …” “Apa yang difahamkan dengan kematangan?” tanya saya.
“Kematangan ialah kemampuan menilai, berfikir, memilih memutuskan dan seterusnya bertindak dengan betul. Kematangan adalah gabungan ilmu, sikap dan keyakinan,” jawabnya tepat.
“Itulah maksud baligh dari segi rohaniah dan akliahnya. Baligh dari segi biologi, itu semua orang boleh mencapainya. Asal badan kita sihat, fizikal kita kuat, maka balighlah kita. Tapi bagaimana dengan fikiran? Bagaimana dengan jiwa kita? Jadi, ramai yang baligh tapi belum matang…”
“Bila tidak matang, mereka tidak berfikiran luas dan panjang. Fikiran hanya selapis sahaja, nampak seronok… terus buat. Tidak fikir akibat. Apalagi nak fikirkan akibat di akhirat, … akibat di dunia pun tak nampak. Remaja yang tidak matang boleh buang masa berjam-jam dengan internet, melayari laman-laman web yang tidak berfaedah, sedangkan sepatutnya dia mengulang kaji pelajaran. Kenapa dia berbuat demikian? Sebab dia belum matang. Remaja yang matang tahu tanggung-jawabnya dengan Allah, dengan ibu-bapa dan dengan dirinya sendiri.”
“Apakah ibu bapa yang bersalah dalam hal ini?”
“Adalah tidak majar dan bijak jika remaja terus menyalahkan ibu-bapanya. Sekalipun mungkin keduanya tak mempersiapkan mereka untuk menempuh usia akil baligh. Ini kerana apabila sesorang telah baligh, maka pada waktu itu dosa dan pahala sudah dipikulkan atas diri mereka secara personal. Jadi apa gunanya terus menyalahkan ibu-bapa atau orang lain? Sedangkan kitalah yang sepatutnya menangung akibat perbuatan kita sendiri. Ya, ibu-bapa memang bersalah pada walnya, tapi itu bukan alasan oleh para remaja untuk terus menyalahkan mereka sepanjang hayat. Ini kerana setelah akil baligh, para remaja sudah layak memikir, menilai dan membuat keputusan sendiri. Risiko atau untungnya terpaksa dipikul sendiri.”
Kami berjabat salam. Pulang dari seminar, saya tertanya-tanya apakah anak lelaki saya di tingkatan dua itu sudah baligh? Ya, cadangan saya telah ditolak dalam seminar itu tapi pasti diterima dalam rumah-tangga yang dipimpin oleh saya sendiri!
Ehsan oleh Pahrol Mohamad Juoi
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.