Khamis, 30 Mei 2019

Hikmah dan Kebaikan Berpoligami di Dunia dan Akhirat.


Hikmah dan Kebaikan Berpoligami di Dunia dan Akhirat.
oleh Abu Basyer pada 22 Juli 2011 jam 10:33
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW. keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.

Sahabat yang dirahmati Allah,
Apabila kita memperkatakan hikmah dan kebaikan berpoligami mungkin kita hanya memfokuskan kebaikannya hanya di dalam kehidupan di dunia sahaja.Tetapi kebaikan yang lebih besar adalah kebaikan yang dikurniakan oleh Allah SWT di hari akhirat nanti. Nabi SAW adalah contoh utama kita di dunia dan akhirat dan sunnah baginda adalah amalan yang terbaik yang sepatutnya menjadi ikutan dan amalan umat Islam keseluruhannya. Tidak boleh sesiapa dikalangan umat Islam boleh mempertikaikan dan menolak sunnah dan amalan kehidupan baginda SAW.

Berpoligami adalah sunnah Rasulullah SAW dan baginda berpoligami sehingga sembilan orang isteri ini adalah khusus untuk baginda sahaja dan umatnya dibenarkan oleh Allah SWT paling ramai setakat empat sahaja. Samaada baginda mengawini anak dara atau janda itu soal kedua kerana yang penting berpoligaminya Nabi SAW adalah utuk kebaikan para isteri baginda di hari akhirat. Wanita yang mengawini orang lain belum pasti memasuki syurga tetapi wanita yang mengawini Nabi SAW adalah pasti menjadi penghuni syurga.

Firman Allah SWT. yang bermaksud, “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain), dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman.
(Surah An-Nisaa’ Ayat 3)

Setiap ayat Allah SWT pasti mengandungi hikmah dan kebaikan yang tidak dapat dijangkau oleh pemikiran manusia. Allah SWT membenarkan lelaki muslim yang berkemampun perlu untuk berpoligami samaada dua, tiga atau empat. Hanya mereka yang tidak berkemampun sahaja kekal untuk seorang isteri sahaja. Jika Allah SWT lebih menyukai hamba-hamba-Nya hanya seorang isteri maka dalam ayat di atas akan dimulakan dengan seorang isteri terlebih dahulu, tetapi ayat diatas di mulakan dangan perkataan 2,3, dan 4 dahulu baru diakhir ayat mengatakan 1 (seorang isteri). Ini menunjukkan ada hikmah yang tersirat dan tersurat yang mana Allah SWT lebih mengetahui kebaikan para hamba-Nya samaada di dunia dan akhirat.

Sahabat yang dimuliakan,
Jika dikaji beberapa hadis-hadis Nabi SAW bolehlah kita menceduk hikmah berpoligami menurut kacamata Islam.

Rasulullah SAW pernah menggambarkan kegembiraan baginda di akhirat dengan bilangan umatnya yang ramai hasil daripada perkahwinan berlangsung di kalangan umatnya.

Sabda Nabi SAW bermaksud: “Nabi SAW menyuruh kami supaya berkahwin dan melarang kami membujang. Larangan itu beliau tekankan dengan cukup keras dengan bersabda: “Nikahilah wanita yang subur dan penyayang, kerana aku berasa bangga melihat umatku yang ramai pada hari kiamat kelak.” (Hadis Riwayat Ahmad)

Ini menjelaskan kepada kita bahawa berkahwin adalah satu cara untuk mendapatkan keturunan. Berkahwin seorang tidak sama dengan berkahwin 2,3, atau 4 darisegi bilangan umat baginda di hari akhirat. Semakin ramai seseorang berkahwin secara logiknya maka akan bertambah ramai ahli keluarganya sebagai umat Rasulullah SAW.

Mengikut sirah sahabat-sahabat Rasulullah SAW ramai yang berpoligami adalah bertujuan untuk meramaikan umat Islam dihari akhirat nanti seperti saranan baginda. Maksudnya keturunannya akan ramai bersambung menyambung hingga ke hari kiamat. Jika seorang berkahwin dua maka ada dua saluran keturunannya hingga kehari kiamat begitu juga jika berpoligami empat isteri dia akan memiliki empat saluran keturunan yang bersambung sehingga kehari kiamat. Jika ada dikalangan ahli keluarganya yang ramai itu dapat memasuki syurga maka mereka boleh saling bantu membantu memberi syafaat di antara satu sama lain. Keistimewaan ini tidak dimiliki oleh mereka yang berkahwin seorang sahaja.

Syaikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin berkata, “Seorang lelaki jika dia mampu dengan harta, badan (tenaga) dan hukumnya (bersikap adil), maka lebih utama baginya untuk menikahi dua sampai empat orang wanita jika dia mampu. Dia mampu dengan fizikalnya (tenaga batin) sehingga dia mampu menunaikan hak yang khusus bagi isteri-isterinya. Dia juga mampu dengan hartanya sehingga dia boleh memberi nafkah yang layak bagi isteri-isterinya. Dan dia mampu pula dengan bersikap adil di antara mereka. Kalau dia mampu seperti ini maka hendaknya dia menikah (dengan lebih dari seorang wanita), semakin banyak wanita yang dinikahinya maka itu lebih utama.

Ibnu Abbas radhiyallahu ‘anhuma berkata, “Orang yang terbaik di umat ini adalah yang paling banyak isterinya.”(tidak lebih daripada 4 isteri)

Seorang yang soleh dan bertakwa boleh memberi syafaat kepada ahli keluarganya yang lain. Sabda Rasulullah SAW maksudnya : “Barangsiapa membaca Al Quran dan mengamalkannya, menghalalkannya yang halal dan mengharamkan yang haram maka Allah memasukkannya ke dalam syurga dan dia boleh memberi syafaat 10 orang keluarganya yang sudah pasti masuk neraka.” (Hadis Riwayat Tarmizi)

Nabi Adam a.s adalah seorang nabi yang mempunyai keluarga yang cukup besar iaitu semua umat manusia akan menjadi keluarganya yang besar bermula daripada anak-anaknya hingga manusia yang hidup semasa berlakunya hari kiamat.
Firman Allah SWT maksudnya :” Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” (Surah al-Tur ayat 21)

Ayat di atas secara jelas menjelaskan bahawa Allah SWT akan pertemukan diantara bapa dan anak cucu dan cicitnya dan keturunannya di akhirat kelak. Orang-orang yang beriman akan ditempatkan di dalam syurga bersama dengan keluarga dan keturunan mereka sebagai salah satu bentuk nikmat dan hiburan kepada mereka.

Bahkan Allah akan mengangkat darjat ibu bapa yang soleh kerana doa anak-anak mereka dan doa cucu-cicit dan keturunan mereka begitu juga meninggikan darjat anak- cucu disebabkan amal soleh ibu bapa (Tafsir Ibn Kathir)). Menurut Imam al-Razi, ayat ini juga menjadi bukti bahawa kasih sayang ibu bapa yang beriman berterusan sehingga ke akhirat (Tafsir al-Razi).

Walaubagaimanapun nikmat ini hanya dikhususkan kepada ibu bapa dan anak cucu yang sama-sama beriman dan mati di dalam iman sahaja.

Di syurga seorang lelaki yang mempunyai seorang isteri akan memiliki seorang ketua bidadari dan 72 orang bidadari.

Nabi SAW bersabda maksudnya : “Setiap lelaki yang masuk syurga akan diberi 72 bidadari; tidak peduli pada umur berapa dia mati, ketika dia masuk syurga dia akan menjadi seorang berumur 30 tahun dan tidak akan tambah tua. Lelaki di syurga akan diberi keperkasaan yang sama dengan keperkasaan seratus orang lelaki.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Bagi lelaki yang mempunyai 4 orang isteri dia akan memiliki 4 orang ketua bidadari dan 72 bidadari untuk setiap isteri-isterinya.

Keseronokan disyurga bukan sahaja memiliki ketua bidadari dan bidadari-bidadari tetapi keseronokkan juga kerana mempunyai keturunan yang ramai dan ini akan lebih menambahkan kenikmatan berkomunikasi dan berinteraksi dan berhibur sesama keturunan mereka.

Sahabat yang dikasihi,
Pahala yang besar juga akan diperolehi kepada orang mukmin yang berpoligami semata-mata kerana Allah SWT, berhajat mendidik isteri-isterinya menjadi isteri yang solehah dan berhajat memiliki keturunan yang besar dan beriman yang akan dapat saling memberi syafaat dan tolong menolong di hari akhirat nanti.

Amat malang bagi seorang lelaki yang berkahwin seorang isteri tetapi isterinya tidak menutup aurat, berhias untuk lelaki lain dan sering tidak mensyukuri rezeki suaminya dan hanya mementingkan kepentingan duniawi semata-mata. Anak-anaknya pula tidak soleh dan solehah kerana tidak ada didikan agama daripada seorang ayah dan ibu.

Wanita yang solehah yang memahami bahawa haknya tidak akan berkurangan di hari akhirat nanti jika suaminya berpoligami semasa di dunia dan kerana anak-anak daripada isteri-isteri yang lain jika beriman dan bertakwa dan dipilih memasuki syurga akan dapat memberi syafaat dan membantu ahli keluarganya yang lain termasuk ibu-ibu tirinya untuk memasuki syurga. Keistimewaan ini tidak dimiliki wanita yang bujang tak mahu berkahwin atau wanita yang tidak membenarkan suaminya berpoligami walaupun berkemampuan.

Sahabat yang dihormati,
Berpoligami banyak terdapat kemaslahatan/kebaikan yang agung bagi kaum lelaki maupun wanita, bahkan bagi seluruh umat Islam. Sebab dengan poligami akan memudahkan bagi lelaki maupun wanita untuk menundukkan pandangan, menjaga kemaluan (kesucian), memperbanyak (jumlah) keturunan di dunia dan akhirat, dan memudahkan bagi lelaki untuk memimpin beberapa orang wanita dan membimbing mereka kepada kebaikan, serta menjaga mereka dari sebab-sebab keburukan dan penyimpangan.

Hikmah berpoligami ini adalah menjadi amalan sahabat-sahabat Rasulullah SAW kerana sebahagian besar sahabat-sahabat berpoligami dan sebahagian kecil saja yang tidak berpoligami. Amalan ini juga diamalkan oleh ulama-ulama Islam dan orang-orang soleh sepanjang sejarah.

Akhirkata sebelum kalian ingin berpoligami pastikan kalian mempunyai kemampuan dari segi nafkah zahir dan batin dan mampu berlaku adil kepada isteri-isteri kalian, perlu diingat kalian akan jalan tempang sebelah kaki dihari akhirat nanti jika kalian tidak dapat berlaku adil, kerana sifat adil adalah paling hampir dengan sifat takwa.

Tetapi jika kalian berpoligami menurut syariat Islam dan kalian terdiri daripada orang yang bertakwa maka kalian akan memasuki syurga yang penuh kenikmatan dan berbahagia bersama-sama isteri-isteri kalian (ketua bidadari) dan bidadari-bidadari bermata jeli dan keturunan kalian di syurga nanti. Waullahualam.










































Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.