Khamis, 30 Mei 2019

Sifat dan Ciri-ciri Syurga dan Keadaan Ahli Syurga oleh Makmum Sundari


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Selawat serta salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW keluarga serta para sahabat dan pengikut yang istiqamah menuruti baginda hingga ke hari kiamat.
Sahabat yang dirahmati Allah,
Sebelum memasuki ke Syurga setiap manusia akan melalui Siratul Mustaqim.
Abul-Laits meriwayatkan dari Abdullah bin Mas’ud, Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Manusia semua akan berdiri di dekat neraka kemudian mereka menyeberang di atas sirat (jambatan) di atas neraka, masing-masing menurut amal perbuatannya, ada yang menyeberang bagaikan kilat, ada yang bagaikan angin kencang dan yang bagaikan kuda yang cepat larinya, dan seperti lari orang, dan ada yang bagaikan terbang burung, dan ada yang seperti unta yang cepat dan yang akhir berjalan di atas kedua ibu jari kakinya, kemudian tersungkur dalam neraka, dan sirat itu licin, halus, tipis, tajam semacam pedang, berduri sedang di kanan-kiri malaikat yang membawa bantolan untuk membantol (menyeret) orang-orang, maka ada yang selamat, ada yang luka-luka tetapi masih selamat dan ada yang langsung tersungkur ke dalam api neraka, sedang para malaikat itu sama-sama berdoa; ‘Robbi sallim sallim’ (Ya Tuhan selamatkan, selamatkan) dan ada orang yang berjalan sebagai orang terakhir masuk ke syurga maka ketika ia selamat dari sirat terbuka baginya pintu syurga dan merasa tidak ada tempat baginya di syurga, sehingga ia berdoa : ‘Ya Tuhan tempatkan saya di sini.’
Jawab Tuhan : ‘Kemungkinan jika Aku beri padamu tempat itu lalu minta yang lainnya?.’
Jawabnya :’ Tidak, demi kemuliaan-Mu. Maka ditempatkan di situ’, kemudian diperlihatkan kepadanya tempat yang lebih baik, sehingga ia merasa kerendahan tempat yang diberikan padanya lalu ia berkata : ‘Ya Tuhan tempatkanlah aku di situ.’
Di jawab oleh Tuhan : ‘Kemungkinan jika Aku berikan kepadamu, kau minta yang lainnya?’
Jawabnya :’ Tidak demi kemuliaan-Mu’, kemudian diperlihatkan kepadanya syurga yang lebih baik, sehingga ia merasa bahawa tempatnya itu masih rendah, tetapi ia diam tidak berani minta beberapa lama, sehingga ditanya :’ Apakah kau tidak minta?’
Jawabnya : ‘Saya sudah minta sehingga merasa malu.’
Maka firman Allah yang bermaksud : ‘Untukmu sebesar dunia sepuluh kali, maka inilah yang terendah tempat di syurga.”
Abdullah bin Mas’ud berkata : ” Nabi SAW jika menceritakan ini maka tertawa sehingga terlihat gigi gerahamnya.”
Di dalam hadis yang lain menceritakan bahawa di antara wanita-wanita di dunia ini ada yang kecantikannya melebihi bidadari kerana perbuatannya ketika di dunia.
Firman Allah SWT. yang bermaksud :
“Kami cipta mereka baru, dan kami jadikan mereka tetap gadis, yang sangat kasih dan cinta, juga tetap sebaya umurnya, untuk orang-orang ahlil yamin”
Abu-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Arqam r.a. berkata : Seorang ahlil kitab datang kepada Nabi SAW dan bertanya : “Ya Abal-Qasim apakah kau nyatakan bahawa orang syurga itu makan dan minum?”
Jawab Nabi SAW : “Ya, demi Allah yang jiwa Muhammad ada di tangan-Nya, seorang ahli syurga diberi kekuatan seratus orang dalam makan, minum dan jimak (bersetubuh)”
Ia berkata :”Sedang orang yang makan, minum ia lazimnya berhajat, sedang syurga itu bersih tidak ada kotoran?”
Jawab Nabi SAW : “Hajat seseorang itu berupa peluh yang berbau harum bagaikan kasturi.”
Sahabat yang dimuliakan,
Abul-Laits berkata sesiapa yang ingin mendapat kehormatan itu hendaklah menepati lima perkara :
1.Manahan dari maksiat, firman Allah SWT yang bermaksud : “Dan menahan nafsu dari maksiat maka syurga tempatnya.”
2.Rela dengan pemberian yang sederhana sebab dalam hadis yang bermaksud : “Harga syurga itu ialah tidak rakus pada dunia.”
3.Rajin pada tiap taat dan semua amal kebaikan, sebab kemungkinan amal itulah yang menyebabkan pengampunan dan masuk syurga. Allah berfirman yang bermaksud ; “Itu syurga yang diwariskan kepadamu kerana amal perbuatanmu.”
4.Cinta pada orang-orang soleh dan bergaul pada mereka sebab mereka diharapkan syafaatnya sebagaimana dalam hadis yang bermaksud : “Perbanyaklah kawan, kerana tiap kawan itu ada syafaatnya pada hari kiamat.”
5.Memperbanyakkan doa dan meminta masuk syurga dan hasnul khatimah.
Anas bin Malik r.a berkata : Nabi SAW bersabda yang bermaksud :
“Siapa yang meminta kepada Allah syurga sampai tiga kali, maka syurga berdoa : ‘Ya Allah, masukkan ia ke syurga, dan siapa berlindung kepada Allah dari neraka tiga kali, maka neraka berdoa ; ‘Ya Allah hindarkan ia dari neraka.”
Ahli-ahli Syurga sentiasa sibuk berziarah di antara satu sama lain. Dikumpulkan semua ahli keluarga dari ayah, datok seterusnya keturunan di atas hingga ke datok kita pertama Nabi Adam a.s. Begitu juga dipertemukan anak, cucu, cicit dan serterusnya keturunan kita dibawah hingga kehari kiamat. Kalau kita di dunia hanya bertemu kaum keluarga yang terdekat sahaja tetapi di syurga kita dapat bertemu semua ahli keluarga dan keturunan kita tanpa hadnya dan amat seronok dapat berbincang dan manceritakan amalan masing-masing hingga menyebabkan berhasil dapat memasuki syurga.
Di syurga juga kita dipertemukan dengan sahabat-sahabat, saudara seperjuangan dalam dakwah, rakan-rakan, jiran tetangga dan orang-orang soleh yang lain. Yang amat mengembirakan sekali kita dapat bertemu dengan Nabi Muhammad SAW dan sahabat-sahabat baginda. Bahasa yang di gunakan di syurga adalah bahasa Arab, walaupun di dunia kita tak tahu bahasa Arab tetapi secara otomatik kita akan fasih berbahasa Arab kerana setiap hari kita solat menggunakan bahasa Arab. Sesiapa di dunia tidak pernah solat (dalam solat kita gunakan bahasa Arab) maka dia tidak akan memasuki syurga.
Di syurga kita diberikan kebenaran untuk berkomunikasi denga ahli neraka, dan mereka melahirkan penyesalan kerana semasa di dunia mereka tidak mahu mendengar ajakan untuk beriman kepada Allah SWT. dan mentaati Allah SWT. dan Rasulullah SAW.
Syurga mempunyai 7 tingkat. Tingkat yang paling tinggi adalah Syurga Firdaus. Nabi SAW ada menyatakan bahawa kalau kita berdoa mintalah pada Allah SWT syurga yang paling tinggi iaitu Syurga Firdaus. Di tingkat mana di dalam syurga seseorang hamba itu di tempatkan adalah bergantung pada amalan masing-masing, semakin banyak amalan kebaikannya maka semakin tinggi tempat duduknya di syurga.
Di syurga juga terdapat sungai susu, sungai arak dan sungai madu. Kenderaan yang di gunakan bergantong kepada keinginan masing-masing. Apabila masuk sahaja ke dalam syurga, maka Allah SWT. sediakan kuda dari permata dan mempunyai dua sayap yang boleh terbang dan bergerak kemana sahaja mengikut arahan penghuni syurga tersebut.
Sahabat yang dikasihi,
Syurga adalah tempat istirehat yang sebenarnya. Satu tempat istimewa yang disediakan oleh Allah SWT. kepada hamba-hamba-Nya yang bertakwa dan telah mengabdikan diri mereka sepenuhnya ketika didunia. Banyak terhadap ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi SAW. yang menceritakan tentang nikmat dan keseronokan tempat tinggal di syurga Allah SWT.
Firman Allah SWT maksudnya : “(Untuk mereka) Syurga-syurga “Adn”, yang mereka akan memasukinya, yang mengalir padanya beberapa sungai; mereka beroleh di dalam syurga itu apa yang mereka kehendaki; demikianlah Allah membalas orang-orang yang bertakwa” (Surah an-Nahl ayat 31)
Dalam kitab Sunan Tirmizi dan Ibnu Majah, serta Sahih Ibnu Hibban, disebutkan hadis dari Abu Said, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya ahli syurga yang berada pada tingkat tertinggi dapat melihat orang yang berada pada tingkat di bawahnya, seperti mana melihatnya bintang yang tertinggi di langit. Sesungguhnya Abu Bakar dan Umar termasuk golongan yang menikmatinya”. (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Diriwayatkan dari Rasulullah SAW. bahawa baginda ditanya,”Makanan apakah yang menjadi hidangan pertama kali penghuni syurga?”
Baginda menjawab, “Hati ikan.”
Ditanya kembali. “Kemudian apa lagi setelah itu?”
Baginda menjawab,”Bagi mereka disembelihkan sapi syurga yang biasa makan di tepian syurga.”
Kemudian baginda ditanya lagi, “Apakah minuman mereka?”
Maka, baginda menjawab, “Dari mata air syurga yang bernama Salsabila.”
(Hadis Riwayat Muslim).
Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT. semoga Dia dengan rahmat dan kasih sayang-Nya mengizinkan kita agar dapat memasuki syurga-Nya yang penuh kenikmatan dan di jauhkan kita daripada neraka.









































Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.