Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.Surah Ali ‘Imran: 31
Berdasarkan ayat al Quran di atas menjelaskan bahawa sekiranya kita kasih dan mencintai baginda Muhammad S.A.W, perlu kita mengikuti apa yang disukai oleh baginda.
Tanda kita cinta kepada Allah juga adalah dengan melakukan apa yang disukai oleh baginda di mana Allah akan mencintai dan mengampuni dosa orang mengikuti Rasul-Nya.
Oleh itu artikel ini akan membahaskan beberapa amalan doa dan zikir yang disukai oleh baginda yang boleh diamalkan oleh umatnya.
#1 – Berdoa Dengan Pendek Dan Ringkas
Definisi doa yang pendek dan ringkas ialah mempunyai beberapa perkataan yang sedikit, tetapi mengandungi banyak makna dan menyeluruh.
Perbuatan ini disukai oleh baginda kerana mudah dibaca dan meliputi banyak permohonan kepada Allah tanpa menyebut secara khusus.
Terdapat hadis yang menyatakan doa yang sering dibaca baginda adalah doa yang pendek dan padat yang merangkumi urusan dunia dan akhirat. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A;
‘’Doa yang paling banyak dibaca oleh Rasulullah S.A.W, ialah ‘Allaahumma Aatinaa fid dun-yaa hasanah, wa fil aakhirati hasanah, wa qinaa ‘azaaban naar’ (Ya Allah berikanlah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jauhilah kami dari azab api neraka)‘’ Sunan Abi Daud, Kitab Ash-Shalah, Bab Ad-Du’a’
#2 – Beristighfar Selepas Solat Dan Setiap Hari
Istighfar membawa maksud memohon keampunan kepada Allah atas dosa-dosa yang manusia lakukan.
Baginda sangat menyukai amalan istighfar yang dilakukan oleh umatnya apabila selesai solat. Baginda membaca istighfar sebanyak 3 kali, lalu baginda membaca doa ini;
‘’Dan daripada Thauban bin Bajdad RA, dia berkata, Adalah Rasulullah SAW apabila telah selesai daripada solatnya, baginda beristighfar tiga kali, lalu baginda membaca, ‘Allaahumma antas salaam, wa minkas salaam, tabaarakta yaa zal jalaali wal ikram’’ (Ya Allah, Engkau adalah Maha Pemberi keselamatan dan keselamatan hanyalah dari-Mu. Maha berkat Engkau, wahai Pemilik Agung dan Kemuliaan)HR. Muslim
Baginda juga tidak hanya beristighfar selepas solat sahaja, tetapi baginda istighfar setiap hari walaupun baginda adalah maksum. Hal ini dibuktikan melalui hadis Abu Hurairah R.A meriwayatkan, bahawa dia mendengar Rasulullah S.A.W bersabda;
‘’Demi Allah, sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah dan bertaubat kepada-Nya lebih daripada tujuh puluh kali dalam sehari’’HR. al Bukhari
Allah juga mencintai hamba-hambanya yang selalu memohon ampun kepada-Nya berdasarkan firman Allah dalam
‘’Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang selalu bertaubat dan mencintai orang-orang yang selalu menyucikan diri’’.Surah al-Baqarah : 222
Rahsia istighfar juga akan membuatkan hidup kita lapang, dijauhkan dari kesedihan, membuka pintu rezeki dan mendapat kebaikan dari arah yang tidak disangka-sangka. Rasulullah S.A.W bersabda;
‘’Barangsiapa yang beristighfar nescaya Allah akan menjadikan baginya kelapangan daripada segala kegundahan yang menderanya, jalan keluar dari segala kesempitan yang dihadapi, dan Allah memberinya rezeki dari arah yan tidak disangka-sangka.’’HR Abu Daud, Ibnu Majah, al-Baihaqi dan Ath-Thabrani
#3 – Berdoa Ketika Menghadapi Kesukaran
Ibnu Abbas R.A berkata;
‘’Adalah Baginda S.A.W, pada menghadapi kesukaran baginda membaca ‘Laa ilaaha illallaahul ‘aziimul haliim, laa ilaaha illallaahu rabbus samaawaati wal ardhi wa rabbul ‘arsyil’azim’. (Tiada tuhan kecuali Allah yang Maha Agung dan penyantun. Tiada tuhan selain Allah. Tuhan langit dan bumi, juga Tuhan arasy yang Agung).Muttafaqun Alaih diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim
Kesukaran dalam hadis di atas ialah bersifat umum iaitu mengalami kesukaran dalam setiap perkara. Kesukaran dalam hal kewangan, sukar dalam pekerjaan yang berat, mempunyai masalah yang rumit, mengalami kesedihan dan sebagainya.
Sekiranya mengalami masalah-masalah tersebut amalkanlah doa tersebut dengan yakin yang diajarkan oleh baginda kepada umatnya.
Dengan izin Allah kita akan merasa ringan dalam menghadapi masalah tersebut dan akan dibuka jalan penyelesaian dalam setiap masalah.
#4 – Membaca Doa Di Waktu Pagi Dan Petang
Manusia tidak berlepas daripada sebarang kejahatan dan gangguan syaitan. Oleh itu perlu kita mengamalkan doa pada waktu pagi dan petang supaya kita dapat berlindung daripada kejahatan. Antara doa yang sering diamalkan oleh baginda adalah, Abu Hurairah RA berkata;
‘’Rasulullah S.A.W, apabila waktu pagi baginda membaca, ‘Allhumma bika ashbahnaa wa bika amsaynaa wa bika nahyaa wa bika namuut wa ilaikal mashiir’ (Ya Allah, dengan-Mu aku memasuki pagi, dengan-Mu aku memasuki petang, dengan-Mu aku hidup, dengan-Mu aku mati, dan kepada-Mu aku kembali). Dan apabila waktu petang baginda membaca, ‘Allahumma bika amsaynaa wa bika ashbahnaa wa bika nahyaa wa bika namuut wa ilaikan nusyuur’ (Ya Allah, dengan-Mu aku memasuki petang, dengan-Mu aku memasuki pagi, dengan-Mu aku hidup, dengan-Mu aku mati, dan kepada-Mu aku kembali).HR Abu Daud dan At-Tirmizi
Namun begitu terdapat juga doa-doa lain yang diamalkan oleh baginda pada waktu pagi dan petang.
Oleh itu, kita sebagai umatnya perlulah ambil tahu dan mengamalkan sunnah baginda yang diamalkan seharian.
Jika kita tidak ambil tahu dan mengamalkan sunnah baginda siapa lagi yang mahu meneruskan kelansungan sunnah baginda.
Justeru amalkanlah doa-doa dan zikir yang disukai oleh baginda dan juga amalan-amalan lain yang dicintai baginda kerana mengamalkan amalan yang disukai baginda adalah tanda cinta kita kepada Allah dan rasul. Moga-moga artikel ini bermanfaat untuk semua pembaca.
*Mahu lagi koleksi doa, jom amalkan doa selepas solat daripada Bidadari.My ini juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.