Islam mengajar kita bahawa yang memberi lebih baik dari yang menerima. Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Rasulullah SAW dalam hadisnya ada menyatakan: “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah pemberi dan tangan yang di bawah adalah penerima”. (Riwayat Muslim)Bersedekah dalam Islam bukan sekadar memberi wang ringgit kepada mereka yang memerlukan. Konsep bersedekah dalam Islam adalah luas, membabitkan perkara yang membawa kebaikan sama ada dalam bentuk kerohanian mahupun fizikal. Dengan bersedekah kita akan terhindar dari api neraka dan sekali gus mampu membukakan pintu rezeki. Seperti yang sering kita dengar bahawa dengan bersedekah kita tidak akan menjadi miskin malah rezeki akan dilipatgandakan sebanyak 700 kali ganda.Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): “Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji,. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui”. (Al Baqarah: 261)Sedekah adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seorang muslim kepada orang lain secara spontan dan sukarela tanpa dibatasi oleh waktu dan jumlah tertentu. Ia juga adalah suatu pemberian yang diberikan oleh seseorang sebagai kebajikan yang mengharap redha Allah S.W.T dan pahala semata. Di dalam Al Quran, banyak ayat yang menyuruh kaum muslimin untuk sentiasa memberikan sedekah.Firman Allah S.W.T (maksudnya): “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisikan-bisikan mereka, kecuali bisikan-bisikan dari orang yang menyuruh (manusia) memberi sedekah atau berbuat ma’ruf atau mengadakan perdamaian di antara manusia. Dan barangsiapa yang berbuat demikian kerana mencari keredhaan Allah, maka kelak kami akan memberi kepadanya pahala yang besar”. (An Nisaa: 114)Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara. Setiap orang yang berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan dikurniakan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat-Nya.Amalan bersedekah yang amat dianjurkan Islam sememangnya akan mendapat ganjaran pahala yang besar namun pahala sedekah akan lenyap apabila si pemberi selalu mengungkit-ungkit dengan sedekah yang telah diberikan atau menyakiti hati si penerima. Hal ini ditegaskan oleh Allah S.W.T dalam firman-Nya yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu menghilangkan (pahala) sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan si penerima”. (Al Baqarah: 264)Sedekah merupakan sunnah Rasulullaah SAW dan hukumnya adalah sama dengan infak. Namun begitu, sedekah dan infak mempunyai perbezaan dari segi barangan yang dikeluarkan. Ini kerana sedekah tidak terbatas kepada harta semata-mata sedangkan infak berkaitan dengan harta.Terdapat beberapa kelebihan bersedekah yang akan dirasakan pada orang yang melakukannya. Antaranya ialah:1. Memperkuat keimanan dan mendekatkan diri kepada Allah SWT
Jika kita bersedekah dengan niat demi untuk beribadah kerana Allah, pasti akan bertambah keimanan kita terhadapNya. Dengan bersedekah juga dapat mendekatkan diri kepada Allah kerana Allah sangat menyayangi akan golongan hambaNya yang banyak memberi kerana-Nya, bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk.2. Bertambah rezeki dan mendapat keberkatan
Allah akan memberi dan menggantikannya dengan hal yang lebih baik jika kita memberi kepada orang lain. Tidak sesekali kita rugi sekiranya memberi dan membantu orang lain dengan hak dan barangan kita. Pasti Allah akan menurunkan keberkatan rezeki dengan lebih baik atas kebaikan yang kita lakukan itu. Jika bukan menggantikan hal yang sama, pasti digantikan dengan kesihatan yang baik, kebahagiaan dalam keluarga dan kesenangan dalam apa jua urusan. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak terbatas.3. Memberi ketenangan hati dan kebahagiaan
Sebagai umat Islam kita sering disarankan untuk berbuat apa-apa saja kebaikan demi mendapatkan ketenangan fikiran dan emosi, termasuklah dengan bersedekah. Bahkan, dengan membelanjakan harta kearah kebaikan demi membantu orang lain pasti akan mendorong peningkatan hormon-hormon kebahagiaan dalam otak kita. Kajian sains sendiri telah membuktikan kebenaran ini.4. Melatih berfikiran positif dan adil
Golongan yang gemar bersedekah adalah mereka yang memiliki sikap adil dan tidak berani mengambil hak orang lain tanpa kebenaran (mencuri). Dengan melakukan amalan sedekah akan mengingatkan kepada kita mengenai kewajiban dalam aspek sosial iaitu bersikap adil kepada mereka yang memerlukan bantuan.5. Melahirkan rasa syukur
Rasa syukur adalah apabila kita berterima kasih kepada Allah dengan apa yang kita terima. Lalu, dengan bersedekah adalah salah satu cara untuk kita mengucapkan terima kasih kepada Allah SWT atas semua kurniaan dan pemberiannya. Bukankah dengan bersedekah itu mengingatkan kita bahawa apa yang dimiliki hari ini itu adalah nikmat dan atas keizinan dari Allah SWT? Jadi, jika kita ini hamba yang bersyukur, maka memberilah tanpa berkira-kira.Justeru, marilah sama-sama kita mengamalkan amalan bersedekah kerana dengan bersedekah akan mendapat ganjaran pahala yang besar. Contoh terbaik dalam bersedekah adalah Nabi Muhammad SAW. Baginda sering kali memberikan makanannya kepada golongan miskin sehinggakan Baginda sendiri kerap berlapar. Rasulullah sangat takut jika di rumahnya terdapat hanya sedikit saja harta atau makanan yang belum dibahagikan. Bahkan pakaian Baginda sendiri dari bahan kasar dan berharga paling murah. - HARAKAHDAILY 23/4/2017Penulis ialah pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia.
Rabu, 22 Ogos 2018
Sedekah membuka pintu rezeki
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.