Rabu, 22 Ogos 2018

Falsafah Seorang Lelaki Tua Tentang Solat Berjemaah

OLEH ADDIN DYNA  •  20 FEB 2015  •  5 MIN BACA
Pada semester pengajian yang lepas, saya dan rakan pengajian berkesempatan untuk membuat lawatan berkumpulan ke sebuah kilang makanan ringan yang terletak di Batu Pahat, Johor. Kami berpeluang untuk bertemu pemilik perusahaan Salleh Foods Industries Sdn Bhd iaitu Tuan Haji Salleh.
Orang Tua
Sesungguhnya mereka yang berpengalaman sudah menempuhi pahit getir kehidupan.

Dalam lawatan kami itu beliau turut menceritakan bagaimana dirinya memulakan perniagaan. Haji Salleh dikatakan memulakan perniagaannya sekitar umur 20-an. Pada awal penglibatan, beliau bekerja makan gaji sambil mula menjaja kerepek menggunakan motosikal. Kini, beliau berjaya mempunyai kilang perusahaan makanan ringan sendiri.
Tetapi dalam lawatan yang kami lakukan, ada sesuatu yang menarik perhatian saya untuk dikongsikan bersama. Tentang satu prinsip kejayaan yang diberikan oleh Haji Salleh sendiri.

Falsafah Solat Berjemaah

Apakah prinsip yang dipegang Haji Salleh yang menarik perhatian saya? Prinsip yang saya kira telah menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya. Antara yang dapat saya rakamkan bait kata beliau mengenai prinsip itu adalah :
“Solat sendiri belum tentu dapat khusyuk walau 1 %. Tetapi kalau berjemaah, boleh jadi ada yang khusyuk 50 %, ada yang 20 % dan yang 10 %. Jadinya, bila digabungkan kesemua peratusan khusyuk jemaah lain, boleh dapat 100 % khusyuk. Itu hebatnya solat berjemaah.”
Begitulah falsafah Haji Salleh tentang solat berjemaah. Saya agak kagum dengan penerangan beliau. Seorang lelaki tua yang punya perniagaan yang berjaya dan mampu dibanggakan mengatakan sebegitu rupa.
Gayanya cukup merendah hati dan caranya seperti seorang bapa memberi nasihat tentang kehidupan kepada anak-anaknya. Terasa cukup terdidik jiwa dengan butir bicaranya.

Ganjaran Solat Berjemaah

Azan asar berkumandang. Kami beransur untuk pulang ke kampus. Di luar kilang, kami mengambil beberapa keping foto sebagai bukti untuk dimasukkan dalam laporan.
Saya yang diam dalam riuh aktiviti rakan yang lain, memerhati Haji Salleh. Beliau datang dari arah kilangnya dan berjalan keluar menuju surau yang berada di seberang jalan. Saya memerhati gerak langkahnya dengan rasa kagum.
jemaah masjid
Sahutlah seruan ilahi tanpa tertangguh bersama-sama di masjid. [chouda112]

Haji Salleh langsung menyahut panggilan Tuhan tanpa bertangguh. Sememangnya beliau merutinkan solat berjemaah seperti yang beliau perkatakan. Tidak hairanlah prinsip yang diamalkan itu menjadi rahsia kejayaan Haji Salleh.
Kejayaan yang dirangkul dalam perniagaan khususnya dan kehidupan beliau amnya. Saya percaya, beliau yakin akan ganjaran solat berjemaah yang berlipat kali ganda.
Sebagaimana Sayyidina Abdullah bin Umar meriwayatkan bahawa Rasululah saw bersabda:
“Sesungguhnya solat berjemaah dua puluh tujuh kali ganda lebih afdal daripada solat bersendirian.” Riwayat Malik, Bukhari, Muslim, Tirmizi dan Nasa’i
Baginda Rasulullah saw sendiri telah mengatakan bahawa solat berjemaah mampu menguntungkan hingga 27 kali ganda berbanding solat bersendirian. Siapakah yang akan melepaskan peluang keuntungan 27 ringgit dan hanya berpuas hati dengan keuntungan satu ringgit? Tetapi jarang sekali kita memberi perhatian dalam usaha mengaut keuntungan melalui amalan agama.
Ada antara kita menganggap bahawa pergi ke masjid mendatangkan kerugian kepada perniagaan dan jualan akan terjejas. Juga ada yang merasakan untuk menutup dan membuka kedai itu payah. Namun kita seharusnya menjadi antara individu sepertimana yang dirakamkan Allah swt dalam Al-Quran:

annur37
(Ibadat itu dikerjakan oleh) orang-orang yang kuat imannya yang tidak dilalaikan oleh perniagaan atau berjual-beli daripada menyebut serta mengingati Allah, dan mendirikan sembahyang serta memberi zakat; mereka takutkan hari (kiamat) yang padanya berbalik-balik hati dan pandangan. (Surah An-Nur: 37)


Hikmah Solat Berjemaah

Antara hikmah solat berjemaah yang dipetik dalam kitab ‘Hujjatullah il-Balighah’ karya ulama Hadrat Shah Waliyullah:

#1 – Lebih termotivasi apabila berjemaah

Dalam setiap masyarakat yang beragama terdapat segelintir orang yang dapat memimpin orang lain dan mereka itu menjadi ikutan orang. Golongan yang kedua pula terdiri daripada mereka yang sentiasa perlu diberikan galakan dan peringatan.
jemaah wanita masjid
Jemaah terpanggil bukan untuk semua termasuk wanita. [dMahendra]

Golongan yang ketiga pula adalah terdiri daripada mereka yang lemah pegangan. Jika mereka tidak digesa melakukan ibadat dalam bentuk beramai-ramai(berjemaah) mereka mungkin akan meninggalkan ibadat itu kerana malas.

#2 – Mempelajari/menambah baik ibadat

Untuk memenuhi tuntutan kemaslahatan masyarakat Islam seluruhnya maka perlulah ibadat itu ditunaikan secara beramai-ramai dengan berjemaah Mereka yang tidak mengetahui akan dapat belajar daripada alim ulama dan mereka yang jahil akan dapat mengetahui cara-cara beribadat.

#3 – Menarik berkat dan rahmat Allah

Dalam perhimpunan orang-orang Islam yang sedemikian itu sudah semestinya terdapat orang-orang yang mencintai Allah, yang ingin mendapatkan rahmat Allah, yang takut kepada Allah dan kesemua mereka ini menumpukan sepenuh tawajjuh(tumpuan hati) hanya kepada Allah. Lantaran itu, perhimpunan sebegini mempunyai keistimewaan yang khusus untuk menarik keberkatan dan rahmat daripada Allah.

Kesimpulan

Ternyata solat berjemaah sangat menguntungkan baik untuk dunia mahupun akhirat kita. Apa yang dapat dipelajari daripada kisah Haji Salleh ini adalah untuk kita berusaha merutinkan solat berjemaah. Hasilnya tentu saja lumayan. Pelbagai hikmah yang Tuhan sediakan apabila kita mengamalkannya.
Jadi, tentukan keuntungan yang mana kita inginkan. Mahu ganjaran 27 kali ganda atau satu kali ganda saja untuk setiap transaksi ibadah yang kita laksanakan. Sepertimana dalam mendapatkan keuntungan dalam bentuk wang, kita mahu untung 27 ringgit atau cukup sekadar satu ringgit sahaja.
Bagi yang belum terbiasa dengan rutin solat berjemaah untuk setiap lima waktu, kita boleh mula dengan menetapkan matlamat kecil. Bermula dengan satu waktu solat dalam sehari. Kemudian dalam satu hari ke satu hari cuba ditingkatkan kepada dua, tiga, empat dan akhirnya kesemua lima waktu solat untuk dilakukan solat secara berjemaah.
Kadar peningkatan waktu untuk kita melakukan solat berjemaah boleh ditingkatkan mengikut kemampuan dan pastinya dilakukan secara konsisten.
 





























 
 
 
 
 
 

KONGSIKAN ARTIKEL INI

Nabi Muhammad s.a.w berpesan, “sampaikanlah dariku walau satu ayat” dan “setiap kebaikan adalah sedekah.” Apabila anda kongsikan artikel ini, ia juga adalah sebahagian dari dakwah dan sedekah. Insyallah lebih ramai yang akan mendapat manafaat.
Addin Dyna

Addin Dyna

Seorang gadis penggemar visual yang memilih untuk menghabiskan masa di dalam kedai buku. Turut menghasilkan biskut cip coklat sendiri (Beskotism) sebagai salah satu sumber pendapatannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.