Ahad, 19 Ogos 2018

Amalan Murah Rezeki Paling Mustajab -Pembuka Rezeki

amalan murah rezeki

Rezeki atau pun nikmat dikurniakan oleh Allah kepada manusia sesuai dengan sifat Al-RahmanNya. Sebab itu jika kita lihat orang bukan Islam pun mempunyai harta yang melimpah ruah. Itulah sifat Al-Rahman Allah. Dia akan berikan kepada sesiapa saja baik muslim atau pun tidak yang berusaha mencari rezeki. Tapi jika kita amalkan amalan murah rezeki pasti kita akan dapat apa yang diinginkan dan rezeki itu pasti cukup serta ada keberkatan.
doa murah rezeki dari Allah
Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan dilimpahi dengan keberkatan dan kenikmatan.

Namun untuk kita ummat Islam, kita dilimpahi dengan sifat Al-Rahim Allah. Pemberian Allah kepada orang muslim berbeza dengan yang bukan muslim. Rezeki yang muslim dapat akan menjadi berkat. Dan rezeki yang Allah kurniakan itu akan disyukuri dan digunakan sebaik-baiknya ke arah keredhaan Allah.
Sebagai umat Islam kita disarankan mengamalkan amalan murah rezeki, ada amalan-amalan yang amat Allah sukai untuk kita amalkan yang menjadi penyebab murah rezeki seperti ayat al-Quran, zikir atau surah dan juga doa murah rezeki yang tidak disangka-sangka, mungkin akan jadi cepat kaya, Allah saja yang mengetahui.

Antara Amalan Murah Rezeki

Berikutnya adalah antara amalan murah rezeki yang lancar dan melimpah ruah yang boleh diamalkan oleh semua orang. Sesungguhnya rezeki Allah itu sangat luas dan tidak menjadi persoalan sama ada rezeki itu sedikit atau pun banyak. Yang paling penting adalah rezeki yang diberikan itu ada keberkatan dan pastinya rezeki yang halal itu akan cukup biar pun sedikit.
Doa murah rezeki paling mustajab
Zikir dan doa adalah antara amalan menjemput rezeki yang perlu diamalkan.

1. Meluangkan masa untuk beribadah
Ini terbukti apabila Allah sendiri berfirman di dalam sebuah hadith Qudsi yang bermaksud:
“Wahai anak Adam, sempatkanlah untuk menyembah-Ku maka Aku akan membuat hatimu kaya dan menutup kefakiranmu. Jika tidak melakukannya maka Aku akan penuhi tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kefakiranmu.”(Riwayat Ahmad, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abu Hurairah .a.)
2. Memperbanyakkan istighfar
Istighfar ialah perbuatan berbentuk penyesalan, pengakuan dosa dan rintihan hamba kepada Allah. Justeru Allah amat suka dan kasihan kepada orang yang selalu bertaubat dan akan menghapuskan duka, menyelesaikan masalah dan memberi rezeki kepada hamba yang suka beristighfar seperti janjiNya di dalam sebuah hadith:
“Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah s.w.t akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’i, Ibnu Majah dan al-Hakim dari Abdullah bin Abbas .a.)
3. Meninggalkan Perbuatan Dosa
Istighfar ini tidak akan mengundang rasa kasih Allah jika selepas istighfar hamba masih lagi berterusan membuat dosa. Dosa ini sebenarnya akan membuatkan hati kita yang yang secara fitrahnya inginkan kebaikan menjadi resah gelisah. Dosa juga akan menyebabkan tertutupnya pintu rezeki. Sabda Nabi s.a.w.:
“… dan seorang lelaki akan diharamkan baginya rezeki kerana dosa yang dibuatnya.”
(Riwayat at-Tirmizi)
4. Sentiasa Mengingati Allah
Dengan meningati Allah hati akan menjadi tenang. Kategori rezeki ini hanya diberikan oleh Allah kepada orang-orang yang beriman. Firman-Nya:
“(iaitu) orang-orang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah . Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.”
(Ar-ra’d: 28)
5. Berbakti (berbuat baik) dan Mendoakan Ibu Bapa
Dalam hadis riwayat Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. berpesan agar siapa yang ingin panjang umur dan ditambahi rezekinya, hendaklah berbakti kepada ibu bapanya dan menyambung tali kekeluargaan.
Baginda s.a.w. juga bersabda lagi:
“Siapa berbakti kepada ibu bapanya maka kebahagiaanlah buatnya dan Allah akan memanjangkan umurnya.” (Riwayat Abu Ya’ala, at-Tabrani, al-Asybahani dan al-Hakim)
Mendoakan ibu bapa juga menjadi sebab murah rezeki. Ini bersandarkan kepada sabda Nabi s.a.w.:
“Apabila hamba itu meninggalkan berdoa kepada kedua orang tuanya nescaya terputuslah rezeki (Allah ) daripadanya.”(Riwayat al-Hakim dan ad-Dailami)
6. Berbuat Baik dan Menolong Orang Yang Lemah
Berbuat baik kepada orang yang lemah ini termasuklah menggembirakan dan meraikan orang tua, orang sakit, anak yatim dan fakir miskin, juga isteri dan anak-anak yang masih kecil. Sabda Nabi s.a.w.:
“Tidaklah kamu diberi pertolongan dan diberi rezeki melainkan kerana orang-orang lemah di kalangan kamu.” (Riwayat Bukhari)
7. Tunaikan Hajat Orang Lain
Menunaikan hajat orang menjadi sebab Allah lapangkan rezeki dalam bentuk tertunainya hajat sendiri, seperti sabda Nabi s.a.w.:
“Siapa yang menunaikan hajat saudaranya maka Allah akan menunaikan hajatnya…”
(Riwayat Muslim)
8. Banyak Berselawat
Ada hadis yang menganjurkan berselawat jika hajat atau cita-cita tidak tertunai kerana selawat itu dapat menghilangkan kesusahan, kesedihan, dan kesukaran serta meluaskan rezeki dan menyebabkan terlaksananya semua hajat. Wallahu a’lam. Selawat juga membuatkan kita menjadi hebat pada pandangan orang.
9. Banyak Buat Kebajikan
Ibnu Abbas berkata:
“Sesungguhnya kebajikan itu memberi cahaya kepada hati, kemurahan rezeki, kekuatan jasad dan disayangi oleh makhluk yang lain. Manakala kejahatan pula boleh menggelapkan rupa, menggelapkan hati, melemahkan tubuh, sempit rezeki dan makhluk lain mengutuknya.”
doa murah rezeki
Ini juga adalah antara doa, ayat atau zikir murah rezeki yang boleh diamalkan. – Facebook

10. Berpagi-pagi Dalam Membuat Pekerjaan
Menurut Rasulullah s.a.w., berpagi-pagi (memulakan aktiviti harian sebaik-baik selesai solat Subuh berjemaah) adalah amalan yang berkat.
11. Menjalinkan Silaturrahim
Nabi s.a.w. bersabda:
“Barang siapa ingin dilapangkan rezekinya dan dilambatkan ajalnya maka hendaklah dia menghubungi sanak-saudaranya.” (Riwayat Bukhari)
12. Melazimi Kekal Berwuduk
Seorang Arab desa menemui Rasulullah s.a.w. dan meminta pedoman mengenai beberapa perkara termasuk amalan murah rezeki dan mahu dimurahkan rezeki oleh Allah . Baginda s.a.w. bersabda:
“Sentiasalah berada dalam keadaan bersih (dari hadas) nescaya Allah akan memurahkan rezeki.”
(Diriwayatkan daripada Sayidina Khalid al-Walid)
13. Rajin Bersedekah
Sedekah mengundang rahmat Allah dan menjadi sebab Allah buka pintu rezeki. Nabi s.a.w. bersabda kepada Zubair bin al-Awwam:
“Hai Zubair, ketahuilah bahawa kunci rezeki hamba itu ditentang Arasy, yang dikirim oleh Allah azza wajalla kepada setiap hamba sekadar nafkahnya. Maka siapa yang membanyakkan pemberian kepada orang lain, nescaya Allah membanyakkan baginya. Dan siapa yang menyedikitkan, nescaya Allah menyedikitkan baginya.” (Riwayat ad-Daruquthni dari Anas .a.)
14. Melazimi Solat Tahajjud (Malam)
Ada keterangan bahawa amalan solat tahajjud juga adalah amalan murah rezeki yang memudahkan memperoleh rezeki, menjadi sebab seseorang itu dipercayai dan dihormati orang dan doanya dimakbulkan Allah .
15. Melazimi Solat Dhuha
Amalan solat Dhuha yang dibuat waktu orang sedang sibuk dengan urusan dunia (aktiviti harian), juga mempunyai rahsia tersendiri. Firman Allah dalam hadis qudsi:
“Wahai anak Adam, jangan sekali-kali engkau malas mengerjakan empat rakaat pada waktu permulaan siang (solat Dhuha), nanti pasti akan Aku cukupkan keperluanmu pada petang harinya.”(Riwayat al-Hakim dan Thabrani)
16. Bersyukur kepada Allah
Syukur ertinya mengakui segala pemberian dan nikmat dari Allah . Lawannya adalah kufur nikmat. Allah berfirman:
“Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku tambahi nikmat-Ku kepadamu, dan demi sesungguhnya jika kamu kufur, sesungguhnya azab-Ku amat keras.” (Ibrahim: 7)
Firman-Nya lagi: “… dan Kami akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur.” (Ali Imran: 145)
17. Mengamalkan Zikir dan Bacaan Ayat Quran Tertentu
Zikir dari ayat-ayat al-Quran atau asma’ul husna selain menenangkan, menjenihkan dan melunakkan hati, ia mengandungi fadilat khusus untuk keluasan ilmu, terbukanya pintu hidayah, dimudahkan faham agama, diberi kemanisan iman dan dilapangkan rezeki.
Misalnya, dua ayat terakhir surah at-Taubah (ayat 128-129) jika dibaca secara konsisten tujuh kali setiap kali lepas solat, dikatakan boleh menjadi sebab Allah lapangkan kehidupan dan murahkan rezeki.
Salah satu nama Allah, al-Fattah (Maha Membukakan) dikatakan dapat menjadi sebab dibukakan pintu rezeki jika diwiridkan selalu; misalnya dibaca “Ya Allah ya Fattah” berulang-ulang, diiringi doa: “Ya Allah , bukalah hati kami untuk mengenali-Mu, bukalah pintu rahmat dan keampunan-Mu, ya Fattah ya ‘Alim.”
Ada juga hadis menyebut, siapa amalkan baca surah al-Waqi’ah setiap malam, dia tidak akan ditimpa kepapaan. Wallahu a’lam.
18. Tidak Putus Asa Dalam Berdoa
Allah suka akan hambaNya yang berdoa. Perbuatan ini akan menjadikan kita lebih dekat kepada Allah.
Berdoa menjadikan seorang hamba dekat dengan Allah , penuh bergantung dan mengharap pada rahmat dan pemberian dari-Nya.
Malah dalam Al-Quran, Allah secara terang-terangan menyuruh kita meminta kepada-Nya, dan Dia berjanji memperkenankan.
19. Berikhtiar Sehabisnya
Siapa berusaha, dia akan dapat. Ini sunnatullah. Dalam satu hadis sahih dikatakan bahawa Allah berikan dunia kepada orang yang dicintai-Nya dan yang tidak dicintai-Nya, tapi agama hanya Allah beri kepada orang yang dicintai-Nya saja. (Riwayat Ahmad, Ibnu Abi Syaibah dan al-Hakim)
Bagi orang beriman, tentulah dia perlu mencari sebab-sebab yang boleh membawa kepada murah rezeki dalam skop yang luas. Misalnya, hendak tenang dibacanya Quran, hendak dapat anak yang baik dididiknya sejak anak dalam rahim lagi, hendak sihat dijaganya pemakanan dan makan yang baik dan halal, hendak dapat jiran yang baik dia sendiri berusaha jadi baik, hendak rezeki berkat dijauhinya yang haram, dan sebagainya.
20. Bertawakal
Dengan tawakal, seseorang itu akan diberikan rasa kaya dengan Allah . Firman-Nya:
“Barang siapa bertawakal kepada Allah , nescaya Allah mencukupkan (keperluannya).”
(At-Thalaq: 3)
Nabi s.a.w. bersabda:
“Seandainya kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya kamu diberi rezeki seperti burung diberi rezeki, ia pagi hari lapar dan petang hari telah kenyang.”
(Riwayat Ahmad, at-Tirmizi, Ibnu Majah, Ibnu Hibban, al-Hakim dari Umar bin al-Khattab .a.)
Kesemua yang disebut di atas adalah amalan-amalan yang membawa kepada taqwa. Dengan taqwa, Allah akan beri “jalan keluar (dari segala perkara yang menyusahkan), dan memberinya rezeki dari jalan yang tidak terlintas di hatinya.”(At-Talaq: 2-3)
doa mohon rezeki dan cara menjemput rezeki
Sedekahkan Al-Fatihah kepada kedua ibu bapa sama ada hidup atau sudah tiada. – Facebook

Pendek kata, bagi orang Islam, untuk murah rezeki dalam erti kata yang sebenarnya, kuncinya adalah buat amalan-amalan taqwa seperti amalan murah rezeki. Amalan-amalan ini menjadi sebab jatuhnya kasih sayang Allah, lalu Allah limpahi hamba-Nya dengan keluasan rezeki dan rasa kaya dengan pemberian-Nya.
Surah Al Waqiah
Surah Al-Waqiah sememang amat terkenal dengan fadhilat, manfaat dan kelebihan sebagai ayat yang membolehkan atau menjadi sumber kekayaan serta sebagai pelindung dari kemiskinan dan juga kefakiran. Dengan membaca, mengamalkan atau wirid amalan surah Al Waqiah ini yang dijadikan sebagai bacaan rutin harian siang dan malam, Allah akan menjauhkan kefakiran untuk selamanya.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa (membiasakan) membaca surah Al-Waqiah, maka ia tidak akan kefakiran selamanya.”
Berikutnya adalah bacaan Surah Al Waqiah dan terjemahan rumi lengkap serta maksud dikongsikan. Surah ini juga dikatakan antara bacaan doa murah rezeki paling mustajab dan rezeki datang dari setiap penjuru, rezeki datang sendiri, rezeki murah, cepat kaya dan sebagainya.
Semoga perkongsian dari Facebookamalan murah rezeki iaitu doa, ayat Al-Quran dan zikir ini dapat membantu semua orang yang ingin permudahkan lagi untuk menjemput rezeki yang melimpah ruah dan lancar. Jika diamalkan dengan betul dan ikhlas serta ditambah dengan solat lima waktu, bersedekah dan sebagainya, pasti rezeki itu akan datang dengan izin Allah SWT. Insha Allah.
Kongsi ilmu, kongsi pahala dan sebarkan.






































  
 

Written by Sazarimma


Seorang yang suka mempelajari sesuatu yang baru dan gemar melakukan aktiviti lasak. Seorang penjawat awam yang amat optimis, kemahiran berkomunikasi dengan sesiapa sahaja dan suka membaca.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.