Rabu, 16 Januari 2019

Berbakti kepada Ibu Bapa

 
Daripada Abu Usaid Malik bin Rabi'ah As-Sa'idi RA berkata: "Ketika kami sedang bersama Rasulullah SAW, tiba-tiba ada seorang lelaki daripada Bani Salamah datang kepada Baginda SAW. Lelaki tersebut bertanya: "Wahai Rasulullah, apakah masih ada ruang untuk aku berbuat baik kepada kedua orang tuaku setelah mereka meninggal?." Baginda menjawab: "Ya, mendoakan dan memintakan keampunan untuk kedua-duanya, melaksanakan wasiatnya, menyambung jalinan silaturahim mereka dan memuliakan teman mereka." (Hadith riwayat Abu Dawud, No. 5142, Ibn Majah, No. 3664, Ahmad, No. 15479)
Matan Hadith:
عَنْ أَبِي أُسَيْدٍ مَالِكِ بْنِ رَبِيعَةَ السَّاعِدِيِّ قَالَ: بَيْنَا نَحْنُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذْ جَاءَهُ رَجُلٌ مِنْ بَنِي سَلَمَةَ فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ: هَلْ بَقِيَ مِنْ بِرِّ أَبَوَيَّ شَيْءٌ أَبَرُّهُمَا بِهِ بَعْدَ مَوْتِهِمَا؟ قَالَ: نَعَمْ, الصَّلَاةُ عَلَيْهِمَا وَالِاسْتِغْفَارُ لَهُمَا وَإِنْفَاذُ عَهْدِهِمَا مِنْ بَعْدِهِمَا وَصِلَةُ الرَّحِمِ الَّتِي لَا تُوصَلُ إِلَّا بِهِمَا وَإِكْرَامُ صَدِيقِهِمَا
]التخريج : سنن أبي داود , كتاب الأدب , باب في بر الوالدين , حديث رقم 5142 , عن أبي أسيد مالك بن ربيعة الساعدي رضي الله عنه[
 
 
Pengajaran Hadith :
 
  1. Seseorang anak wajib mentaati dan berbakti kepada kedua-dua ibu bapanya, tetapi adakah ia memadai atau terbatas ketika mereka masih hidup sahaja?. Di dalam al-Qur’an dan hadith terdapat banyak suruhan yang memerintahkan agar seseorang anak berbakti atau membuat kebajikan terhadap kedua-dua ibu bapanya, dan ia tidak terbatas ketika mereka masih hidup.
  2. Terdapat beberapa amalan kebajikan yang boleh dilakukan oleh seseorang anak kepada kedua-dua ibu bapanya setelah meninggal dunia dan perkara yang paling mudah serta dapat dikerjakan oleh semua orang pada bila-bila masa ialah berdoa serta memohon keampunan bagi dosa kedua-dua ibu bapanya sama ada yang masih hidup lebih-lebih lagi yang telah meninggal dunia.
  3. Marilah sama-sama kita menghayati semula peranan seorang anak kepada ibu bapa. Tanpa mereka siapalah kita dan adakah kita boleh berada dalam keadaan dan kedudukan yang kita miliki pada hari ini?. Sedarlah bahawa tanpa keredhaan mereka, kita juga tidak akan mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga kita akan tergolong dalam golongan yang diredhai-Nya.
 
Sumber Rujukan :
 
1- Kitab Sunan Abu Dawud
2- Kitab Sunan Ibn Majah
3- Kitab Musnad Ahmad
4- Kitab Aunu al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Dawud Li al-Syeikh Syafartul Haq Muhammad Asyraf Ibn Ali Haidar al-Shiddiqi al-Azim Abadi
5- Kitab Mirqatul al-Mafatih Syarh al-Misykatu al-Masobih Li al-Syeikl Ali
6- Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Li an-Nawawi
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.