Rabu, 16 Januari 2019

Tuntutan Menghubungkan Silaturrahim

Tuntutan Menghubungkan Silaturrahim
Daripada ‘Abdullah bin 'Amru RA, daripada Nabi SAW bersabda: "Tidaklah seseorang itu digelar al-Wasil (penyambung silaturrahim) apabila dia bersifat al-Mukafi`i (orang yang menyambung silaturrahim jika saudaranya menyambungnya dan akan memutuskan apabila mereka memutuskannya), akan tetapi al-Wasil itu ialah seseorang yang apabila terputus silaturrahim, beliau segera menyambungkannya." (Hadith riwayat al-Bukhari, No: 5991, Abu Dawud, No: 1697, at-Tirmizi, No: 1908, Ahmad, No: 6496, lafaz hadith riwayat at-Tirmizi)

Matan Hadith:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: لَيْسَ الْوَاصِلُ بِالْمُكَافِئِ وَلَكِنَّ الْوَاصِلَ الَّذِي إِذَا انْقَطَعَتْ رَحِمُهُ وَصَلَهَا
]التخريج: سنن الترمذي , كتاب البر والصلة عن رسول الله صلى الله عليه وسلم , باب ما جاء في صلة الرحم , عن عبد الله بن عمرو رضي الله عنه , وقَالَ أَبُو عِيسَى هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ صَحِيحٌ[
 
Pengajaran Hadith :
 
  1. Islam agama yang mementingkan hubungan persaudaraan. Hubungan silaturrahim yang baik dan bersifat al-Wasil akan mengukuhkan lagi hubungan sesama Islam. Al-Wasil (penyambung silaturrahim) itu bukanlah orang yang mengharapkan balasan daripada saudaranya (jika saudaranya bersilaturrahim maka diapun akan membalas dengan bersilaturahim) tetapi al-Wasil ialah orang yang segera menyambung silaturrahim jika silaturahim dengan saudaranya terputus.
  2. Antara silaturrahim yang disyariatkan adalah saling mengasihi, memuliakan, memberi maaf kepada orang yang berbuat zalim kepadanya, memberi kepada orang yang tidak mahu memberi kepadanya dan sebagainya. Kesemua itu dilakukan hanyalah semata-mata kerana Allah SWT jua bukan bertujuan untuk mendapatkan pujian serta habuan dunia.
  3. Seseorang Muslim hendaklah terus menghubungkan silaturrahim terutama dengan kaum kerabat dan saudaranya yang lain meskipun mereka tidak menerima tindakannya itu dengan kebaikan. Islam mengajar bahawa setiap kejahatan yang dilakukan terhadap seseorang Muslim tidak boleh dijadikan penyebab terputus silaturrahim dan kebaikan.
 
Sumber Rujukan :
 
  1. Kitab Sahih al-Bukhari
  2. Kitab Sunan Abu Dawud
  3. Kitab Jami’e at-Tirmizi
  4. Kitab Musnad Ahmad
  5. Kitab Fathul Bari Syarh Sahih al-Bukhari Li Ibn Hajar al-Asqolani
  6. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Lil Imam al-Nawawi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.