Rabu, 16 Januari 2019

Syukur dan Sabar dengan Ujian

 
Daripada Shuhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda : “Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya). Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”
(Hadith riwayat Muslim, No.Hadith : 2999)

Matan hadith :
عَنْ صُهَيْبٍ قَالَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَجَبًا لِأَمْرِ الْمُؤْمِنِ إِنَّ أَمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ وَلَيْسَ ذَاكَ لِأَحَدٍ إِلَّا لِلْمُؤْمِنِ إِنْ أَصَابَتْهُ سَرَّاءُ شَكَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ وَإِنْ أَصَابَتْهُ ضَرَّاءُ صَبَرَ فَكَانَ خَيْرًا لَهُ
]صحيح مسلم , كِتَاب الزُّهْدِ وَالرَّقَائِقِ , بَاب " الْمُؤْمِنُ أَمْرُهُ كُلُّهُ خَيْرٌ ", حديث رقم 2999[
Pengajaran Hadith :
 
  1. Setiap Mukmin yang sempurna keimanannya akan sentiasa mendapat kebaikan dalam urusannya kerana dia sentiasa bersyukur. Manakala apabila ditimpa kesusahan dia bersabar dengan ujian tersebut kerana dengan kesabaran itu dapat menaikkan kedudukannya serta dianugerahkan pahala tanpa batasan daripada Allah SWT.
  2. Seseorang yang tidak beriman akan ditimpa musibah kerana hatinya sentiasa keluh kesah, jiwa yang selalu meronta dan terseksa. Hati sentiasa dipenuhi perasaan hasad dengki, kemarahan dan memberontak. Tidak redha walaupun telah banyak diberikan pelbagai nikmat kerana dia tidak bersabar di atas musibah tersebut.
  3. Pentingnya sifat syukur apabila seseorang mendapat kebaikan dan bersabar apabila ditimpa musibah kerana ianya menjadikan seseorang itu sebenar-benar Mukmin tetapi amatlah sedikit dalam kalangan hamba yang diberikan  dua sifat ini. Justeru, taufik dan hidayah Allah SWT amat diperlukan untuk meraih anugerah ini kerana sifat syukur dan sabar itu adalah sebaik-baik nikmat.
 
Sumber rujukan :
  1. Kitab Sahih Muslim
2. Kitab Nuzhatul Muttaqin Syarh Riyaadus Salihin Li an-Nawawi
 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.